RAKAN2:

Sunday, June 24, 2012

Sehari Di Gedung Telekung!


Alhamdulilah, akhirnya saya berpeluang mengunjungi gedung telekung ini setelah membuat beberapa temujanji sebelum ini. Perjalanan dari Ampang ke Shah Alam memakan masa selama sejam melalui Jalan Duke dan Lebuhraya Utara Selatan.

Tidak sukar untuk menjejaki kedai ini kerana ia terletak tidak jauh dari jalan besar dan juga berdekatan dengan kedai kain berjenama hebat. ;)

Gedung eksklusif ini terletak di tingkat satu dan kami terpaksa menapak menaiki anak tangganya. Sejurus tiba pada muka pintu utama, kami disambut oleh Cik Habibah, staf yang bertugas. Orangnya kurus dan berwajah manis. Dia sibuk menyusun dan melipat kain ela sewaktu kami tiba ke situ.

Ruang yang luas dan selesa
 Ruang di sini cukup luas dan selesa dengan penghawa dingin yang sangat nyaman. Mata kita pula dihidangkan dengan pelbagai corak dan paten telekung yang sangat cantik. Rambang mata dibuatnya!


Kak Ngah memakai saiz s.

Telekung-telekung ini diperbuat dari kain 'cotton' yang sangat lembut. Corak sulamannya ada yang mempunyai satu paten sahaja untuk satu telekung. Pelbagai warna boleh didapati di sini. Dari warna putih, pink berbunga kecil, kuning cair, ungu dan juga putih. Rangkaian telekung ini tidak dikhaskan untuk orang dewasa sahaja malah ada juga untuk kanak-kanak. Ia juga didatangkan dalam pelbagai saiz.



Telekung Eksklusif. :)


Kadar harga pula dari RM45 hingga RM500. RM500 untuk satu pasang telekung? Ya. Telekung ini sangat eksklusif. Sulamannya tebal dan hanya ada satu paten untuk satu keluaran. Jika anda membelinya, ia tidak akan sama dengan orang lain. Menarik bukan? Saya sempat bergaya dengan telekung eksklusif ini.

Menurut Cik Habibah, kain-kain ini diterima dari negara seberang. Gedung ini agak sibuk menjelang hujung minggu. Ada juga orang perseorangan yang mengambil telekung secara borong dari kedai ini.

Ada juga telekung khas untuk 'travelling' yang dimuatkan di dalam beg yang sangat kecil. Melihat dari saiz begnya yang kecil, saya fikir ia lebih sesuai untuk Kak Ngah. Namun sangkaan saya meleset. Saya dapati ia cukup ringan dan saiznya untuk orang dewasa!


Jika anda berpeluang untuk ke Seksyen 7, Shah Alam, jangan lupa untuk singgah ke gedung ini yang beroperasi setiap hari dari jam 11 pagi hingga 7 malam. Anda boleh juga 'add' Gedung Eksklusif Telekung di facebook.

Oh, ya. Pembayaran boleh dilakukan secara tunai dan kad kredit.

Ini alamat mereka ya. :)

Eh, terbaliklah pula! :P Layan sajalah... ~Sengeh~

Monday, June 18, 2012

Tua Adalah Pasti!

Alhamdulilah, umur saya sudah meningkat ke satu tahun lagi. Saya bersyukur kerana Allah masih lagi memberi peluang kepada saya untuk menghirup udara di dunia milikNya ini. Saya juga bertuah kerana dilahirkan ke dunia ini.

"Emak dan arwah ayah, terima kasih kerana membesarkan saya. Anda berdualah permulaan saya."

Kek yang agak mahal bagi saya tapi saya suka. <3
Arwah ayahlah yang banyak mencorakkan siapa saya sebenarnya. Saya dididik dengan penuh dedikasi dan berdisplin. Saya membentuk dan menjadi insan seperti yang anda lihat pada hari ini.

Bercerita tentang arwah ayah... membuat saya sebak.

Saya amat berterima kasih kepada mereka yang sudi mendoakan kesejahteraan saya pada laman muka buku dan ada juga yang menghantar pesanan ringkas ke telefon bimbit. Saya amat hargainya dan berusaha untuk membalas komen anda itu.

