RAKAN2:

Wednesday, November 10, 2010

Sekadar Peringatan...

Apa yang kita tulis hari ini mencerminkan kita di masa hadapan. Oleh itu, tulislah sesuatu yang bermanafaat dan mudah-mudahan mendapat keredhaan ALLAH taala. Jika baik, baiklah jadinya. Begitu juga sebaliknya.
Penulisan yang baik mencorakkan keperibadian seseorang itu.

Monday, November 8, 2010

PUTRAJAYA SYURGAKU (BAB 4 - AKHIR)

TULISAN: ASNIDAR DAN AZRINA NUR RUSLY CERITA ASAL: DR JOHARI HAMID
“IBU tidak akan serahkan tanah ini! Apa jadi sekalipun, ibu tidak akan serahkan! Tamat!” Keras suara Ibu pada malam itu. Terkejut semua anak-anak dengan tindakan Ibu yang di luar jangkaan mereka. Tidak pernah sekalipun anak-anak melihat Ibu meninggikan suara sebegitu.
Isteri Along hanya mencebik dari belakang tubuh suaminya sahaja. Mukanya masam mencuka. Dimuncungkan bibirnya yang terlebih mungil akibat suntikan botox itu. Mungkin dia menyangka Ibu lebih sayangkan tanah ini daripada anak-anak sendiri. Mana mungkin dia tahu apakah sebab sebenarnya yang cuba Ibu pertahankan.
Angah mengangkat punggung dan berlalu ke serambi. Panas di luar rumah itu tidak sepanas api yang membakar hatinya. Dia mengeluarkan sepuntung rokok lalu diselitkan di celah bibirnya. Sesekali, dia mengerling ke arah ibunya itu.
Dingin malam tidak mampu menyejukkan hati Ibu. Begitu juga dengan kehadiran ketiga-tiga anak Ibu. Ibu tidak mahu memanjangkan bicara. Bantal yang sudah kusam sarungnya Ibu letakkan di bawah kepala. Tubuh cengkung Ibu dipalingkan menghadap ke dinding. Rapat! Ibu pura-pura tidur sambil mengesat airmata yang mengalir lesu dari tubir mata.
“Biarlah Ibu tidur dahulu malam ini. Siapa tahu, mungkin esok Ibu akan setuju dengan pujukan kita. Jika Ibu tidak bersetuju juga, Angahkan sudah ada rancangan…” Perlahan Angah cuba menyakinkan kedua saudaranya itu.
Selepas menunaikan solat Subuh berjemaah, anak-anak mencuba lagi. Solat pagi itu hanyalah sebagai satu taktik untuk melembutkan hati Ibu sahaja. Bertambah sayulah hati Ibu dengan tingkah laku mereka. Anak-anak cuba mengelabui mata Ibu dengan sikap berpura-pura itu. Walau bagaimana sekalipun cara mereka, Ibu tetap dengan pendirian Ibu!
Angah sudah mulai mengatur rancangan keduanya!
Pihak broker yang bersengkokol dengannya, telah datang ke rumah Ibu pada pagi itu. Ibu diberi tekanan lagi. Pelbagai ugutan yang telah diberikan oleh broker itu. Kononnya, walaupun Ibu tidak bersetuju, jika kerajaan berkehendakkan juga, tanah Ibu tetap akan menjadi milik mereka akhirnya. Ibu harus akur dengan keputusan itu nanti. Tanah itu akan dirampas dan Ibu tidak akan mendapat sesenpun darinya.
“Mak cik, kawasan ini akan dibangunkan. Hanya tinggal mak cik seorang sahaja lagi. Yang lain sudah tanda tangan. Macam mana kami hendak buat kerja kalau mak cik tidak setuju? Tambahan pula, tanah ini di tengah-tengah tapak projek.” Suara broker itu menyiat hati Ibu. Hancur luluh hati Ibu mengenangkan tanah sekangkang kera itu. Di dalam keterpaksaaan, Ibu membuat keputusan!
“Ibu akan serahkan tanah ini tetapi… bersyarat!”
Along, Angah dan Ucu sudah tersenyum senang. Walau apapun syaratnya mereka akan bersetuju kerana rancangan telah mereka atur dengan kemas. “Ibu tidak akan tahu apa-apa lagi mengenai tanah ini, selepas ini!” Bisik hati kecil Angah.
***
PETANG itu, Along, Angah dan Ucu pulang ke rumah itu dengan wajah yang berseri-seri. Urusan tanah sudah diselesaikan. Tidak lama lagi poket mereka akan penuh dengan wang pampasan yang diberi oleh pihak kerajaan itu. Mereka hanya menunggu beberapa hari sahaja lagi tempoh cek yang diberi oleh pihak broker itu matang.
