RAKAN2:

Friday, December 30, 2011

Saya Hanya Mahu, Ahmad!

Nampak gayanya macam kami akan berkampung di dalam hospital ini sambil melihat pancutan bunga api ke udara. Itupun jika bunga api dapat dilihat dari sini. Firasat saya mengatakan tidak!
Mungkin, kami boleh lihat burung-burung gagak bertenggek pada setiap dahan pokok-pokok tua.
Ya. Anak saya yang bongsu tidak sihat. Dia mengalami muntah-muntah dan cirit-birit yang terlalu teruk. Pada permulaannya, saya menganggap cirit-birit ini tidak akan berlarutan... Ini berpandukan dari pengalaman saya sebelum ini dengan dua orang anak perempuan. Namun, telahan saya tidak benar!
Masuk hari ke dua, Ahmad semakin lembik dan tidak mahu bersuara. Dia semakin menunjukkan reaksi yang menggusarkan saya. Untuk menyedapkan hati saya, saya membawanya ke klinik biasa sekali lagi. Ini bukan perangai saya sebenarnya. Saya lebih suka berjumpa pakar kanak-kanak sebelum ini. Entah kenapa, saya bersikap lewa kali ini. Hmmm...
Keesokkan harinya, saya bertindak lebih agresif. Ahmad terus dibawa berjumpa doktor pakar. Akhirnya, anak saya ini dimasukkan ke dalam wad. Alhamdulilah... setelah lebih dari tiga botol air dimasukkan (Ketika catatan ini ditulis), dia menunjukkan reaksi positif. Saya menarik nafas lega.

Jika sebelum ini, dia menolak sebarang makanan. Sekarang tidak lagi. Saya masih ingat, makanan pertama yang dimintanya... (Setelah lebih dari dua hari tidak makan)

"I want cheese pizza!" Sambil merenung tangan kanannya yang dimasukkan air.
Ketika itulah, saya tahu... dia sudah menjadi dirinya kembali. :D
Saya mahu Ahmad kembali cergas. Saya mahu Ahmad menjerit setiap kali kami tidak menurut kemahuannya untuk membeli roti cheese. Saya mahu dia merenget ketika mahu dibelikan hot dog. Saya mahu Ahmad, anak saya kembali seperti sediakala.

Ibu sayang kamu, Ahmad. <3

Wednesday, December 28, 2011

Majalah InTrend Jan 2012


Terus terang saya katakan, tidak pernah termimpi yang blog merpatiputih-asnidar ini akan mendapat tempat dalam majalah HEBAT ini. Ya Allah... syukur.

Terima kasih kepada En Kheme Rusly kerana sudi memilih blog ini untuk dimuatkan dalam paparan Januari 2012. Saya cukup terharu kerana blog ini dipilih bagi dimuatkan dalam Majalah InTrend bagi permulaan tahun 2012.
Ia adalah satu penghargaan buat saya dan satu semangat untuk terus mewarnakan dunia blog!

Terima kasih juga untuk adik E'one dan Shuhaimie kerana gambar merekalah yang menjadi kepala blog ini. Menarik, bukan? :)

Jangan lupa dapatkan Majalah InTrend Januari 2012 ya! Titik mula KIRANA 2012! :D

Monday, November 28, 2011

Dunia Bagi Dia.

Bermula sahaja cuti sekolah, kami sudah penuhi dengan aktiviti bercuti ke tempat yang biasa dilawati. Melaka dan Port Dickson adalah tempat yang sudah biasa bagi kami. Jika saya mahu bercerita tentang ini, sudah pasti ceritanya adalah sama dan serupa.

Ya. Melaka ada A Famosa, kedai-kedai berjenama hebat dan tempat bersejarah.

(Gambar adalah sekadar hiasan)

Port Dickson terkenal dengan pantainya walaupun sebahagian besarnya sudah tercemar dengan aktiviti mengorek pasir.

Di dalam kesibukan orang ramai yang mengambil peluang bercuti awal persekolahan ini... ada sesuatu yang menarik perhatian saya.

Orang tidak siuman atau tidak sihat!

Saya begitu sedih melihat seorang lelaki yang tidak siuman menagih simpati sebuah kedai makanan. Walaupun segala apa yang dimintanya, dia akan perolehi cuma... saya tertanya-tanya...

