RAKAN2:

Sunday, October 31, 2010

PUTRAJAYA SYURGAKU (BAB1 - BAB3)

TULISAN: ASNIDAR DAN AZRINA CERITA ASAL: DR JOHARI HAMID
SELEPAS menunaikan solat Subuh, Ibu sudah mulai turun ke dapur. Daun kelapa yang dianyam menjadi sarung ketupat sudah diisikan dengan beras lalu dimasukkan ke dalam air yang sudah mendidih. Sementelah menunggu ketupat itu masak, Ibu menyediakan kuah kacangnya pula. Di wajah Ibu sudah terbayang anaknya yang ke dua, Angah yang pasti tersenyum dengan ini semua.
Usai kuah kacang yang sudah siap dimasak dimasukkan ke dalam bekas, Ibu mula memasak rendang daging kegemaran Along. Mujurlah Ibu sudah menempah terlebih dahulu daging itu daripada kedai Tok Su Ali. Bekalan daging memang susah hendak didapati di Prang Besar ini. Jika tidak ditempah, alamatnya kempunanlah Along hendak memakan rendang daging kesukaannya.
Setelah juadah kegemaran Along dan Angah siap, Ibu mula menyediakan pula makanan kegemaran anak bongsunya. Ucu sangat suka dengan mee rebus. Setiap kali mengadap makanan ini, Ucu pasti akan berkata, “Mee rebus siapa yang paling sedap? Ibuuuu!”
Jam di dinding Ibu renung sekilas. Sudah tengahari. Ibu tersenyum gembira sendirian. Juadah kegemaran anak-anak kesemuanya sudah siap terhidang di atas meja. Sebentar lagi, anak-anak Ibu akan sampai. Sungguhpun tubuh Ibu sudah terasa penat, Ibu tiada masa hendak berehat lagi! Segera Ibu ke bilik air membersihkan diri untuk menyambut kepulangan anak-anak Ibu.
Janji anak-anak Ibu untuk berbakti kepada tanah air sendiri, terus sahaja mereka lupakan. Mereka lebih senang menetap di negara orang daripada berbakti di bumi ini. Jangankan bertanya khabar, berpucuk-pucuk surat Ibu kirimkan juga tidak dibalas. Akhirnya, Ibu terpisah dari dunia mereka berpuluh tahun lamanya.
Kini, mereka akan kembali. Ibu ketepikan semua perasaan itu. Ibu tidak kisah jika selama ini, Ibu mereka pinggirkan. Hari ini, kepulangan mereka akan disambut dengan tangan terbuka. Biarlah peristiwa lama itu di atas sebab-sebab perilaku mereka yang tidak matang.
Sebuah kereta mewah memasuki halaman rumah Ibu. Tergesa-gesa Ibu yang sedang duduk di muka pintu bangun dan cuba memerhati siapakah yang datang. Adakah penumpang itu sekadar untuk bertanyakan jalan atau tersesat? Namun, langkah Ibu terhenti di kaki anak tangga apabila melihat tiga orang lelaki keluar dari pintu kereta itu.
‘Sahihlah, kesemua itu anak-anak Ibu. Dan itu siapa pula?’ Ibu terkedu melihat aksi seorang wanita merangkul lelaki yang duduk di bahagian pemanduan tadi. Aksinya yang manja dan menggoda itu sememangnya membuatkan Ibu tertanya-tanya.
***
RUMAH usang yang tiada berbilik itu kelihatan tiada berseri buat Angah. Jika bukan kerana keterpaksaan, tidak mungkin dia ingin menjejakkan kakinya ke situ. Bau hapak yang menghuni setiap penjuru dinding rumah itu terpaksa juga Angah hidu.
Perbincangannya dengan Along di sebuah restoran makanan segera berhampiran tempat tinggal Along seminggu yang lalu masih terasa seperti baru semalam. Begitu bersungguh-sungguh dia menyusun rancangannya. Segala kemungkinan yang bakal berlaku juga telah Angah fikirkan jalan penyelesaiannya.
Cadangan yang diberikan oleh Angah tidak langsung dibantah oleh Along. Walaupun Along pada permulaannya agak ragu-ragu untuk bersetuju dengan rancangan yang dibuatnya, namun akhirnya Along akur. Perbincangan yang diadakan itu membuka ruang untuk Along melangsaikan segala masalah kewangan yang dihadapinya nanti.
Kehidupan Along banyak berubah semenjak mempunyai isteri dari kalangan orang berada. Segala kemahuan isteri diturutinya dan akibatnya dia tersepit dengan hutang yang berganda-ganda. Along berharap dengan rancangan itu, dia dapat mengembalikan maruahnya di hadapan keluarga mertuanya nanti.
Mereka juga bersetuju untuk turut menarik Ucu ke dalam kancah permainan ini. Ucu akan diberi peranan untuk memujuk Ibu memandangkan dialah yang paling rapat dengan Ibu. Angah begitu yakin Ucu akan menurut sahaja kata mereka nanti. Permainan itu akan mendatangkan hasil kepada dia juga yang belum mempunyai sumber pendapatan.
Angah cukup berbangga dengan apa yang diperolehinya sekarang ini. Jauh lebih baik dari rumah Ibu yang boleh disamakan keluasannya dengan bilik air di rumahnya kini. Namun, kehidupan sosialnya yang melampaui batas telah menjerumuskan Angah ke lembah kesusahan. Semakin hari semakin bertambah beban hutang yang ditanggung Angah sehinggakan dia sanggup mengambil jalan mudah dengan meminjam kepada lintah darat untuk melangsaikan hutangnya. Akibatnya, dia dikejar dan diugut oleh mereka kerana tidak dapat menyelesaikan hutang tersebut pada waktunya.
Angah nekad untuk pulang ke kampung setelah mendengar khabar angin daripada Ucu yang tapak tanah ini akan dimajukan oleh kerajaan! Kerajaan akan membayar wang pampasan yang banyak kepada pemilik tanah di Prang Besar itu. Tanah itu merangkumi keluasan berpuluh-puluh ekar dan termasuklah juga tapak tanah yang diduduki oleh ibu mereka itu.