Rahsia tentang tanah yang dijual kepada pihak kerajaan itu disimpan kemas dan rapi. Ibu seharusnya menganggap bahawa tanah miliknya itu telah diwakafkan. Padahal, mereka berpura-pura dan bertindak dari luar permintaannya. Malam ini, mereka harus bergerak pantas dan keluar dari rumah itu. Segala pergerakan mereka harus dilakukan dalam keadaan senyap. Ibu seharusnya tidak sedar akan kepergian mereka untuk selama-lamanya!
Pagi keesokannya, broker datang ke rumah ketika Ibu leka menyiapkan sarapan pagi. Terkejut besar Ibu apabila diarahkan untuk segera mengosongkan rumah tersebut. Menurut broker itu, pembinaan akan segera dimulakan. Sebarang penangguhan akan menyebabkan kerja mereka terlewat dari tarikh jangkaan.
“Mak cik tengah tunggu anak-anak mak cik... Kejap lagi, mereka datanglah untuk mengambil mak cik!” Ibu merayu dan cuba menyakinkan hatinya bahawa anak-anak akan kembali. Namun, sia-sia sahaja!
‘Along, Angah, Ucu, kamu semua di mana nak? Baliklah ambil Ibu. Bukankah kamu sudah berjanji? Janganlah tinggalkan Ibu lagi…’ Hati Ibu merayu hiba di malam bulan yang separuh kelam itu. Airmata sayunya mengalir lesu di pipi tua yang sudah berkedut seribu itu.
Dua tahun kemudian...
Masjid berkubah merah jambu sudah tersergam indah di atas tapak tanah itu. Sebentar lagi majlis perasmiannya akan diadakan. Walaupun, Ibu tidak mendapat sebarang jemputan untuk menghadiri majlis yang sungguh bermakna itu, Ibu akan pergi juga!
Pagi-pagi lagi Ibu sudah bersiap rapi. Biarpun pakaian Ibu lusuh dan pastinya mengundang malu bila berada di kalangan orang ramai nanti, Ibu tetap mahu ke sana! Tanah yang sudah Ibu anggap sebagai syurga itu, menjadi tempat untuk orang ramai beribadah. Rumah ALLAH!
Ibu berjalan terhencut-hencut menuju ke ruang solat yang dikhaskan untuk wanita. Seorang pengawal keselamatan wanita menahan dan melarang Ibu daripada memasuki ruang solat di situ. ‘Tolonglah mak cik nak. Benarkan mak cik menghadap ALLAH seketika. Bersujud menyembah DIA…’ Ibu cuba berkata tetapi suara Ibu tersekat. Jauh ke dalam matanya ada simpati untuk Ibu. Tangan Ibu dilepaskannya.
Sudah setengah jam, Ibu bersujud namun masih belum ada tanda-tanda dia mahu bangun. Beberapa orang wanita yang sudah selesai menunaikan solat tertanya-tanya. Lantas, mereka bergerak dan menyentuh tubuh Ibu. Serentak dengan itu, Ibu rebah dan jatuh ke lantai yang berkarpet di situ. Kaku!
“BEGITULAH ceritanya.... nak.”
“Apa jadi dengan anak-anak Ibu yang tiga orang itu pakcik? Di mana mereka sekarang? Kubur Ibu mereka di mana? Boleh...” Laungan azan Zohor dari Masjid Putrajaya mematikan perbualan di antara aku dan pakcik tua itu. Kami berdua mendiamkan diri sebagai tanda menghormati azan yang sedang berkumandang. Usai doa selepas azan dibacakan, pakcik tua itu bingkas bangun dari silanya.
“Marilah nak. Kita segerakan solat kita dahulu. Selepas solat nanti, kita sambung semula perbualan kita tadi.” Lembut sahaja nada suara pakcik tua itu. Mahu atau tidak, terpaksalah aku menurut sahaja. Hendak dibangkang, terasa malu pula. Jika diikutkan rasa hatiku, mahu sahaja aku melelapkan mataku yang sudah separuh terpejam ini.
Dari jauh aku dapat melihat pakcik tua itu sibuk menyediakan tempat untuk orang ramai menunaikan solat. Begitu murni niatnya untuk memberi keselesaan kepada orang ramai yang hadir di Masjid Putrajaya hari itu.
Suara imam sudah beberapa kali kedengaran memanggil makmumnya untuk membetulkan saf mereka. Aku cepat-cepat memenuhkan ruangan yang agak kosong di saf yang pertama. Selesai sahaja solat nanti, aku harus segera berjumpa dengan pakcik tua itu tadi dan mendengar cerita selanjutnya daripada dia. Kemudian, aku harus segera menuju ke tempat perjumpaan yang telah dijanjikan oleh jurupandu beberapa jam yang lalu.
