RAKAN2:

Tuesday, May 29, 2012

Artikel Pertama Di Dalam KOSMO!

Saya memang tidak percaya ketika membaca artikel di dalam KOSMO pada hari ini. Saya cuba berkali-kali untuk menyedarkan diri. Alhamdulilah, artikel ini tidak banyak yang dibuang dan ditambah. KOSMO mengeditnya dengan baik sekali. :) Ia masih apa yang saya harapkan sewaktu membacanya. Jelas!

Saya amat berterima kasih kepada pengasas FAREEDA yang memberikan kepercayaan kepada orang yang kerdil pada ruangan ini. Lebih-lebih lagi tentang satu jenama yang gah di dalam dunianya.

Alhamdulilah, saya berjaya juga lakukannya walaupun saya agak gementar dan takut-takut akan kebolehan diri sendiri. Kata orang, kita harus berani menghadapi ketakutan itu! Cuba sampai boleh.

Artikel ini ditulis dalam masa yang cukup singkat. Tidak sampai sehari. Itulah masa yang diberikan kepada saya.

Moga ia tidak berhenti di sini saja. Masih banyak ruang dan peluang yang terbuka menanti di hadapan. Aamiin..

Terima kasih FAREEDA dan KOSMO! <3

Sunday, May 27, 2012

Selamat Pengantin Baru, Rosie!

Rosie dan suaminya. Kek tu sangat cantik!
Majlis perkahwinan berlangsung di kawasan perumahan Batu Kapar pada 27hb Mei, 2012.

Jika saya ikutkan kata hati, mahu sahaja saya duduk di rumah melayan rasa malas ini. Mana tidaknya, dua hari berturut-turut, saya berperang dengan cirit-birit dan muntah-muntah. Sementelah pula ada kerja 'adhoc' yang perlu saya selesaikan dalam jangka masa yang amat pendek. Penat dan letih hanya Allah sahaja yang tahu.

Namun, ada hati yang perlu saya jaga. Pasangan pengantin yang baru mendirikan rumah tangga ini sudah banyak membantu saya. Dia sanggup bersusah payah untuk hadir apabila saya memerlukan pertolongan. Dia ada di situ. Lalu... saya tolak 'sakit' ini ke tepi. Saya gagahkan diri ke majlis yang meriah dan indah ini.

Makanan yang terhidang cukup mewah. Ayam golek, dalca, ayam masak merah, masakan jawa, cendol, aneka kuih dan pelbagai juadah ada ketika itu. 

Setibanya saya di majlis itu, saya terus mendapatkan Rosie. Saya lambai lalu dia membalas dengan senyuman. Cukuplah dia tahu, saya sudah sampai di situ. Ia amat penting walaupun... saya tidak boleh menjamah sedikit pun makanan. Kesakitan itu ada dan saya sembunyikan di sebalik tirai ketawa.

Sekali sekala melayan adik-adik bergambar. :)
~Lensa Ayid~
Saya mengambil sekeping dua gambar buat kenangan peribadi kami. Saya doakan pasangan ini bahagia hingga ke syurga Allah. Aamiin. Terima kasih kerana anda cukup ringan tulang untuk membantu saya sedikit masa dulu! Saya cukup hargainya!
Sebagai balasan... "Eh, dah buka hadiah ke belum?" ~Sengeh~


Monday, May 14, 2012

Luahan Rasa Cinta

Cara setiap anak meluahkan kasih sayang dan perhatian mereka adalah sangat berbeza. Anak ke dua saya yang lebih dikenali sebagai Kak Ngah lebih suka menulis nota-nota kecil seperti,
Ibu, senyumlah.

'I love you...'

Kemudiannya, dia akan menyelitkan di bawah bantal atau mana-mana tempat yang 'tersembunyi'. baru-baru ini, saya terjumpa beberapa helaian nota ringkas yang dia selitkan di antara celahan novel-novel popular. Saya senyum apabila terbaca,

'Selamat Tahun Baru daripada Kak Ngah...'

Sudah lama nota ini diletakkan di situ. Hampir... 4 bulan lebih!