Mudah-mudahan, kita semua beroleh keberkatan. InsyaAllah.

Dim Sum, ada isi udang yang lembut.

Sambutan hari lahir saya amatlah sederhana. Tiada majlis besar-besaran kerana saya lebih suka majlis tertutup. Restoran masakan cina muslim menjadi pilihan saya pada malam itu. Sememangnya, saya sudah jatuh cinta dengan dim sum. Ini kali ke tiga, saya berpeluang untuk merasai makanan sebegini kerana ahli keluarga yang lain lebih suka menikmati masakan melayu.

Saya tidak pernah takut untuk menjadi tua. Pada saya, semua orang akan melalui proses sebegini. Saya lebih suka menikmati setiap hari mendatang dalam penuh ketenangan dan tanpa stres. Itu sikap saya. Saya tidak suka memberatkan jiwa saya dengan membilang garisan kedut di muka atau uban di kepala.

Ia adalah nikmat Allah. Redha dengan pemberianNya dan nescaya hidup ini akan lebih damai. Jiwa akan lebih bersedia.

Friday, June 15, 2012

I Love Present!

Bergambar di pejabat Utusan Sales Sdn Bhd.

Tiga hari lepas, saya menerima panggilan telefon dari pihak Utusan untuk menuntut hadiah kemenangan di dalam Majalah HARMONI di Seksyen 14, Petaling Jaya.

Hadiahnya tidaklah semewah beg tangan berjenama hebat, namun saya menerimanya dengan tangan terbuka. Siapa yang tidak suka hadiah? Baik budak kecil mahupun yang dewasa, semua sukakan hadiah walaupun ia hanyalah sebiji gula-gula. ^___^

Indahkan?

Saya ingin mengucapkan terima kasih pada GIOSSARDI selaku penaja hadiah ini. Tidak lupa juga Majalah HARMONI dan Utusan. Moga ada banyak lagi karya-karya indah terhasil. InsyaAllah. Aamiin.

Thursday, June 14, 2012

Hasil Sentuhan Cik Yatie, ST!

Kali ini saya hendak bercerita tentang hasil atau output gambar yang terhasil ketika sesi photoshoot di pejabat Sendayu Tinggi, baru-baru ini.
Pilihan yang banyak
Semua produk mekap yang digunakan adalah dari koleksi Sendayu Tinggi (ST). Cik Yatie selaku juru mekap rasmi ST menyatakan mereka terlibat di dalam pemilihan bahan, warna dan juga mencuba keberkesanannya pada wajah sendiri sebelum memasarkan kepada pengguna.
Hasilnya?
Saya suka warna gincu ini.
Cik Yatie, pakar 'bleending' warna. Saya kagum!

 
Jika anda mahu tahu lebih lanjut tentang Sendayu Tinggi, bolehlah merujuk laman webnya http://www.sendayutinggi.com . Di situ ada juga disertakan katalog secara 'online'. Cukup mudah bagi saya dan anda juga!
Saya amat berterima kasih pada pihak Sendayu Tinggi sekali lagi dan semua gambar ini adalah ihsan dari facebook Cik Yatie. Moga kita ada 'jodoh' lagi!

Wednesday, June 13, 2012

Sehari Bersama Sendayu Tinggi

Sendayu Tinggi HQ yang terletak di Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur.
SECARA peribadi, saya mengenali produk Sendayu Tinggi di sekitar tahun 2003. Ketika itu, anak sulung saya berumur 3 tahun. Saya senantiasa mengikuti iklan Sendayu Tinggi pada ruangan majalah atau surat khabar. Apabila saya melihat pengasas Sendayu Tinggi, Puan Rozita, ia sudah cukup mengujakan saya. :) Hebatnya beliau!

"Kena rajin, kalau nak jadi macam tu."