Usai memberi salam yang kedua, aku bingkas bangun. Aku mahu segera mencari pakcik tua itu kembali. Namun puas aku ke sana dan ke mari di dalam ruangan solat itu, kelibatnya tidak juga kelihatan. Aku mengerling jam di pergelangan tanganku pula.
Serta-merta aku menyedari bahawa aku sudah terlewat untuk kembali ke tempat perjumpaan yang telah dijanjikan tadi. Aku berlari keluar ke pintu utama dan bersegera memakai capalku. Bimbang mula bersarang di dalam hatiku jika benar-benar aku sudah ditinggalkan.
Kelam kabut aku tercari-cari bas persiaran yang berwarna hijau kuning itu. Tiada! ‘Sudah! Aku benar-benar sudah ditinggalkankah? Tiada pula deretan bas yang tadinya menghuni di sepanjang bulatan di hadapanku ini. Masakan lenyap secara tiba-tiba.’ Hati kecilku bersuara dan berbalas-balas kata.
Suara riuh rendah mulai menerjah pendengaranku. Aku berpaling. Tercari-cari di mana suara itu. Nun di bawah pokok-pokok itu, aku dapat melihat ada satu pertengkaran hebat sedang berlaku di antara pengawal dan pakcik tua itu tadi. Pada hematku, pengawal itu bertindak agak kasar dan tidak menghormati seorang tua yang tidak berdaya. Aku menapak perlahan-lahan ke arah mereka.
Di dalam kepala, aku mengatur rencanaku apabila tiba di sana nanti. Aku akan menegur pengawal itu akan perbuatannya yang agak kasar kepada pakcik tua itu. Dia seharusnya meminta maaf kepada pakcik tua itu nanti. Jika pengawal itu tidak bersetuju dengan pandanganku, aku akan mengambil segala butiran peribadinya dan perkhidmatannya seharusnya ditamatkan dengan segera.
“Kenapa bang?” Tegur aku tatkala menghampiri pengawal yang agak berusia itu. Aku cuba mencari kelibat pakcik tua itu tadi. Namun tidak pula dia kelihatan di sekitar tempat ini. Pandai pula dia meresap dan tiba-tiba menghilangkan dirinya.
“Rimas... Suka kacau orang...” Aku membuat mimik muka tidak mengerti dengan kata-kata pengawal keselamatan itu. Semakin aku tidak faham jadinya. Siapa yang kacau siapa sebenarnya ini? Hatiku mula memberontak.
“Kalau adik nak tahu... Dia itu gila!” Jiwa aku semakin kacau. Pandai pula pengawal ini membuat cerita. Senang-senang sahaja mengata orang gila. Aku lihat pakaian pakcik tua itu seperti orang ada-ada sahaja. Solatnya pula tidak berkurangan. Di mana yang dikatakan, gila? Nafas aku sudah mulai turun dan naik. Geram jadinya!
“Mana tidaknya... Tiap-tiap hari, abang asyik mendengar cerita yang sama sahaja. Berulang-ulang kali. Orang kata, dahulunya dia sihat. Kemudian, dia membuang ibunya kerana harta. Macam-macam yang dilakukannya kepada ibunya itu. Bila dia sudah insaf, dia cuba mencari ibunya di sini tetapi tidak berjumpa. Kata orang, ibunya sudah meninggal dunia.” Jelas pengawal yang berbaju putih itu.
Aku melongo dan terduduk. Bagaikan tidak percaya namun aku cuba juga untuk mempercayai apa yang baharu sahaja kudengari sebentar tadi.
BAAAAMMMMMM!!
“Ya Allah!” Aku tersentak lalu terjerit tatkala telingaku terdengar bunyi bagai sesuatu dilanggar. Aku terkinja-kinja cuba melihat kawasan yang telah dikerumuni oleh orang ramai itu. Masing-masing terkejut dan menggeleng tidak percaya.
Percikan darah memang terbias pada cermin kereta di sekitar kawasan itu. Begitu juga dengan jalan yang berbatu kemas ini. Aku menapak merapati dan cuba menyelit di celahan orang ramai yang berada di situ.
Nah! Terdampar di atas jalan raya itu, pakcik tua tadi. Matanya sudah terbeliak memandang ke langit biru. Lelehan darah pekat masih keluar dari liang luka di kepalanya itu. Tangannya sudah berlumuran penuh dengan darah. Manakala, kakinya sudah mulai pucat. Mulutnya sudah kaku dan tidak berdaya untuk berkata-kata lagi.
“Innalillahiwainnaillahirajiun...” Bisik aku perlahan mengiringi tubuhnya yang segera dibawa pergi oleh van kecemasan itu.

