RAKAN2:

Friday, April 16, 2010

Bercuti Di Johor Bahru

Kami bertolak seawal jam 7.30 pagi untuk ke Johor Bahru. Berbekalkan tea tarik dan beberapa keping karipap panas, suami bertolak menyusuri jalan raya yang agak sesak dengan kenderaan bermotor.
Lebih kurang jam 10.00 pagi, kami berhenti di Restoran Jejantas Air Keroh untuk bersarapan. Kami telah memilih Restoran A&W sebagai pilihan kami pagi tadi. Cuaca amat baik di sepanjang perjalanan kami. Permandangan di kiri kanan lebuh raya menghala ke Johor Bahru seperti biasa dipenuhi dengan pokok-pokok kelapa sawit. Ada pokok kelapa sawit yang sudah mati dan ada juga yang masih di dalam proses tanaman semula.
Saya lebih tertarik dengan nama sebuah tempat di Johor iaitu Sedenak. Bagaimana Sedenak mendapat namanya? Saya harap orang Johor boleh bantu saya!
Tepat jam 1 tengahari kami tiba di bandar Johor Bahru. Berpusing-pusing juga kami mencari jalan ke hotel M-Suites, tempat penginapan kami di sepanjang percutian ini. Nasib baiklah ada bantuan penunjuk arah dari telefon bimbit suami.
Sebelum tiba di hotel tersebut, suami menunaikan sembahyang jumaat di Masjid Sultan Abu Bakar. Masjid ini terletak di puncak bukit berhadapan dengan Selat Tebrau. Sesudah itu, kami singgah makan tengahari di Mc Donald yang terletak di Jalan Kuning. Saya sempat membeli beberapa ketul roti dari kedai roti Lavender dan Auntie Anne's di situ.
Selepas mendaftar di kaunter khas di lobi M-Suites, kami di beri kunci bernombor 330. Saya sungguh terpegun kerana bilik ini cukup luas dan selesa. Jika dilihat dari jalan raya, hotel ini seakan tidak bermaya dan agak kusam tetapi tidak biliknya!Keseluruhan perabutnya diperbuat dari kayu jati. Baik dari kabinetnya sehinggalah ke bilik tidurnya. Sebagai peminat kayu
jati, saya sungguh teruja!(Gambar)



Permandangan dari bilik amat menyenangkan saya. Dikanannya terletak sebuah kolam yang berwarna kebiru-biruan. Manakala di hadapan bilik ini, Selat Tebrau terbentang luas. Lihatlah sendiri gambar-gambar yang di ambil suami sebelum hujan lebat meratah dan menutup pandangan kami(Gambar).
Sebelum makan malam, kami sempat ke Danga Bay untuk melepas rindu setelah 5 tahun tidak ke sana.
Anak2 semua sudah dibuai mimpi...dan saya doakan semoga ini merupakan kenangan terindah buat mereka.

Wednesday, April 14, 2010

Gempa Bumi Vs Pilihanraya Hulu Selangor

Hari ini saya dikejutkan dengan ramalan gempa bumi yang bermagnitud 6.9 di China. Semenjak kejadian gempa bumi di Chile, kita dikejutkan dengan ratusan gempa bumi yang bertali arus.
Apabila gempa bumi berlaku, kita akan berdepan dengan kehilangan. Suami akan kehilangan isteri. Anak akan terpisah dari ibunya. Kekasih akan meratapi kematian orang yang dicintainya. Malah, mereka akan hilang tempat berteduh!
Bumi seakan memberi kita amaran bahawa dia sudah lama. Dia sudah tua. Kiri dan kanannya sudah lemah. Dia semakin tidak berdaya.
Lain pula halnya di Hulu Selangor. Satu pilihanraya bakal diadakan pada 24hb April 2010. Pasti kemeriahan akan dapat kita rasai apabila poster-poster dan bendera-bendera dari parti-parti yang bertanding, megah berdiri di segenap penjuru Hulu Selangor. Semakin dekat dengan hari penamaan calon pada 16hb April 2010 dan 17hb April 2010, maka semakin riuh semangat dapat kita baca di laman-laman 'facebook', blogger, suratkhabar dan sebagainya.
Sesiapapun wakil yang diangkat dan dipilih oleh rakyat, itu adalah kuasa muktamad. Selamilah hati penduduk di kawasan yang terbabit, berilah apa yang mereka mahu dan bukan apa yang kita mahu!
Baik gempa bumi atau pilihanraya ini, keduanya mampu memberi impak kepada ruang litup dan keadaan di sekeliling mereka...
Dapatkah anda rasai 'gegaran'nya?

Sunday, April 11, 2010

Sakit Kepala...dia datang lagi!