Jika dia sudah berkahwin, di mana isterinya?

Jika dia mempunyai anak-anak, di mana mereka?

Anak sulung saya sempat bertanya, kenapa lelaki ini bercakap seorang diri? Dia seakan menunjukkan sesuatu di hadapan. Gayanya seperti sedang berdialog dengan seseorang. Dia sahaja yang nampak.

"Jika dia nampak makhluk halus, tiada siapa yang akan percaya cakap dia..."

"Dia sudah dijanjikan Allah, syurga. Kita?"

Itulah jawapan yang saya berikan sebelum kami bertolak pulang ke Kuala Lumpur. Kepemergian saya ke Port Dickson kali ini, begitu meninggalkan kesan yang mendalam kerana...

Pada ruang mata saya masih terbayang wajah lelaki tua yang tidak terurus ini, sedang meneguk air teh. Apakah erti dunia kepada dia? Kosong semata-mata... dia hanya menanti waktu dijemput Yang Maha Esa.

Friday, November 18, 2011

Hadiah Ini Untuk Ibu.

Cita-cita Kak Ngah adalah untuk menjadi penulis seperti saya. Saya membenarkan andaikata dia sudah mencapai segulung ijazah. Saya harus akur jika anak ini hendak menurut jejak langkah saya.
Ada sesuatu yang anda semua patut tahu akan anak ini. Saya tidak pernah mengajar dia untuk membaca dan menulis kerana terlalu memberi fokus terhadap kakaknya. Namun, dia menunjukkan prestasi yang membanggakan di tadika hinggakan guru-guru tadika ada bertanya jika saya mengajarnya di rumah. Tidak sama sekali!
Ketika dia menjejakkan kaki ke tahun 1, saya membiarkan dia sendirian tanpa memberi panduan langsung. Saya tahu dia boleh. Sekali sekala, saya mengintai di sebalik pintu. Dan... di situ dia duduk menghadap buku sekolahnya. Tanpa disuruh!
Ketika ujian bulanan, saya akan sibuk mengulangkaji pelajaran kakaknya dan dia... dibiarkan keseorangan. Dia menutup buku dan tidur awal.
Nah, hampir setiap bulan, prestasinya amat membanggakan.
Di sini, saya tertanya-tanya... Bagaimana dia belajar? Saya tidak pernah menegur atau membeli buku latihan untuk dia. Saya rasa bersalah.
Dan... dia menghadiahkan dua trofi untuk saya banggakan hari ini.
Tahniah Kak Ngah. Semoga senantiasa cemerlang di dalam semua bidang. Amin.

Wednesday, November 16, 2011

Masuk Carta Lagi!

Sukar untuk dipercaya tetapi itulah hakikat yang terpampang pada barisan novel terlaris minggu ini di Retail Karangkraf Mall. Novelog Mimpi Adif di kedudukan nombor 9... sebaris dengan nama-nama hebat yang tidak perlu diperkenalkan lagi.
Sekali lagi, novel remaja ini menyelit dicelah-celah novel-novel cinta dan buku motivasi. Kali ini, ia tidak keseorangan... ditemani dengan salah satu siri dalam novel Merah Cinta Kita.
Alhamdulilah, novelog ini masih mampu berada sebaris dengan novel-novel baru walaupun ia sudah diterbitkan 11 bulan yang sudah. Semoga masih banyak lagi perkembangan positif dan cemerlang yang diangkat dari novelog Mimpi Adif. Amin. Amin.

Sunday, November 13, 2011

Bengkel Fikrah.Net & Karangkraf

Saya begitu teruja hendak menghadiri bengkel ini walaupun saya hanya mengetahuinya pada minit-minit yang terakhir.
Inilah bengkel yang paling besar pesertanya. Seramai 120 hadir untuk menuntut ilmu. Sudah tentu ada penulis di kalangan Karya Bestari hadir pada hari itu.
Nama-nama seperti Ustaz Akob disebut berulang-ulang kali. Saya hanya mampu tersenyum kerana dalam hati...
'Ustaz Akob ni rakan satu universiti...' Hehehe...
Bayarannya memang murah dan peserta juga dihidangkan dengan sajian pagi, tengahari dan petang. :D Makan, lagi! Yum...
Untuk makluman semua, peserta lelaki didapati memenuhi hampir 3/4 ruang di dalam auditorium ini. Siapa kata lelaki tidak berminat dalam penulisan? Atau mereka hadir untuk melihat Ustaz Zaha? :D Tak baik kan bersangka buruk. Mereka sudah tentu datang nak menuntut ilmu.