***TAMAT***

Sunday, October 31, 2010

PUTRAJAYA SYURGAKU (BAB1 - BAB3)

TULISAN: ASNIDAR DAN AZRINA CERITA ASAL: DR JOHARI HAMID
SELEPAS menunaikan solat Subuh, Ibu sudah mulai turun ke dapur. Daun kelapa yang dianyam menjadi sarung ketupat sudah diisikan dengan beras lalu dimasukkan ke dalam air yang sudah mendidih. Sementelah menunggu ketupat itu masak, Ibu menyediakan kuah kacangnya pula. Di wajah Ibu sudah terbayang anaknya yang ke dua, Angah yang pasti tersenyum dengan ini semua.
Usai kuah kacang yang sudah siap dimasak dimasukkan ke dalam bekas, Ibu mula memasak rendang daging kegemaran Along. Mujurlah Ibu sudah menempah terlebih dahulu daging itu daripada kedai Tok Su Ali. Bekalan daging memang susah hendak didapati di Prang Besar ini. Jika tidak ditempah, alamatnya kempunanlah Along hendak memakan rendang daging kesukaannya.
Setelah juadah kegemaran Along dan Angah siap, Ibu mula menyediakan pula makanan kegemaran anak bongsunya. Ucu sangat suka dengan mee rebus. Setiap kali mengadap makanan ini, Ucu pasti akan berkata, “Mee rebus siapa yang paling sedap? Ibuuuu!”
Jam di dinding Ibu renung sekilas. Sudah tengahari. Ibu tersenyum gembira sendirian. Juadah kegemaran anak-anak kesemuanya sudah siap terhidang di atas meja. Sebentar lagi, anak-anak Ibu akan sampai. Sungguhpun tubuh Ibu sudah terasa penat, Ibu tiada masa hendak berehat lagi! Segera Ibu ke bilik air membersihkan diri untuk menyambut kepulangan anak-anak Ibu.
Janji anak-anak Ibu untuk berbakti kepada tanah air sendiri, terus sahaja mereka lupakan. Mereka lebih senang menetap di negara orang daripada berbakti di bumi ini. Jangankan bertanya khabar, berpucuk-pucuk surat Ibu kirimkan juga tidak dibalas. Akhirnya, Ibu terpisah dari dunia mereka berpuluh tahun lamanya.
Kini, mereka akan kembali. Ibu ketepikan semua perasaan itu. Ibu tidak kisah jika selama ini, Ibu mereka pinggirkan. Hari ini, kepulangan mereka akan disambut dengan tangan terbuka. Biarlah peristiwa lama itu di atas sebab-sebab perilaku mereka yang tidak matang.
Sebuah kereta mewah memasuki halaman rumah Ibu. Tergesa-gesa Ibu yang sedang duduk di muka pintu bangun dan cuba memerhati siapakah yang datang. Adakah penumpang itu sekadar untuk bertanyakan jalan atau tersesat? Namun, langkah Ibu terhenti di kaki anak tangga apabila melihat tiga orang lelaki keluar dari pintu kereta itu.
‘Sahihlah, kesemua itu anak-anak Ibu. Dan itu siapa pula?’ Ibu terkedu melihat aksi seorang wanita merangkul lelaki yang duduk di bahagian pemanduan tadi. Aksinya yang manja dan menggoda itu sememangnya membuatkan Ibu tertanya-tanya.
***
RUMAH usang yang tiada berbilik itu kelihatan tiada berseri buat Angah. Jika bukan kerana keterpaksaan, tidak mungkin dia ingin menjejakkan kakinya ke situ. Bau hapak yang menghuni setiap penjuru dinding rumah itu terpaksa juga Angah hidu.
Perbincangannya dengan Along di sebuah restoran makanan segera berhampiran tempat tinggal Along seminggu yang lalu masih terasa seperti baru semalam. Begitu bersungguh-sungguh dia menyusun rancangannya. Segala kemungkinan yang bakal berlaku juga telah Angah fikirkan jalan penyelesaiannya.