Sakit kepala telah sebati dan sinonim dengan diri saya. Kadang2 pencetus sakit kepala atau migrain ini datangnya dari panas atau permakanan yang tidak seimbang.
Saya pernah terbaring 2 hari di dalam bilik tidur kerana sakit kepala. Siang atau malam, bagi saya sama sahaja. Oleh kerana itu, terlakarlah sebuah puisi yang bertajuk DIA DATANG.
Puisi DIA DATANG menceritakan perihal sakit kepala saya pada ketika itu. Sahabat boleh membaca puisi ini, diruangan puisi.

Saturday, April 10, 2010

Benar Benar Luhur...

Semalam telah berlangsungnya pameran kedua solo Dato' A Samad Said atau lebih dikenali sebagai Pak Samad di Balai Seni Lukis Negara. Sebanyak 105 buah lukisan yang menggunakan lakaran2 pen dan warna telah dipamerkan. Tarikh 9hb April 2010 telah dipilih kerana hari tersebut juga merupakan ulang tahun beliau yang ke 75 tahun.
Saya bersama kedua anak perempuan saya telah meluangkan masa untuk melihat karya2 beliau dari dekat lagi.
KATA LUHUR adalah tema pameran pada malam itu. Ia mengadaptasikan warna merah dan hitam. Pameran ini berlangsung sehingga 10hb Mei 2010. Menurut kata Pak Samad, merah melambangkan matahari dan hitam pula kegelapan.
Sekitar jam 8.15 malam, saya dan anak2 mengambil tempat di hadapan pentas utama yang keseluruhannya berwarna merah. Saya juga ditemani sahabat saya, Rosne yang memakai baju kurung moden berwarna biru.
Majlis ini dirasmikan oleh seniman yang juga sahabat Pak Samad, Dato' Syed Jamal. Celotehnya amat menghiburkan walaupun agak panjang ucapannya. Saya dapat rasakan bagaimana sebak, pilu dan hibanya beliau ketika merasmikan pameran tersebut. Mungkin kerana teringat segala jerit perit beliau dan Pak Samad dari Singapura ke Malaysia.

Pameran KATA LUHUR mempamerkan lukisan kebanyakkannya dilakarkan dalam warna merah dan hitam. Saya tertarik pada karya Pak Samad yang menggunakan pen dan kertas dari setiap hotel yang pernah beliau lawati. Begitu luhurnya lakaran tersebut yang menggambarkan perasaan beliau ketika bermalam di situ. Hati beliau di ketika dan saat itu dapat diselami menerusi lakaran yang tidak sekata dan sekata.
Satu kepuasan bagi saya kerana dapat berada di ruang litup di mana karya-karya seni dipersembahkan. Saya pasti kembali ke situ lagi...saya BENAR BENAR LUHUR!

Monday, April 5, 2010

Bercuti Di Balok

Balok Seaview Resort & Summer Camp adalah tempat percutian saya dan keluarga kali ini.
Setelah selesai hari keluarga PPZ di Bandar Tasik Selatan, kami bergegas ke Balok. Perjalanan kami mengambil masa lebih kurang 4 jam sebelum sampai di Balok jam 6 petang.

Setibanya kami di sini, kami dikejutkan dengan tempat yang cukup sederhana dan menenangkan. Kami menginap di bilik bernombor 17 yang terletak berhadapan dengan sebuah kolam ikan dan kolam renang. Melihat dari air kolamnya, saya kurang pasti apakah ikan mampu hidup di dalam kolam tersebut.
Sebaik sahaja meletakkan beg-beg pakaian, anak-anak sudah menjerit mahu ke kolam. Saya lebih suka duduk di beranda sambil berfb. Memang nyaman di situ kerana angin dari laut bertiup masuk ke kawasan peranginannya.

Selepas solat maghrib, kami makan malam di kafe yang terletak beberapa langkah dari bilik penginapan. Makanan malam itu berunsur BBQ. Memang banyak sungguh hidangan malam itu.

Ada sotong, udang, ayam, kambing dan juga kerang rebus. Saya makan banyak malam itu...makanannya memang sedap!
Saya mengambil kerang rebus dan mencicahnya dengan sambal kicap yang telah dicampurkan dengan bawang dan cili padi. Berselera sungguh saya malam itu!

Keesokkannya, seawal jam 7 pagi suami telah ke pantai Balok. Dia memang suka dengan suasana pagi yang nyaman. Lihatlah hasilnya! Walaupun dari kamera yang biasa-biasa sahaja mampu menceritakan pagi di Balok.
Ketika itu, anak-anak masih dibuai mimpi. Hujan lebat malam sebelumnya telah membuat mereka tidur seakan tongkang pecah di atas katil. Pada permulaannya, mereka tidak dapat melelapkan mata kerana mendengar bunyi2an dari si kodok, sang cengkerik dan unggas rimba. Akhirnya, mereka rebah kerana menyahut panggilan jiwa.