Ada sesuatu yang menarik perhatian saya pada hari tu. Tentulah si cilik ini.
Anak kecil ini begitu berani bersimpuh dan melihat kami yang 10 kali ganda besarnya daripada dia.
Kalaulah kita yang dewasa ini disuruh berada di hadapan, sudah tentu peluh dan menggigil. Seram sejuk!
Saya membawa pulang dua perkara dari bengkel ini.
Sang Helang dan... cintailah apa yang kita lakukan.

Saturday, November 12, 2011

Fareeda Dan Saya

Tuesday, November 8, 2011

Korban Kasih

Sambutan Hari Raya Aidil Adha pada tahun ini disambut di dalam keadaan yang serba sederhana. Hanya yang berbeza apabila suami membuat ibadah 'korban' khas untuk saya.
"Abang tidak mahu masuk syurga sorang-sorang..."
Itulah jawapannya apabila saya bertanya kepada dia kenapa korban ini ditujukan untuk saya dan bukan untuk dia. Dia ada juga memaklumkan kepada saya yang dia sudah membuat korban pada tahun lepas.
Pada tahun ini, peruntukkannya untuk saya dan bondanya.

Tidakkah diri ini dicintai dan begitu disayangi oleh lelaki ini?

Ibadah korban ini telah dilakukan oleh orang yang sememangnya arif dan pakar di dalam bidang ini di Jitra. Lebih kurang jam 11 pagi, pada hari raya yang pertama, daging-daging korban ini diberikan kepada kami untuk diagihkan. Saya begitu teruja kerana sebelum ini tidak pernah cuba belajar untuk memotong dan mengagihkan daging tersebut.
Kata bonda, "Biar sama rata..."
Alhamdulilah... daging-daging ini disedekahkan kepada saudara mara dan orang-orang yang lebih memerlukan. Tiada pilih kasih. Saya lebih suka memberi kepada orang-orang tua. Saya sudah cukup senang jika dapat membahagiakan mereka...

Thursday, November 3, 2011

Mulanya Di Sini.

Saya percaya masa telah mempertemukan saya dengan mereka ini. Bermula dari kenalan di facebook, hingga kami akan menzahirkan sesuatu tidak lama lagi. Kisah lampau menjadikan saya begitu berhati-hati memilih kawan. Ada yang manis di mulut tetapi sebenarnya racun perosak. Saya tidak pernah menyesal kehilangan seseorang kawan bermulut puaka kerana saya percaya Allah menghadirkan kawan jauh lebih hebat. Alhamdulilah...
Semoga semua yang kita lakukan kerana Allah, semata-mata. Amin.

Tuesday, November 1, 2011

Bergaya Santai Di Tasik

Jurufoto, Zack Dicarpio Jr.

Gambar-gambar ini diambil selepas sesi 'sesuatu' yang diadakan di taman tasik berdekatan PKNS. Walaupun cuaca berubah-ubah, kami mengambil peluang ini merakam beberapa keping gambar untuk kenangan.
Saya kongsikan dua keping gambar pilihan saya pada ruangan ini.
Jurufoto, Adik Eone.
Terima kasih kepada kedua-duanya. Rakan bloggers boleh menambah mereka di facebook.

Thursday, October 27, 2011

Pesta Datang Lagi!