Itu kata bonda setiap kali saya bercerita tentang Puan Rozita.
Apabila saya disahkan mengandung anak ke dua, perkara pertama terlintas di dalam hati saya adalah untuk memiliki set bersalin Sendayu Tinggi, Ammy 60days. Ketika usia kandungan mencecah 4 bulan, saya sudah membeli set ini. "Tak terlalu awal ke?" Soal suami dan saya hanya menggeleng. Setiba di rumah, saya terus membuka kotak tersebut dan terus meneliti setiap botol yang terdapat di dalamnya. Ada kepingan surat berupa buku kecil yang disertakan sekali. Oleh kerana, saya suka membaca, saya berulang kali meneliti setiap petua di dalam kertas tersebut. Ketika itu, set ini tidak mempunyai bengkung seperti sekarang.
Saya cukup bertuah kerana mempunyai seorang bonda yang amat teliti di dalam soal berpantang.

"Jangan curi-curi, jika nak badan hebat!"

Itulah peringatan bonda dan saya hanya mampu tersenyum. Saya tahu saya ada set bersalin Ammy 60 days, amalan bertungku yang cukup lama dan juga berpantang 100 hari. Itulah yang saya lakukan untuk anak ke dua dan juga ke tiga.

Cuma... saya rasa sedikit terkilan kerana tidak menggunakan produk ini ketika bersalinkan anak yang pertama. Ketika itu, jamu ini belum muncul di pasaran dan saya terpaksa menggunakan ubatan tradisional seperti ubat periuk. Bayangkanlah, masa yang diambil untuk mereneh ubat ini. Itu belum masuk bab ubat yang pahit ini. :{
Dua hari yang lepas, saya menerima panggilan telefon dari Sendayu Tinggi. Saya tidak percaya! Wanita ini sudah berumur dan hampir 40 tahun! Kenapa dia diberi peluang untuk beraksi di hadapan kamera? Biar betul?
Alhamdulilah, syukur. Allah berkehendakkan ini terjadi dan saya tidak mampu melawan Dia. Saya cuma berdoa agar Allah pelihara saya di sepanjang proses tersebut.
Selaku juru mekap Sendayu Tinggi, Cik Yatie sememangnya seorang yang sangat peramah dan dia tidak lokek untuk berkongsi ilmu. Dek sibuk berbalas cakap, kami tidak sedar waktu dah berginjak ke tengahari. Mujurlah sesi photoshoot tidak mempunyai masalah yang ketara. Linda dengan 'kitabnya', photog mencari sudut terbaik dan... Cik Yatie yang tidak sabar melihat hasil sentuhannya menerusi komputer riba. Saya? Cuba lakukan yang paling bagus dan tiada peluang kedua untuk 'moment' seperti ini. Itu prinsip yang saya pegang rapat.
Terima kasih pada pihak Sendayu Tinggi terutamanya kepada mereka yang terlibat di dalam sesi photoshoot pada 12/6/2012; Cik Yatie, Linda dan En Photog. :) Saya cukup terharu di atas peluang yang diberikan. Moga silaturrahim ini berpanjangan dan mendapat restu Allah. Aamiin.

Monday, June 11, 2012

Gelora Di Beserah

Percutian kali ini sememangnya tidak dirancang. Saya lebih suka bercuti ke daerah Bagan Lalang kerana suasananya yang damai. Oleh kerana, ada majlis yang harus kami hadiri di kawasan Pantai Timur, suami mengambil peluang ini untuk berehat di sini.

Swiss Garden di Beserah tidak perlu diperkenalkan lagi. Hotel yang bertaraf lima bintang ini sememangnya menjadi pilihan kami sebelum kami mempunyai zuriat lagi. Kali ini, ia menawarkan potongan yang menarik jika anda membuat 'booking' melalui internet. Itu kata suami. Kata saya, ia agak mahal jika nak dibandingkan dengan hotel bersebelahannya.

Suatu sudut pandangan dari bilik kami.
Kesemua hotel di kawasan ini telah penuh. Oleh itu, rancanglah perjalanan anda sebelum datang ke sini terutamanya pada musim cuti sekolah. Anda tidak mahu berakhir dengan bermalam di dalam kereta! ^_^

Sebelum kami tiba di hotel ini, kami melewati suatu kawasan tanah lapang yang sedang dibangunkan oleh pihak pengurusan hotel. Hmmm... dua tahun lagi, siaplah... sebuah hotel bertaraf beberapa bintang milik Swiss Garden lagi!

