RAKAN2:

Wednesday, September 26, 2012

Majlis Aidilfitri FAREEDA 2012

Hampir dua minggu, saya tidak mengemas kini ruangan ini. Bukannya tiada cerita yang mahu dikongsi dengan pembaca, malah saya ada banyak catatan yang menarik. Namun, saya harus lupakan itu semua memandangkan ada perkara penting yang harus diselesaikan.

Majlis Aidilfitri FAREEDA menutup tirai Syawal kali ini. Kehadiran peminat sudah diduga semenjak awal lagi. Sangat ramai!
 
Kadang-kadang saya terfikir, bagaikan ada kuasa yang menarik mereka ke situ. Hah, saya pun salah seorang daripadanya. Bukan makanan yang kami cari tetapi... tudung! Apa paten terbaru? Bagaimana bentuk dan kain pula?

"Eh, tak puaslah... kalau tidak lihat dari dekat." Itulah rungutan salah seorang model yang pernah dipelawa untuk menghiasi ruangan laman utama FAREEDA.
 
Mereka yang hadir.
Seperti kebiasaannya, FAREEDA pasti menyajikan makanan yang sangat mewah. Kali ini, saya tidak memikirkan soal makanan. Ada perkara penting harus diselesaikan. Alhamdulilah, semuanya berakhir dengan keadaan yang sempurna dan baik sekali. Allah! Allah!
 
Moga ukhwah dan silaturrahim ini berpanjangan. Saya menyeru kepada pemakai tudung FAREEDA atau yang baru berjinak-jinak dengan jenama ini...
 
Duta FAREEDA, Cik Mawar dan saya
Hiasilah peribadimu dengan budi pekerti yang baik. Tidak salah untuk merendah diri. InsyaAllah tudung FAREEDA akan lebih cantik dan berseri pada wajah anda semua. Aamiin.
 
 
 

Wednesday, September 12, 2012

Ya. Saya Sudah Bersedia!

Saya mengambil masa yang agak lama untuk mencari waktu yang 'sesuai' bagi meneruskan impian prof ini. Beliau mahu melihat saya menghasilkan skrip drama atau tv. Saya tidak pasti dari mana prof mendapat idea yang agak 'pelik'. "Prof, jangan marah ya." :D

Pertama, saya baru menulis beberapa manuskrip dan sekarang, saya sudah mahu 'bermain' dengan drama pula.

Kedua, saya masih berjinak-jinak dengan penulisan di dalam bidang majalah. Saya mahu pergi jauh lagi di dalam bidang ini. Adakah saya ada masa untuk ini?

Dan bukannya yang terakhir, apa jadi dengan manuskrip 'A' itu? Saya akan menghabiskannya sebelum menjejakkan kaki ke universiti tahun depan! Apa? Ya. Saya mahu kembali ke universiti. Saya mahu merasai alam itu. Saya sudah bersedia untuk apa saja kerana umur saya semakin lanjut.

Saya sudah tidak punyai masa lagi.

Ke garisan... sedia... lari!

Tuesday, August 28, 2012

Syawal, Bulan Kemenangan!

Kita masih lagi di dalam bulan Syawal. Tidak terlewat untuk saya mengucapkan; Salam Aidilfitri 1433H. Maaf, zahir dan batin kepada semua pembaca blog merpati putih.
 
Bulan Ramadhan adalah bulan yang paling sibuk dengan aktiviti yang boleh menaikkan saham akhirat. Sementelaah pula, anak sulung saya akan menghadapi peperiksaan UPSR tidak lama lagi... bertambah-tambahlah sibuknya. Anak yang nak periksa, ibunya pula yang terlebih berdebar. ^^
 
Kali ini, lebaran diraikan dalam kesederhanaan... disebabkan, hati saya lebih memikirkan peperiksaan yang bakal menjelang. Kata arwah ayah, "Tiap-tiap tahun, boleh raya."
 
Kami hanya mengambil masa yang cukup singkat untuk beraya di Kedah dan juga Perak. Cukuplah... sekadar penyedap hati dan mata.
 
Nah! Raya ke tiga, kami sudah kembali ke kota berdinding batu ini. :D
 
 

Thursday, August 9, 2012

KOSMO - 8/8/2012

Iklan FAREEDA, dua muka surat penuh pada 8/8/2012
di dalam akhbar KOSMO.
Pandangan dari dekat.
 Alhamdulilah, saya amat bersyukur tika menerima sms yang menyatakan saya harus menulis tentang 'sesuatu' untuk dimasukkan di dalam akhbar KOSMO. Namun, saya agak berdebar untuk merealisasikan tulisan itu kerana masa yang diberi hanyalah 30-40 minit sahaja. Saya tak sempat untuk membuat kajian terperinci tetapi pengalaman sendiri banyak membantu untuk melunaskan kerja semalam. Hasilnya, anda boleh lihat di dalam akhbar KOSMO semalam.

Ini adalah kedua kalinya, saya menulis di dalam akhbar yang sama. Sebelum ini, nama saya tidak tercatit di dalamnya. Kali ini, ia jelas terpapar pada ruangan iklan FAREEDA. :) Sudah janji Allah, rezeki ini ada di dalam bulan Ramadhan 1432H. Terima kasih Allah s.w.t, Puan Faridah Zakaria dan KOSMO. Mudah-mudahan, kerjasama ini akan berpanjangan. Aamiin.