Langit berawan pekat petang tadi. Saya sempat mengambil gambar sekeping dua... entah apalah yang begitu menarik perhatian saya pada awan petang ini.
Gelap dan sejuk Dataran Merdeka seketika.
Tujuan saya dan anak-anak ke tempat ini adalah untuk ke Pesta Buku Kanak Kanak Kuala Lumpur. Pesta ini akan berlangsung hingga minggu hadapan. Oleh kerana kekangan masa pada hujung minggu, saya tidak mempunyai pilihan... saya terpaksa membawa mereka hari ini. Melihat dari keadaan cuaca, saya tahu... kami tidak akan kekal lama di sini.
Saya teruja melihat set novel Merah Cinta Kita di susun pada rak paling atas.
"Sedikit mendongak."
Kata saya kepada staf yang bertugas. Dia terlebih dahulu memaklumkan novel Mimpi Adif ada pada rak yang paling hampir ke bawah.
Saya tersenyum.
"Tidak mengapa, akak ke sini untuk novel baru." Pada hakikatnya, saya ke situ untuk kedua-dua karya saya. Mana boleh saya lupakan yang lama setelah ada yang baru. Kan?
"A'ah... saya ada nampak nama akak pada novel-novel itu." Tambah staf itu lagi sambil menudingkan jarinya pada susunan rapi dan kemas set merah ini.
BROMMM.
Hujan!
Mata saya sudah terbeliak. Hati saya sudah cemas sementelah meninggalkan kereta hitam di bawah parkir Dataran Merdeka.
"Parkir ini senantiasa mengalami banjir kilat ketika hujan."
Ingatan saya kembali pada suara suami beberapa hari sebelum ini. Apa lagi, macam kucing nak beranaklah saya.
"Kira kira, berapa semua!"
Sejurus saya selesai membayar harga untuk buku kanak-kanak, saya dan anak-anak berlari menuju ke kereta.
"Hujan dah berhentilah ibu. Jom kita patah balik. Kak Long tak beli apa-apa pun."
Saya terus membawa kereta dan mengingatkan anak saya yang dia boleh ke situ lagi pada hujung minggu ini. :D

Monday, October 24, 2011

Pesta Buku Kanak-Kanak 2011

Pesta bakal berlangsung di Perpustakaan Kuala Lumpur berdekatan dengan Dataran Merdeka. Kalau ada di kalangan rakan-rakan yang masih belum mengetahui di mana letaknya Dataran Merdeka... boleh google dan cari ya. ;D

Novel-novel di bawah ini boleh didapati pada gerai Grup Buku Karangkraf yang bernombor 21 dan 22.

Jangan lupa, miliki...

Novelog Mimpi Adif
Selamat Tinggal Tokio Hotel
dan... Gadis Contact Lens.
Jumpa di sana! :D

Nah, Merah Cinta Kita!

Sekali lagi, adik Eone bertindak sebagai photog. Manakala adik Nurul sebagai MUA. Terima kasih untuk kedua-duanya. Sila layari...
dan lihat hasil kerja adik ini.
Tambah mereka sebagai rakan facebook anda!
*Facebook: Touchby NurulSubhaina MakeOver (MUA)

Tuesday, October 18, 2011

Hadiah Buku... Lagi! :D

Tentu rakan-rakan bloggers tertanya-tanya kenapa muka depan buku Karya Bestari ini disiarkan pada blog ini. Sebenarnya, inilah hadiah kemenangan yang sepatutnya saya terima pada bulan Julai yang lalu. Oleh kerana hal yang tidak dapat dielakkan, saya terpaksa bersabar hingga ke hari ini.
Akhirnya saya dapat juga memegang buku terbitan Karya Bestari ini. Inilah tajuk pilihan saya setelah Grup Buku Karangkraf meminta saya memilih tajuk novel/buku yang saya inginkan sebagai hadiah.
Syukur di atas rezeki Allah ini. Alhamdulilah.

Saturday, October 15, 2011

"Ibu, Mana Ipad?"

Oleh itulah... Allah menghadirkan anak lelaki yang terlalu taksub akan permainan pada komputer riba. Kecanggihan teknologi membolehkan dia mencari permainan ini dengan sendirinya pada laman sesawang. Baru berusia empat tahun... anda tidak perlu risau jika dia menggunakan komputer riba anda. Dia amat mahir! :D
Saya lebih suka jika dia mengeksploitasi dunia sebenar dari berada di hadapan komputer ini. Oleh sebab itulah, kami sengaja membiarkan komputer ini tidak mempunyai kuasa bateri. Mujurlah, dia tidak mengetahui yang komputer ini boleh dihidupkan dengan kuasa elektrik! Jika tidak...
Huh... anda bayangkanlah... anak lelaki saya boleh mengigau dan menyebut nama Ipad berkali-kali. Jika bangun dari tidurnya, perkataan yang pertama sekali disebutnya, "Ibu, mana Ipad?"
Agaknya, saya harus akur dunia saya dan dia ternyata berbeza. Jika 30 tahun yang lampau, saya tidak pernah termimpi yang komputer riba boleh menjadi sebesar buku tulis sekolah.
Siapalah yang boleh mengetahui masa hadapan... semuanya dalam bidang kuasa DIA.

