RAKAN2:

Tuesday, March 19, 2013

DoubleTree By Hilton "Syurga Makanan"


Winners Of Colours Of Sri Lanka Promotion Through Mingguan Wanita. 

Saya merupakan salah seorang pemenang dalam aktiviti Mingguan Wanita di facebook. Hadiah berupa voucher bufet dari DoubleTree By Hilton ini, adalah sangat tepat dan mengena kerana kami boleh meraikan ulang tahun kelahiran anak ke dua di sini.

Ia adalah hotel ternama yang terletak berdekatan dengan KLCC. Saya sama sekali tidak akan melepaskan peluang ini untuk mengenali dengan lebih dekat lagi, hotel yang bertaraf antarabangsa ini. Apa kata, jika saya mulai di Makan Kitchen. Sebuah restoran yang terletak di aras 11 dan menyajikan "Syurga Makanan" bagi semua.

Saat mencuba menu Sri Lanka. Sedap!
Semenjak awal lagi, saya sudah terpesona dengan susun atur dan hiasan di Makan Kitchen. Dekorasi yang tidak melampaui dan dihiasi dengan perabut kayu yang minima, cukup selesa buat pengunjung. Semua sajian pula diletakkan dalam tembikar yang berwarna hijau lumut. Cukup unik!

Bercerita tentang menu... saya boleh sesak nafas! Mana tidaknya, tidak terbilang banyaknya! Ada masakan cina, india, steamboat dan lain-lain. Itu belum termasuk, puding, kuih, kek dan buah-buahan. Jangan lupa, ais kacang dan ais krim pula "Eh, saya belum makan itu lagi!" Bila saya sedar, saya sudah kekenyangan... terlalu! Manakala, mulut pula tidak berupaya untuk dibuka lagi.
Saya kongsikan pencuci mulut yang diletakkan dalam bekas-bekas comel. Dari kiri, moose yang masam-masam sedikit, ceri kuning bersama puding susu yang sangat sedap dan sagu.

Kata anak sulung, "Ibu, juara makan!"

Saya pula beranggapan lain! Kita belum tentu mendapat pengalaman sebegini di masa akan datang. Oleh itu, pergunakan sebaik mungkin saat itu. :D

Dikesempatan ini saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua staf di Makan Kitchen. Mereka sangat ramah dan membuat kami rasa sangat dihargai! Terima kasih juga kepada DoubleTree By Hilton kerana sudi menaja bufet dan bergandingan dengan majalah hebat Mingguan Wanita. 
Chinese Buffet

Saya pernah menunggu berjam lamanya untuk satu hidangan. Apabila saya bandingkan DoubleTree By Hilton dan hotel tersebut... ia seumpama, langit dan bumi!

Seindah namanya, DoubleTree By Hilton nyata "Heavens place on earth!"

Saturday, March 16, 2013

Kelas Masakan Jepun

Chef sedang mengajar.
Kelas Masakan Jepun Bersama Ajinomoto
16/3/2013, 10.30am - 1.00 tengahari
Kari Jepun... lainnya dari kebiasaan.

Hari ini, saya mengutip pengalaman yang baharu.

Cubalah untuk memasak secara berkumpulan dan diawasi oleh chef selebriti terkenal. Sudah pasti ada garam, lada dan cili yang tertinggal. ;)

Saya tidak berfikir lama, untuk mendaftarkan diri ke program yang dianjurkan oleh Ajinomoto ini. Sementelaah ada chef merangkap novelis hebat Kak Ina Nordin, saya harus tidak lepaskan peluang ini. Sebelum ini, saya tidak pernah dapat turut serta dalam kelas masakan Kak Ina di Pesta Karangkraf dek tugas dan jadual yang bertembung pada waktu yang sama. Alhamdulilah... saya berjaya juga untuk melihat chef ini beraksi di depan mata sendiri.
Ini hasilnya!

Ajinomoto selaku penaja utama menyediakan ruang litup yang sangat selesa. Program secara percuma ini dihadiri oleh Umami Members dan juga orang luar. Peserta yang hadir diberi peluang untuk mencuba setiap resipi yang diajar oleh guru masakan. Sebagai orang baharu, saya lebih suka memerhati... :D Saya juga suka suasana positif sebegini dan berharap aktiviti sihat ini tidak berhenti di sini saja. 

Pengalaman ini pasti ada gunanya di kemudian hari!

Sunday, March 10, 2013

Konsert Nusantara Di Istana Budaya

9/3/2013 - 8.30 pm.

Ini kali ke tiga, saya menjejakkan kaki ke Istana Budaya. Tempat yang tidak perlu diperkenalkan lagi menjadi impian semua artis seni untuk melakarkan momen bersejarah di pentas yang bertaraf antarabangsa ini.

Si jelita Jedi kerap menghantar pesanan ringkas setiap kali ada dilangsungkan teater atau apa sahaja berkenaan seni di sini. Ada ketikanya, saya menolak jika ada hal penting. Tidak untuk kali ini!

Konsert Nusantara merupakan acara budaya dan seni dari dua negara, Malaysia dan Indonesia. Karya yang dipersembahkan bukan sekadar nyanyian malahan tarian tradisi dari kedua belah negara. Saya cukup terpegun melihat seni tari yang cukup indah digemalaikan oleh si penari mengikut rentak musik tradisi. Mengiringi persembahan tentulah orkestra di bawah pimpinan Tuan Yazid Zakaria dari Istana Budaya. Turut menambah rencah alunan; irama gamelan, gong, rebana dan juga angklong.

Tuan Yazid Zakaria menerima cenderamata.
Persembahan dimulakan dengan musik orkestra yang berlatar belakangkan paparan harimau malaya dan burung garuda. Warna keemas-emasan dijadikan warna utama lakaran ini. Mungkin, emas memberi erti akan kuasa yang tiada tandingannya.

Ramai artis ternama dari kedua belah negara, diberi peluang untuk menyanyi di persada yang gah ini. Nyanyian dan tarian yang dipersembahkan memberi seribu pengalaman untuk saya mengenal negara tercinta dan jiran di seberang. Sesekali, saya dapat rasakan ada persamaan dalam gerak tari yang dipersembahkan.

Saya sedikit kecewa apabila ada beberapa buah nyanyian yang tidak diringi oleh orkestra di sini. Bunyi-bunyian yang terhasil cukup indah dan kita boleh terasyik dengannya... Mungkin, pihak Istana Budaya ada alasan mereka tersendiri.

Apa-apapun, saya dan keluarga cukup terhibur dan berterima kasih kepada Tuan Yazid Zakaria kerana sudi menjemput kami. Untuk Jedi, "Happy to know you, friend! Thank you"

Tuesday, March 5, 2013

Tanah Ini Pernah Merah!

Saya tidak pernah melalui zaman penjajah. Kebanyakan kisah sejarah ini, diceritakan kembali oleh ayahanda atau bonda. Kerapkali, bonda akan mengingatkan kami, kesusahan pada ketika itu. Ubi kayu sebagai sumber makanan dan gelungan tikar dijadikan alas pakaian.

Apabila pencerobohan berlaku di Lahad Datu, kita seakan terpukul. Tersedar dari lena yang panjang. Saya mengambil peluang ini untuk menceritakan kepada anak-anak apa yang pernah terjadi pada negara tercinta. Saya mahu generasi seterusnya berkorban dan mempertahankan negara dari unsur-unsur sebegini.  

Peringatan datang dalam pelbagai perkara dan usahlah bermimpi lagi!

*Al- fatihah untuk mereka yang gugur kerana mempertahankan negaraku.