Cadangan yang diberikan oleh Angah tidak langsung dibantah oleh Along. Walaupun Along pada permulaannya agak ragu-ragu untuk bersetuju dengan rancangan yang dibuatnya, namun akhirnya Along akur. Perbincangan yang diadakan itu membuka ruang untuk Along melangsaikan segala masalah kewangan yang dihadapinya nanti.
Kehidupan Along banyak berubah semenjak mempunyai isteri dari kalangan orang berada. Segala kemahuan isteri diturutinya dan akibatnya dia tersepit dengan hutang yang berganda-ganda. Along berharap dengan rancangan itu, dia dapat mengembalikan maruahnya di hadapan keluarga mertuanya nanti.
Mereka juga bersetuju untuk turut menarik Ucu ke dalam kancah permainan ini. Ucu akan diberi peranan untuk memujuk Ibu memandangkan dialah yang paling rapat dengan Ibu. Angah begitu yakin Ucu akan menurut sahaja kata mereka nanti. Permainan itu akan mendatangkan hasil kepada dia juga yang belum mempunyai sumber pendapatan.
Angah cukup berbangga dengan apa yang diperolehinya sekarang ini. Jauh lebih baik dari rumah Ibu yang boleh disamakan keluasannya dengan bilik air di rumahnya kini. Namun, kehidupan sosialnya yang melampaui batas telah menjerumuskan Angah ke lembah kesusahan. Semakin hari semakin bertambah beban hutang yang ditanggung Angah sehinggakan dia sanggup mengambil jalan mudah dengan meminjam kepada lintah darat untuk melangsaikan hutangnya. Akibatnya, dia dikejar dan diugut oleh mereka kerana tidak dapat menyelesaikan hutang tersebut pada waktunya.
Angah nekad untuk pulang ke kampung setelah mendengar khabar angin daripada Ucu yang tapak tanah ini akan dimajukan oleh kerajaan! Kerajaan akan membayar wang pampasan yang banyak kepada pemilik tanah di Prang Besar itu. Tanah itu merangkumi keluasan berpuluh-puluh ekar dan termasuklah juga tapak tanah yang diduduki oleh ibu mereka itu.
Jika Ucu tidak dapat memujuk Ibu, Angah sudah mempunyai pelan yang lain. Dia sudah menyiapkan rancangan untuk menculik dan menyeksa Ibu. Dia telah pun berhubungan dengan sebuah kumpulan samseng. Kumpulan yang tidak berperikemanusiaan itu akan ditugaskan untuk membuat Ibu menyerahkan geran itu secara rela ataupun tidak. Apa pun tindakan mereka nanti, Angah tidak kisah! Baginya yang pentingnya, geran tapak rumah itu harus dimilikinya! Sekarang!
Angah juga telah berpakat dengan broker untuk sama-sama menekan Ibu dari pelbagai sudut. Segala wang pampasan nanti akan dikongsikan bersama. Angah tidak kisah, janji wang pampasan itu tidak akan berpindah ke tangan orang lain!
Angah sudah tersenyum puas apabila Along dan Ucu bersetuju dengan segala rencananya. Bagi Angah, dia harus pandai bermain dan melayangkan kata-kata manis di hadapan mereka. Along dan Ucu harus jatuh ke dalam genggamannya walaupun mereka tidak tahu yang janjinya pada mereka hanyalah dusta semata-mata.
Sudah terbayang di ruang mata Angah, kesemua kepingan berwarna biru merah itu hanyalah untuk dirinya sahaja! Lengkingan gelak besar Angah pagi itu memenuhi setiap ruang serambi rumah yang masih beratapkan nipah itu.
***
PETANG itu, Ibu duduk termenung seorang diri di atas pangkin yang dibina oleh arwah Ayah. Sewaktu arwah masih hidup, di atas pangkin itulah Ibu dan arwah Ayah berbual-bual sambil memerhatikan anak-anak bermain-main. Keadaan di situ agak redup kerana dipayungi pohon rambutan rendang di tepi halaman.