Wednesday, October 12, 2011

Seni Kartun

Saya kongsikan hasil seni yang dilukis oleh seorang kartunis tidak lama dahulu. Hmmm... ada rupa saya tak? :D

Tuesday, October 11, 2011

Pergi Tak Kembali.

Kematian ada di mana-mana. Kita tidak boleh lari dari kematian walaupun sesaat.
Itulah ungkapan saya di dalam ruangan muka buku, semalam. Dan... sejam yang lalu, saya menerima berita kematian dari kampung. Sepupu perempuan saya telah meninggal dunia di dalam tidurnya.
Saya tidak mampu menangis kerana terlalu terkejut! Kali terakhir bertemu dengan arwah adalah ketika hari raya Aidil Fitri yang lepas. Arwah tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda yang meragukan...
Saya dan keluarga mendoakan agar arwah di tempatkan di kalangan orang yang beriman. Amin. Kepada kaum keluarganya, diharap semua bertabah. :-(

Monday, October 10, 2011

Juruphoto Eone Dan Saya. :D

Tidak adil kiranya saya tidak membuat sedikit catatan tentang adik ini. Dia banyak mengikut saya ketika majlis yang bersangkut paut dengan Fareeda. Dia tidak pernah bersunggut atau memberikan muka masam jika penat atau sebagainya.
Terima kasih untuk Adik Iwan atau Eone. Anda boleh layari dan hubungi adik ini di sini. Lihatlah hasil kerja dia yang unik di blognya, okey!
Oh... saya terlupa hendak memberitahu rakan-rakan bloggers. Gambar yang dimasukkan ke dalam Berita Harian di bawah artikel Mimpi Adif pada 7/10/2011 adalah hasil seni adik ini.. Bertuah kan dia! Di dalam ratusan gambar saya, gambar itu yang dipilih!
Terima kasih juga buat En Adli Sharar yang memilih gambar itu.

Sunday, October 9, 2011

Bengkel Penulisan Kanak-Kanak

Sudah lama, saya tidak menghadirkan diri pada sebarang bengkel penulisan. Kali ini, saya cuba sedaya upaya untuk ke bengkel penulisan kanak-kanak yang diadakan di Cheras. Mujurlah, hujung minggu suami tidak dipenuhi dengan aktiviti sukannya.

Terima kasih puan penceramah kerana sudi berkongsi ilmu. InsyaAllah, kita jumpa lagi! :D

Friday, October 7, 2011

Humaira' 11 Tahun!

Kek hari lahir Kak Long yang ke 11 tahun pada 6/1/2011. Cantik tak? 'Filing' kek ini adalah Black Forest. Yum... yum...
Sambutan ala kadar sahaja. Kami memilih Istana Bambu kerana tempatnya sangat cantik. Hiasan ala-ala Bali...
Cepat tiup 1...2...3... fuh... fuh...
"Baik-baik, nanti tersembur air liur" Hehehe...
Ahmad senyum lebar... "Yeahh... saya dapat potong kek. Abah, cepat ambil gambar saya!" Eh... hari lahir siapa ni?
Apa pasal muka Kak Ngah agak monyok?
Dia tak dapat potong kek!
Acara akhir sesudah kenyang...
Alhamdulilah... Selamat hari lahir anakku. Semoga anak menjadi seseorang yang berjaya di dunia dan di akhirat. Amin. <3

Bagaikan Bermimpi!

Berita Harian, Jumaat, 7/10/2011 pada ruangan Dunia Buku. Muka surat 15.
Pagi ini saya dikejutkan dengan satu panggilan telefon daripada seseorang yang amat dekat di hati saya.
"As, beli Berita Harian!"
"Kenapa kak?"
Itulah soalan lazim yang saya selalu bertanyakan Kak Iza setiap kali dia menyuruh saya membeli surat khabar ini. Tak terkecuali, hari ini.
"Ada artikel pasal Mimpi Adif... gambar As pun ada sekali."
"Ishhh... Akak tipulah!"
Saya tidak percaya. Tiada ribut dan tiada angin...
"Ya Allah, Kak Iza tak tipu!"
Nah, Terbeliak biji mata saya! Satu muka penuh! Alhamdulilah... Terima kasih kepada Berita Harian dan penulis ulasan ini Encik Adli.