Jika Ucu tidak dapat memujuk Ibu, Angah sudah mempunyai pelan yang lain. Dia sudah menyiapkan rancangan untuk menculik dan menyeksa Ibu. Dia telah pun berhubungan dengan sebuah kumpulan samseng. Kumpulan yang tidak berperikemanusiaan itu akan ditugaskan untuk membuat Ibu menyerahkan geran itu secara rela ataupun tidak. Apa pun tindakan mereka nanti, Angah tidak kisah! Baginya yang pentingnya, geran tapak rumah itu harus dimilikinya! Sekarang!
Angah juga telah berpakat dengan broker untuk sama-sama menekan Ibu dari pelbagai sudut. Segala wang pampasan nanti akan dikongsikan bersama. Angah tidak kisah, janji wang pampasan itu tidak akan berpindah ke tangan orang lain!
Angah sudah tersenyum puas apabila Along dan Ucu bersetuju dengan segala rencananya. Bagi Angah, dia harus pandai bermain dan melayangkan kata-kata manis di hadapan mereka. Along dan Ucu harus jatuh ke dalam genggamannya walaupun mereka tidak tahu yang janjinya pada mereka hanyalah dusta semata-mata.
Sudah terbayang di ruang mata Angah, kesemua kepingan berwarna biru merah itu hanyalah untuk dirinya sahaja! Lengkingan gelak besar Angah pagi itu memenuhi setiap ruang serambi rumah yang masih beratapkan nipah itu.
***
PETANG itu, Ibu duduk termenung seorang diri di atas pangkin yang dibina oleh arwah Ayah. Sewaktu arwah masih hidup, di atas pangkin itulah Ibu dan arwah Ayah berbual-bual sambil memerhatikan anak-anak bermain-main. Keadaan di situ agak redup kerana dipayungi pohon rambutan rendang di tepi halaman.
Setiap petang, Ibu dan arwah Ayah akan memerhatikan tingkah laku Along, Angah dan Ucu. Setiap kali itu jugalah Ibu dan arwah Ayah senantiasa melihat Along beralah kepada Angah. Kadang-kadang, Angah merampas barang permainan milik Along dan Along hanya akan membiarkan sahaja. Kadang-kadang Angah sengaja mengacau Along. Itu juga Along biarkan sahaja tanpa ada niat Along hendak melawan.
Ucu pula memang akan menjadi mangsa Angah. Selalu sahaja Ucu menangis dikerjakan oleh Angah. Sama ada Angah merampas barang permainan Ucu, memukul Ucu mahupun merebut makanan yang sedang dimakan Ucu, semuanya boleh membuatkan Ucu menangis. Along pula tidak akan memukul Angah, sekadar meleraikan sahaja perbuatan Angah terhadap Ucu itu.
Sikap bijak merancang sudah lahir dari dalam diri Angah semenjak kecil lagi. Bukan sekali arwah Ayah terserempak dengan Angah yang sedang menyusun rancangan hendak ke sungai bersama Along dan mengheret Ucu sekali. Malahan arwah Ayah juga pernah terdengar Angah berbincang dengan rakan-rakannya hendak mencuri ayam jiran dan memanggangnya di dalam ladang. Mujur juga arwah Ayah terdengar rancangannya itu terlebih dahulu, jika tidak sudah tentu Angah akan ditangkap oleh jiran tetangga.
Namun kini apabila sudah dewasa, Ucu juga sudah mulai pandai menjadi perantara Along dan Angah untuk memujuk Ibu. Terasa sebak hati Ibu apabila Ucu menyampaikan hasrat Along dan Angah meminta Ibu menyerahkan sahaja geran tanah kepada kerajaan dan menerima pampasan yang bakal diberikan itu. Ibu tidak sangka, anak-anak Ibu pulang hanya kerana tanah sekangkang kera ini!
"Ibu, tanah di baruh sudah dijual Pak Cik Leman. Begitu juga tanah di lembah. Pak Tih, Lebai Talib, Mak Busu dan Pak Ndak Pian semua sudah membilang duit mereka." Pujukan Ucu itu terasa sungguh menyakitkan bagi Ibu. Seperti belati yang menghiris hati Ibu ini.
‘Ibu, bukan seperti mereka! Sayang, sungguh sayang sama sekali, bila Ucu tidak faham perasaan Ibu! Ibu sayang tanah ini. Biarpun apa ditanam tidak menjadi. Apa ditaji tidak berhasil. Walaupun Ibu tahu sememangnya tanah ini keras dan berpasir. Ibu tidak kisah.’ Hati Ibu memberontak.
Bagaimanalah Ibu sanggup menyerahkan tanah ini sedangkan di sinilah kasih Ibu bertunas, bercambah dan subur mengharum. Di atas tanah inilah, Ibu dan arwah Ayah melahirkan serta membesarkan anak-anak. Di dalam tanah inilah juga Ibu semadikan uri anak-anak Ibu. Dengan harapan anak-anak Ibu akan turut mencintai tanah tumpah darah mereka ini dan juga tidak melupakan jasa tanah sekangkang kera itu.
'Tolong Along, Angah dan Ucu. Jangan ditanya kenapa Ibu tidak mahu serahkan tanah ini. Kenapa Ibu tidak mahu berpisah dengan tanah ini walau apapun yang terjadi. Biar Ibu mati kerananya. Ini milik Ibu! Inilah syurga Ibu!'
Rintihan hanya bersarang di hati Ibu. Jauh di sudut hati, Ibu mengharapkan ketiga-tiga anak itu akan mengerti hati nurani Ibu. ‘Bukankah mereka yang dikandung Ibu berpuluh-puluh tahun dahulu? Kenapa harus mereka berubah, jika mereka dari titis darah ini?’ Renung Ibu dalam tika melihat senja menghilang di kaki langit itu.
(BERSAMBUNG... CERPEN INI DIHANTAR UNTUK PERTANDINGAN BARU-BARU INI)