Setiap petang, Ibu dan arwah Ayah akan memerhatikan tingkah laku Along, Angah dan Ucu. Setiap kali itu jugalah Ibu dan arwah Ayah senantiasa melihat Along beralah kepada Angah. Kadang-kadang, Angah merampas barang permainan milik Along dan Along hanya akan membiarkan sahaja. Kadang-kadang Angah sengaja mengacau Along. Itu juga Along biarkan sahaja tanpa ada niat Along hendak melawan.
Ucu pula memang akan menjadi mangsa Angah. Selalu sahaja Ucu menangis dikerjakan oleh Angah. Sama ada Angah merampas barang permainan Ucu, memukul Ucu mahupun merebut makanan yang sedang dimakan Ucu, semuanya boleh membuatkan Ucu menangis. Along pula tidak akan memukul Angah, sekadar meleraikan sahaja perbuatan Angah terhadap Ucu itu.
Sikap bijak merancang sudah lahir dari dalam diri Angah semenjak kecil lagi. Bukan sekali arwah Ayah terserempak dengan Angah yang sedang menyusun rancangan hendak ke sungai bersama Along dan mengheret Ucu sekali. Malahan arwah Ayah juga pernah terdengar Angah berbincang dengan rakan-rakannya hendak mencuri ayam jiran dan memanggangnya di dalam ladang. Mujur juga arwah Ayah terdengar rancangannya itu terlebih dahulu, jika tidak sudah tentu Angah akan ditangkap oleh jiran tetangga.
Namun kini apabila sudah dewasa, Ucu juga sudah mulai pandai menjadi perantara Along dan Angah untuk memujuk Ibu. Terasa sebak hati Ibu apabila Ucu menyampaikan hasrat Along dan Angah meminta Ibu menyerahkan sahaja geran tanah kepada kerajaan dan menerima pampasan yang bakal diberikan itu. Ibu tidak sangka, anak-anak Ibu pulang hanya kerana tanah sekangkang kera ini!
"Ibu, tanah di baruh sudah dijual Pak Cik Leman. Begitu juga tanah di lembah. Pak Tih, Lebai Talib, Mak Busu dan Pak Ndak Pian semua sudah membilang duit mereka." Pujukan Ucu itu terasa sungguh menyakitkan bagi Ibu. Seperti belati yang menghiris hati Ibu ini.
‘Ibu, bukan seperti mereka! Sayang, sungguh sayang sama sekali, bila Ucu tidak faham perasaan Ibu! Ibu sayang tanah ini. Biarpun apa ditanam tidak menjadi. Apa ditaji tidak berhasil. Walaupun Ibu tahu sememangnya tanah ini keras dan berpasir. Ibu tidak kisah.’ Hati Ibu memberontak.
Bagaimanalah Ibu sanggup menyerahkan tanah ini sedangkan di sinilah kasih Ibu bertunas, bercambah dan subur mengharum. Di atas tanah inilah, Ibu dan arwah Ayah melahirkan serta membesarkan anak-anak. Di dalam tanah inilah juga Ibu semadikan uri anak-anak Ibu. Dengan harapan anak-anak Ibu akan turut mencintai tanah tumpah darah mereka ini dan juga tidak melupakan jasa tanah sekangkang kera itu.
'Tolong Along, Angah dan Ucu. Jangan ditanya kenapa Ibu tidak mahu serahkan tanah ini. Kenapa Ibu tidak mahu berpisah dengan tanah ini walau apapun yang terjadi. Biar Ibu mati kerananya. Ini milik Ibu! Inilah syurga Ibu!'
Rintihan hanya bersarang di hati Ibu. Jauh di sudut hati, Ibu mengharapkan ketiga-tiga anak itu akan mengerti hati nurani Ibu. ‘Bukankah mereka yang dikandung Ibu berpuluh-puluh tahun dahulu? Kenapa harus mereka berubah, jika mereka dari titis darah ini?’ Renung Ibu dalam tika melihat senja menghilang di kaki langit itu.
(BERSAMBUNG... CERPEN INI DIHANTAR UNTUK PERTANDINGAN BARU-BARU INI)