Artikel yang sama turut dimuatkan dalam Berita Harian Online. Sila layari...
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/DuniaBuku_MimpiAdif/Article
Terima kasih kepada semua yang terlibat!

Wednesday, October 5, 2011

Aishiteru

Sedikit pesanan buat bakal-bakal pengantin... kesabaran dan sikap bertolak ansur itu penting. Bercintalah setiap hari. :D

MERAH CINTA KITA

Rakan bloggers boleh lihat sendiri hasil illustrasi yang begitu menarik pada kulit novel. Itu belum lihat di dalamnya lagi. Penuh warna-warni! ;)
Karya saya: Fareeha Babe Bahulu
Karya saya: "Isabel nak kurus, mak!"
Rakan bloggers juga berpeluang untuk memasuki peraduan bagi setiap pembelian set MERAH CINTA KITA. Nak tahu bagaimana caranya?
Sila klik di sini > Http://www.bukuprima.com.my/
Jangan lupa dapatkan yang ASLI! <3

Sunday, October 2, 2011

Bertuahnya Asnidar! Amin.

"Eh, betulkah nama saya yang dipanggil?"
Saya cukup terkejut dan terharu apabila nama saya disebut sebagai salah seorang pemenang cabutan bertuah petang itu.
Niat saya ketika menghadiri majlis raya Fareeda pada 1/10/2011 (Sabtu) adalah untuk berramah mesra dengan peminat-peminat Fareeda. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada pemiliknya yang memberi kemenangan kepada saya tempoh hari.(Merujuk pada pertandingan Fareeda 2011). Jadi kehadiran saya adalah sebagai tanda sokongan.
Tapi... lain pula rezeki Allah hari itu. Saya tidak pulang dengan tangan kosong. Kotak yang berisi selendang tone ini akan saya kenang sampai bila-bila. InsyaAllah.

Terima kasih kepada Fareeda, adik Iwan (juruphoto) dan suami serta anak-anak yang sudi mengikut saya ke majlis ini.

Friday, September 30, 2011

Karyaku!

Dari kiri:
1- Novelog Mimpi Adif, terbitan 2011
2- Merah Cinta Kita No. 2, terbitan 2011
3- Merah Cinta Kita No. 4, terbitan 2011

Thursday, September 29, 2011

Harta Ayah

Saya masih ingat lagi kali pertama arwah ayahanda menunjukkan kompilasi majalah guru yang dia bukukan. Bercahaya matanya dan dia begitu bersemangat ketika bercerita tentang ini. Saya masih boleh ingat bayangan kenangan itu walaupun ketika itu saya masih bersekolah rendah.

Sambil bercerita... dia membuka helaian demi helaian. Saya tidak faham kenapa arwah begitu berminat untuk berkongsi semua buku-bukunya kepada saya. Dan hari ini ayah... anakmu ini faham.
Arwah begitu sayangkan buku ini lalu dia letakkan di tempat yang paling tinggi. Ketika itu, saya memerlukan kerusi untuk mencapainya. Oleh kerana itu, saya hanya membaca novel-novel dan buku-buku yang terdapat di bahagian bawah rak. Kesemuanya saya baca dan kadang-kadang... saya mengulang baca berkali-kali.

Setelah arwah meninggal tiada siapa yang menyentuh kedudukan buku ini. Ia masih di situ dan tetap di situ. Walaupun, saya sudah boleh mencapainya tanpa menggunakan kerusi... saya tidak pula peduli untuk membacanya. Tidak tergerak langsung...

Sehinggalah banjir besar datang ke kawasan Jitra dan meragut lalu menghancurkan kesemua koleksi novel-novel serta buku-buku arwah... kecuali... kompilasi majalah guru ini.

Dan ketika catatan ini ditulis, air mata saya berlenangan...

"Jangan ayah risau, bukumu selamat di tanganku..."

*Al-Fatihah untuk Cikgu Shafie Jaafar.