Thursday, October 28, 2010

Karya Pertama MIMPI ADIF

Dengan nama ALLAH yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang...



Nantikan kemunculan novel MIMPI ADIF di kedai-kedai buku ternama berhampiran anda tidak lama lagi. Anda juga boleh membeli secara 'online' di lawan web Karangkraf.
Sedikit kenangan manis semasa menulis novel ini. Saya menghadapi 'migrain' yang sangat teruk sebanyak empat kali dan terpaksa dimasukkan 'oksigen' sebanyak tiga kali. Namun, perjuangan diteruskan juga. Begitulah hebatnya ketika hendak menulis novel sulung ini.
Bacalah sesuatu dari hati...

Wednesday, October 27, 2010

Segalanya Bagaikan Bermimpi...

Alhamdulilah, proses untuk mengeluarkan novel pertama saya semakin menghampiri nyata. Beberapa minggu dari sekarang, dunia penulisan akan diwarnai oleh seseorang yang bernama Asnidar Shafie. Saya pasti berdebar-debar menanti reaksi pertama daripada semua orang. Mudah-mudahan, ALLAH memberi rahmat di setiap perjalanan itu nanti.
Dikesempatan ini, saya ingin ucapkan jutaan terima kasih kepada adik-adik di penulisan2U yang selalu menyokong dan menanti karya ini. Sahabat-sahabat terutamanya Azrin, Rosne, Hazel, Ana, Laili... yang percaya akan bakat saya. Saya juga tidak mampu untuk menyenaraikan nama semua sahabat-sahabat yang lain... terima kasih juga untuk anda.
Khas dan terutama untuk Dr Johari Hamid dan Puan Sri Diah. Anda berdua sememangnya, hebat!
Syukur, syukur dan syukur di atas bakat yang diberikan ALLAH ini.

Segalanya bagaikan bermimpi...

Wednesday, October 20, 2010

Sesuatu Dari Jiwa

Salam sayang buat semua dan terima kasih kerana sudi melapangkan masa membaca di ruangan ini.
Kebelakangan ini, masa saya agak terisi dengan meneliti atau membuat semakan pada setiap tulisan dan karya saya. Sekarang, saya akan cuba mencari idea-idea untuk dimasukkan ke dalam karya yang seterusnya. Mudah-mudahan, karya ini juga akan diterima oleh pihak penerbitan. Saya tiada apa untuk dikongsi untuk anda semua kecuali karya-karya saya.
Teruskanlah menyokong, sesuatu dari jiwa...