Thursday, October 28, 2010

Karya Pertama MIMPI ADIF

Dengan nama ALLAH yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang...



Nantikan kemunculan novel MIMPI ADIF di kedai-kedai buku ternama berhampiran anda tidak lama lagi. Anda juga boleh membeli secara 'online' di lawan web Karangkraf.
Sedikit kenangan manis semasa menulis novel ini. Saya menghadapi 'migrain' yang sangat teruk sebanyak empat kali dan terpaksa dimasukkan 'oksigen' sebanyak tiga kali. Namun, perjuangan diteruskan juga. Begitulah hebatnya ketika hendak menulis novel sulung ini.
Bacalah sesuatu dari hati...

Wednesday, October 27, 2010

Segalanya Bagaikan Bermimpi...

Alhamdulilah, proses untuk mengeluarkan novel pertama saya semakin menghampiri nyata. Beberapa minggu dari sekarang, dunia penulisan akan diwarnai oleh seseorang yang bernama Asnidar Shafie. Saya pasti berdebar-debar menanti reaksi pertama daripada semua orang. Mudah-mudahan, ALLAH memberi rahmat di setiap perjalanan itu nanti.
Dikesempatan ini, saya ingin ucapkan jutaan terima kasih kepada adik-adik di penulisan2U yang selalu menyokong dan menanti karya ini. Sahabat-sahabat terutamanya Azrin, Rosne, Hazel, Ana, Laili... yang percaya akan bakat saya. Saya juga tidak mampu untuk menyenaraikan nama semua sahabat-sahabat yang lain... terima kasih juga untuk anda.
Khas dan terutama untuk Dr Johari Hamid dan Puan Sri Diah. Anda berdua sememangnya, hebat!
Syukur, syukur dan syukur di atas bakat yang diberikan ALLAH ini.

Segalanya bagaikan bermimpi...

Wednesday, October 20, 2010

Sesuatu Dari Jiwa

Salam sayang buat semua dan terima kasih kerana sudi melapangkan masa membaca di ruangan ini.
Kebelakangan ini, masa saya agak terisi dengan meneliti atau membuat semakan pada setiap tulisan dan karya saya. Sekarang, saya akan cuba mencari idea-idea untuk dimasukkan ke dalam karya yang seterusnya. Mudah-mudahan, karya ini juga akan diterima oleh pihak penerbitan. Saya tiada apa untuk dikongsi untuk anda semua kecuali karya-karya saya.
Teruskanlah menyokong, sesuatu dari jiwa...

Tuesday, October 12, 2010

Anak-Anak Yatim Baitul Mahabbah

Kami sekeluarga berkesempatan merayakan Syawal bersama-sama dengan anak-anak yatim dari Baitul Mahabbah, Seremban. Kebanyakkan keluarga yang mengikuti rombongan ini adalah dari kalangan ahli-ahli aktif SEHELAI BAJU BUAT MENYAPU SI AIRMATA.
Betul. Perkara sebegini memerlukan pengorbanan masa dan semangat yang tinggi. Jika anda berniat untuk turut serta menggembirakan hati mereka, anda seharusnya mengenepikan tuntutan-tuntutan yang lain.
Kegembiraan jelas terbayang di wajah kami. Begitu juga dengan anak-anak yatim ini. Moga apa yang diperjuangkan oleh program ini akan tercapai. Amin.