Jom Ke Bengkel!

InsyaAllah, saya dan rakan akan menghadirkan diri ke bengkel ini. Penceramahnya adalah rakan facebook saya dan saya kenal ketika kami bertemu sedikit masa dulu. Jom ke bengkel!

Wednesday, September 28, 2011

Dua K dan Satu J


Malam ini, saya hendak memperkatakan tentang tiga perkara yang agak mudah disebut dan sukar dilaksanakan. Ia adalah KESETIAAN, KEJUJURAN DAN JANJI.
Kesetiaan
Apakah yang dimaksud dengan setia? Teguh hati, tetap hati dan berpegang teguh.
Persoalannya:
Mampukah kita setia jika melihat kecurangan berlaku di hadapan mata. Di mana letaknya kesetiaan seorang isteri jika terlihat pesanan ringkas milik suaminya yang berbunyi nada sayang daripada seorang perempuan yang lain?
Mampukah seorang tunang mengiakan janji setia sehidup semati jika melihat tunangnya bermesra-mesraan dengan perempuan yang lain.
Dan... bagaimana pula kesetiaan di antara sahabat dengan sahabat yang lain. Masih mampu setia jika sahabatnya meruntuhkan maruahnya di belakang tanpa pengetahuannya?
Kejujuran
Bolehkah kita jujur dalam memperkatakan sesuatu bila mana penyelewengan berlaku di hadapan mata?
Bolehkah kita berlaku jujur kepada orang lain demi menjaga air mukanya. Adakah kita berlaku jujur kepada diri sendiri dengan memperkatakan hal yang sebaliknya?
Jujurkah kita selama ini?
Janji
Islam ada menggariskan tentang janji dan seumpamanya. Kata pepatah melayu, lembu dipegang pada tanduknya... manusia pada janjinya. Saya percaya dalam kontek sekarang... kita mudah sangat menyatakan janji dan agak sukar untuk membuat setelah memperkatakannya.
Ingatlah rakan bloggers, jangan suka menabur janji... hari ini orang akan percaya dan esok... belum tentu lagi.
Hal di atas cuma sekadar ingatan kepada diri sendiri. Tiada kena mengena dengan orang yang masih hidup ataupun sudah tiada.
Jumpa lagi!

Tuesday, September 27, 2011

"Cik adik, mahu beli bunga?"

Semenjak dari kecil, saya adalah seorang kanak-kanak perempuan yang tidak gemar sebarang jenis bunga. Jika rakan-rakan perempuan saya suka akan bunga... saya tidak boleh untuk menyukainya. Entahlah... Apalah yang agak pelik dengan saya ni?
Arwah ayahanda memang gemar bunga-bungaan. Sewaktu hidupnya, dia mempunyai pelbagai koleksi bunga hidup. Ada Bunga Mawar, Bunga Kertas dan lain-lain lagi. Saya tidak cuba untuk menyentuh atau menolong ayahanda ketika dia sedang menyemai bunga-bunga ini. Saya hanya memerhati dari jauh kerana... saya tidak suka bunga. Kenapa ya?
Mungkin ini sebahagian alasan saya... Untuk menanam dan membelai pokok-pokok bunga ini memerlukan masa. Ya. Masa. Saya tidak ada masa untuk itu. Saya tidak cukup sabar untuk membelek dan meneliti apa yang tidak kena dengan pokok-pokok itu nanti. Akhirnya, mereka akan mati kekeringan. Saya tidak sanggup menjadi seorang pembunuh!
Setelah umur ini menghampiri 40 tahun, saya membeli sepasu bunga-bungaan! Inilah satu-satunya bunga yang saya ada.

Sunday, September 25, 2011

Bumi, Matahari Dan Antares.

Perbandingan di antara Bumi, Matahari dan Bintang Antares. Jika rakan bloggers pernah membaca catatan tentang Antares di dalam blog ini, anda tahu apa maksud saya. Bintang Antares merupakan bintang yang sangat besar dan jejarinya 800 kali dari Matahari!
Saya kongsikan gambar-gambar ini.
Bumi bagaikan satu titik dari Matahari.
Matahari pula, bagaikan satu noktah dari Bintang Antares (Arcturus).

Betapa besarnya galaksi Allah... Hanya Dia yang tahu