Tuesday, October 12, 2010

Anak-Anak Yatim Baitul Mahabbah

Kami sekeluarga berkesempatan merayakan Syawal bersama-sama dengan anak-anak yatim dari Baitul Mahabbah, Seremban. Kebanyakkan keluarga yang mengikuti rombongan ini adalah dari kalangan ahli-ahli aktif SEHELAI BAJU BUAT MENYAPU SI AIRMATA.
Betul. Perkara sebegini memerlukan pengorbanan masa dan semangat yang tinggi. Jika anda berniat untuk turut serta menggembirakan hati mereka, anda seharusnya mengenepikan tuntutan-tuntutan yang lain.
Kegembiraan jelas terbayang di wajah kami. Begitu juga dengan anak-anak yatim ini. Moga apa yang diperjuangkan oleh program ini akan tercapai. Amin.

Tuesday, September 14, 2010

Salam Lebaran

Salam lebaran buat semua pembaca blog Merpati Putih khasnya dan kepada semua umat islam amnya.
Setelah sebulan kita menunaikan ibadah puasa, maka lebaran merupakan hari kemenangan setelah sebulan menahan diri dari lapar dan dahaga.
Hari raya merupakan hari di mana kita sesama kita saling bermaaf-maafan. Salam dihulur dan tangan disambut. Masing-masing mengharapkan kemaafan. Namun, sejauh mana kemaafan ini meninggalkan kesan di hati kita. Masih adakah lagi kesan-kesan terluka, tercalar atau terguris oleh sikap-sikap lama. Sejauh mana kita membuka hati kita untuk menerima kelemahan orang lain dan mengakui akan kekurangan dirinya.
Apapun al-kisahnya, pastikan kita benar-benar ikhlas ketika menghulurkan sepuluh jari memohon kemaafan di hari lebaran ini. SALAM LEBARAN DAN MAAF, ZAHIR BATIN DARIPADA SAYA.

Sunday, August 29, 2010

Sekitar Di Rumah Anak-Anak Yatim Rawang Dan Kuang

Alhamdulilah, akhirnya selesailah misi menghantar baju-baju kurung yang baru ke rumah anak-anak yatim di Bandar Country Homes, Rawang dan rumah Anak-Anak Yatim Damai di Kuang.
Majlis ini di bawah anjuran SEHELAI BAJU BUAT MENYAPU SI AIR MATA. Laman 'Fan Page' telah ditubuhkan di atas nama tersebut bagi melaksanakan impian, sepasang baju kurung baru buat seorang anak yatim.
Perjalanan yang bermula sekitar jam sepuluh pagi berakhir kira-kira jam tiga petang. Alhamdulilah syukur ke hadirat ALLAH kerana mengizinkan saya untuk turut serta setelah berkali-kali tergendala.
Turut serta, Kak Sophia (Penyelia), Neli dan ibunya.
Sekitar jam sebelas pagi, kami berada di rumah anak-anak yatim Baitul Fitrah. Memang jelas tergambar di ruang mata anak-anak yatim ini mengharapkan sepasang baju kurung buat mereka. Masing-masing bersabar menunggu giliran untuk mencuba baju baru itu.

Jika ada baju kurung yang tidak sepadan, mereka sanggup bertukar-tukar sesama sendiri. Tidak banyak masalah yang timbul di sini. Jika ada pun, berkenaan saiz baju-baju yang diterima tidak sepadan dengan bentuk badan. Al-maklumlah anak-anak yang kian membesar.


Lain pula halnya di rumah Anak-Anak Yatim Damai. Kami tiba tepat pada waktu zuhur dan tanpa melengahkan masa terus mengagihkan baju-baju baru ini kepada anak-anak yatim di situ.
Pengagihan ini di jalankan dengan pertolongan dan kerjasama daripada pelajar-pelajar dari UITM Puncak Alam. Mereka berada di situ untuk membuat kerja-kerja amal. Terima kasih diucapkan kepada pelajar-pelajar UITM yang membantu kami di ketika itu.

Lega rasanya apabila hampir kesemua baju-baju dapat diagihkan kepada sebahagian anak-anak yatim di Kuang ini.
Letih dan penat yang bercampur dengan pengisian yang amat bermakna buat saya sebagai seorang anak, ibu dan isteri. Siapa yang meminta untuk hidup sebagai yatim piatu. Tidak punyai ibu atau bapa di dunia ini. Meneruskan hidup dengan berbekalkan kasih sayang dan rahmat ALLAH.

Ramadhan yang penuh bermakna buat Si Merpati Putih. Illalliqaq!