Percutian yang sangat pendek ini tidak bermakna jika saya tidak membeli berbungkus-bungkus keropok untuk di bawa pulang. Pilihan saya, sudah tentulah di daerah Kemaman.

"Kepok habis, kak! Ada yang ini je. Ini pun mak saudara yang punya."

Huh... saya agak kecewa apabila kedai yang selalu menjadi tumpuan kami sudah kosong dengan keropok keping. Saya tak dapatlah merasa kesedapan keropok buatan keluarga ini. 0_o

"Kak datang esok ya. Kalau cuaca panas, adalah kepok."

Kalau sebaliknya? Saya pandang dia yang tersenyum manis. Tiada esok, nak hari ini juga! Saya seakan mahu menjerit.

Kami terpaksa singgah di beberapa kedai lain dan menyedari suatu kepelikan di sini.

"Kakak jual kepok Trengganu sekilo Rm15. Kalau kepok Kemaman sekilo RM23." Kata kakak yang sedang sibuk menimbang keropok keping miliknya. "Kepok Trengganu banyak tepung dik..." Tambah dia lagi.

Saya tertanya-tanya, adakah musim cuti sekolah harga keropok dibeza-bezakan atau sememangnya harganya sebegitu. Sebelum ini, kami tidak pernah tahu akan hal ini. Hmmm... Itu tugas suami untuk menjalankan siasatan. Dia mempunyai seorang rakan yang amat mahir di daerah ini. :D

Sekitar jam 9.30 pagi sebelum cuaca bertukar terik menjelang tengahari.
Jom kita nikmati suasana yang amat damai dan pantainya yang sangat landai di Hotel Swiss Garden. Sayang... lautnya bergelora ketika ini. Jangan lupa berkunjung ke sini.
Anda tentu terpesona dengan keramahan pekerjanya walaupun hidangannya tidaklah memenuhi citarasa saya. Mujurlah, ada penyelamat keadaan! Jus Mango yang begitu pekat dan bersari!
^_~

Tuesday, June 5, 2012

Dua Jiwa Bersatu

Wajah kakak agak keletihan. Saya yang terlebih! ^^
Majlis perkahwinan Ilham dan Najah pada 3hb Jun, 2012 di Simpang Renggam Johor.

Perkahwinan menyatukan dua jiwa, yang dicintai dan mencintai. Indahnya...

Orang yang paling sibuk tentulah kakak saya! Bagi dia semuanya mesti sempurna dan tidak boleh kurang. Saya cukup risau jika kesihatannya terganggu dek begitu sibuk dengan majlis ini.
Alhamdulilah, majlis berlangsung dengan lancarnya. Cuaca yang berubah-ubah pun tidak 'berani' mencatatkan majlis ini. Panasnya sampai ke lewat petang. Tuan rumah tersenyum lebar... tidak payah nak lambung baju pengantin ke atas bumbung rumah. :D
Pengantin bergambar bersama ibu & bapa.
Seperti biasa, saya tidak tahu apa yang hendak ditolong lagi. Kedatangan sepupu-sepupu saya sememangnya melegakan kakak. Dia cukup suka dan amat gembira. Namun begitu, saya teringatkan arwah ayah... Alangkah indahnya, jika dia ada. Pasti, keadaannya berbeza kan?

Saya kira kebanyakan orang di sini tidak tahu kakak mempunyai seorang adik perempuan. Mereka kerap menyapa dan bertanya. "Eh, siapa ni?"

Wajah kami tidak serupa kerana saya lebih mengikut wajah ayah. :)

Lauk pauk sememangnya amat mewah. Saya kerap bertambah nasi... Saya terlupa apa yang sudah singgah di mulut dan tidak.
~Senyum~

Kakak sudah tidak perlu risau sekarang. Majlis sudah berlangsung dengan jayanya. Mana yang kurang, tunggu majlis seterusnya pula. Kali ini, temanya warna apa ya? Kita tunggu majlis berendoilah kak. Hehehe...
Selamat pengantin baru, Ilham dan Najah. :)