Monday, July 30, 2012

Sehelai Baju Menjalin Kasih

Program Sehelai Baju Pada 29/7/2012.
Bertempat : Rumah Jalinan Kasih, Batu 10 Cheras.
Apalah yang dibincangkan tu. ^^
Ini adalah kali ke dua, saya dan keluarga berpeluang mengikuti program Sehelai Baju pada tahun ini. Pada awalnya, saya berkira mahu memakai baju kurung moden berwarna merah, namun... saya menukar fikiran di saat-saat akhir. ^^ Saya tidak boleh menolak keinginan diri sendiri untuk menyarungkan baju tema tim ini; baju berona merah darah yang mempunyai sulaman nama sendiri! Sudah tentulah, saya pergunakan peluang ini dengan sebaik-baiknya.
Ini untuk adik!
Perjalanan untuk menjejaki rumah anak-anak yatim ini agak bersimpang siur... mujurlah ada teknologi yang boleh diharap. :) Alhamdulilah... majlis yang berjalan mendapat tajaan sepenuhnya daripada orang yang sangat pemurah. Kami yang datang tidak lupa membawa serba sedikit makanan. Yalah. Kata mentua, jangan bawa tangan kosong ketika berkunjung ke rumah kenalan. Paling tidak, sekilo gula. Buat pemanis, seperti orangnya yang sudah manis. :D

Banyak pengalaman baru yang saya 'timba' di sini. Mata saya juga tertarik untuk melihat gelagat kanak-kanak lelaki yang hampir sebaya dengan Ahmad. Saya sempat mengusik Ahmad untuk membawa anak ini pulang. Tiada pula jawapan daripada dia.
Bergambar. Saya di mana, ya? ;)
Saya berharap anak-anak saya akan mengutip pengalaman ini dan belajar sesuatu dari kunjungan kami ke sana. Ini adalah sesuatu yang perlu mereka lihat dan kaji dengan menggunakan akal yang telah diberikan oleh Allah itu. Saya pernah melalui perkara sebegini bersama arwah ayah dahulu... mungkin, keadaannya berbeza tetapi... maksudnya tetap sama.
Dan... saya masih tidak jemu untuk memerhati dan meneliti hingga ke hari ini.

Tuesday, July 17, 2012

Artikel Sinar Harian


Akhbar Sinar Harian, 17/7/2012

Keratan akhbar menceritakan sekitar program penyerahan baju di Rumah Kasih Harmoni,  Rawang pada hari Ahad yang lalu. Artikel ini disiarkan pada hari ini <17/7/2012>. Terima kasih Sinar Harian dan tim sehelai baju yang memberi peluang kepada kami sekeluarga untuk turut serta di dalam program ini.

Mudah-mudahan, matlamat dan sasaran pada tahun ini, berjaya! Aamiin.

Monday, July 16, 2012

Sehelai Baju Penyambung Kasih

Program: Sehelai Baju Buat Menyapu Si Air Mata  2012 (SBBMSA 2012)
Tarikh: 15/07/2012
Bertempat: Rumah Kasih Harmoni, Rawang

Bergambar di lokasi pertemuan.
Tim sehelai baju sudah aktif di dalam program ini semenjak tahun 2010 lagi. Ini adalah tahun ke 3. Tim ini mengumpul, mengagih dan menyalurkan baju kurung/ baju melayu BAHARU sahaja kepada anak-anak yatim. Ia akan bergerak sekiranya menerima bantuan daripada orang perseorangan mahupun korporat.
Anda boleh layari www.sehelaibaju.com untuk membaca serba sedikit sejarah penubuhannya.

Bergambar sebagai kenangan di hadapan
rumah anak yatim 'Kasih Harmoni'. :)
Semalam, tim sehelai baju melakukan aktiviti penyerahan baju-baju ini di salah sebuah rumah anak -anak yatim di kawasan Country Homes, Rawang. Ini adalah aktiviti penyerahan yang pertama bagi tahun 2012. Rakan-rakan facebook juga dilihat turut serta untuk memeriahkan majlis ini. Alhamdulilah, segalanya berjalan dengan lancar.

Semua ini tidak akan tercapai tanpa perjuangan dan semangat yang kental. Bukannya sesuatu yang mudah untuk meminta belas kasihan daripada mereka yang kita tidak kenal untuk sama-sama menyumbang kepada anak-anak yatim. Secara khususnya, semua sumbangan diterima daripada rakan-rakan di facebook.

Saya kerap membaca tohmahan dan komen-komen jelik yang mempersoalkan tentang pergerakan tim ini. Malah, baru-baru ini web sehelai baju telah diterjah oleh mereka yang KURANG ILMU. Namun, Allah lah yang menggerakkan segala sesuatu. Bukannya manusia. Jika Dia berkehendakkan sesuatu, tiada kuasa yang boleh menghalangnya.
Doa.
YB Mohd Isa (Berbaju kemeja biru)
Rumah Kasih Harmoni juga diserikan dengan kehadiran YB Mohd Isa. Kunjungan daripada beliau adalah pemangkin untuk tim ini. Ia sepatutnya dijadikan contoh oleh semua YB yang lain. Pada kaca mata kita mungkin sedikit dan tiada apa-apa tetapi... pada kaca mata luar, ia membuka banyak mata. ^_~

Saya berdoa ramai lagi, anak-anak yatim yang akan gembira dengan sumbangan ini. Aamiin.
Jom tolong kami, bantu mereka! Allah! Allah!