Pagi itu, kami bersarapan nasi lemak dan sambal ikan bilis berserta air kopi. Setelah selesai bersarapan, pertandingan mewarna telah diadakan tepat jam 8.30 pagi.
Ketika anak-anak sibuk mewarna, saya sekali lagi mengambil peluang ini berfb. Saya sempat melihat ibubapa lebih teruja dan bersungguh-sungguh seakan mereka yang bertanding!
Saksikanlah, si jantung hati saya mewarna (gambar)! Saya pun tidak pasti apalah yang dibuatnya. Agaknya dia pun ingin menambah perisa pada pertandingan ini. Yang pastinya, dia hanya mampu bertahan dalam 10 minit sahaja, sebelum merenget-renget minta di dukung.


Sejurus kemudian, pertandingan 'telematch' telah diadakan berhampiran dengan kawasan pantai. Panas terik hari itu tidak menghalang kesemua ahli-ahli keluarga dari mengambil bahagian. Mujurlah, ada sebatang pokok berdekatan dengan pagar biru buat kami, si puteri lilin(gambar).
Pelbagai acara telah diatur oleh suami dan rakan-rakannya. Ada acara lari sambil memegang bola pingpong di dalam sudu, acara belon, bowling pantai dan juga acara merebut gula-gula.
Hah, tengok tu si jantung hati saya! Dia pun sibuk hendak mengambil bahagian.
Saya hanya menjadi pemerhati bebas dari jauh sahaja. Dari pagar biru, saya dapati kesemua ahli keluarga memberi sokongan luar biasa kepada setiap acara yang dipertandingkan.
Tengahari di Balok.
Sekali lagi kami dihidangkan dengan pelbagai jenis lauk pauk. Antaranya adalah ayam masak merah, sup tulang, masak lemak nangka, kepah berlada dan segala jenis ulam ulaman. Saya dapati ada 4 jenis sambal, buah2an dan juga berjenis-jenis air minuman. Sekali lagi saya makan bertambah!
Selesai makan tengahari, acara memberi hadiah diadakan. Sekali lagi, kedua anak2 saya menang pertandingan mewarna! Walaupun, hadiahnya tidak seberapa, semangat muhibbah yang ditunjukkan oleh setiap ahli keluarga dan rakan-rakan suami amat menyentuh perasaan saya.
Saya PASTI rindukan masakan di Balok. Saya juga rindukan angin lautnya tatkala menerjah masuk ke ruang kafe. Saya juga rindukan irama kodok, cengkerik dan unggas rimba, tika mendodoikan malam saya.
Makananlah yang akan menarik saya ke Balok sekali lagi!

Saturday, April 3, 2010

Hari Keluarga PPZ 2010

Seawal jam 7 pagi...saya dan keluarga sudah keluar menuju ke Bandar Tasik Selatan, Cheras. Tujuan kami ke sana untuk menghadiri sambutan hari keluarga PPZ 2010. Seperti biasa, ia dimulai jam 8.30 pagi dengan bersarapan bihun goreng, sandwich dan tea tarik. Cukup untuk membuatkan saya bertenaga seharian!

Seperti biasa, acara dibahagikan kepada beberapa kumpulan mengikut nama tasik yang ada di lembah kelang, antaranya Tasik Pemaisuri, Tasik Perdana, Tasik Titiwangsa dan sebagainya.
Saya lebih tertarik apabila tahun ini, pihak PPZ telah menyediakan dua orang kartunis untuk melakar wajah ahli2 keluarga PPZ. Saya adalah antara orang yang terawal dilakarkannya. Kami sempat bertukar-tukar pandangan tentang seni.
Dari tempat karikatur itu, saya dapat melihat kedua anak perempuan saya sedang beratur untuk mengambil pelbagai bentuk belon dari seorang lelaki cina yang agak berumur. Manakala, anak lelaki saya pula sibuk bermain dengan bola.
Sebelum makan tengahari, kedua anak perempuan saya memasuki pertandingan mewarna dan 'sand art'. Kak long lebih teliti di dalam mewarna. Lain pula halnya dengan kak ngah. Dia suka memasukkan kesemua warna mengikut kehendak hatinya. Bahagia jelas terpancar di wajah saya apabila kedua anak perempuan saya menang tempat pertama acara mewarna dan 'sand art'.
Ada seni rupanya mereka!
Sesudah makan tengahari di tempat VIP, kami bersiap sedia untuk meneruskan perjalanan ke Pantai Balok.
Kami menuju ke Balok dengan kereta yang sarat dengan hadiah-hadiah!

Thursday, April 1, 2010

Bonda

Hari ini saya dikejutkan dengan kematian seorang bonda pada sahabat saya. Saya dapat rasakan renyuk hatinya.Yalah, siapa yang tidak sayangkan bonda...Takziah, saya ucapkan pada dia.
Kemudian, saya dikejutkan dengan bonda suami yang dimasukkan ke 'Ipoh Specialist'. Berkejaran kami ke sana. Berdebar juga degupan jantung apabila hujan lebat dan ribut petir seakan menghalang perjalanan kami...alhamdulilah, semuanya selamat.
Terimakasih atas doa-doa rakan-rakan di fb buat bonda.
KETAHUILAH...BONDA HIDUP DI DALAM SETIAP DIRI KITA!