Tahun ini, Kak Ngah menghadiahkan kepada saya sekuntum bunga yang senantiasa akan mekar dan tersenyum lebar (rujuk gambar). Mujurlah ia tidak mempunyai sebarang bau wangi kerana hidung saya sememangnya mempunyai alahan pada debunga. ^_^

Ibu, ubat untuk gemuk!
Lain pula halnya dengan Ahmad. Dia akan selalu mencium saya dan mengucapkan...

"I love ibu..."

Bukan sekali tapi berpuluh-puluh kali dalam sehari. ~Sengeh~
Itulah juga cara dia meminta maaf jika saya memarahinya. Saya tidak beri muka walaupun dia adalah anak tunggal lelaki. :)

Saya begitu teruja apabila anak ini memberi kepingan coklat yang besar ini sekembalinya dari kilang coklat tadi (rujuk gambar).
"Eh, Ahmad tak tahukah ibu sedang kurangkan berat badan?" cerita saya sambil tersenyum melihat coklat ini di dalam bungkusan plastik.

Anak saya ini penggemar keju dan bukannya coklat. Pada dia, coklat sangat masin! ~senyum~

Anak sulung saya lebih bersifat pasif dalam luahan rasa sayang. Jauh di sudut hati dia, saya tahu dia sayangkan saya. Jika tidak, masakan dia bersungguh-sungguh untuk menolong saya dalam sebarang promosi novel. Itu cara dia. Walaupun berbeza...

'Ibu sayang semua anak-anak ibu...' <3
 
*** Selepas tiga hari dari tarikh di atas, saya menerima sebiji kek cawan berwarna hijau dan sebentuk 'love' merah daripada Kak Long. Saya ingat dia lupa, rupa-rupanya dia sudah tempah khas untuk saya. Cumanya, ia terlambat dan sedikit tersasar dari hari sambutan. Tak mengapalah, hari ibu setiap hari... kan? Saya cukup terharu dan berbangga untuk itu. ~ Catatan dibuat pada 20/5/2012 10:58 pm~

Monday, May 7, 2012

Kek Cawan Pengikat Kasih

Kek cawan, hasil air tangan Kak Shahriah! Cantik tak?
Ini bukan kali pertama saya memuatkan entri berkenaan beliau. Beliau tidak asing lagi di dalam dunia Masterchef. Mungkin sudah rezeki Allah, siri Masterchef telah mengangkat beliau ke suatu tahap yang lebih tinggi.

Tahniah Kak Shariah Novelis. Bukan senang untuk membuat dua perkara di dalam sesuatu masa tetapi beliau sudah berjaya membuktikannya. Saya pernah berkata kepada guruji, saya begitu terpegun dengan cara beliau melayan peminatnya. Cenderahati yang saya kira mewah memang akan ada untuk mereka yang membeli karya beliau.

Jangan lupa untuk klik pada link di bawah. Anda akan bersetuju dengan apa yang saya katakan tadi. :)

http://shahriahnovelis.blogspot.com/2012/05/majlis-pelancaran-sajian-istimewa.html?spref=fb

Terima kasih Kak Shariah kerana sudi memasukkan gambar saya yang tidak sepertinya itu. Saya amat menghargainya. Saya akan dapatkan buku masakan akak secepat yang mungkin.

Kita jumpa awal bulan jun ya! InsyaAllah. <3

Sunday, May 6, 2012

Robot Menjelma Di PWTC?

Kalau ikutkan hati, saya sememangnya ingin berehat di rumah saja. Namun, apabila suami mengajak saya mengikutnya untuk melihat pameran sukan, saya tidak menolak. Saya cuma tersenyum apabila dia menambah rasa dalam percakapannya.

"Pameran tu dekat dengan pesta buku!"

Tidak salah, jika saya mengikut kemahuan suami yang kerap menyokong saya. Dia senantiasa bersedia untuk mengambil cuti tahunan jika saya terpaksa menghadiri aktiviti yang bersangkut paut dengan penulisan.
Kalaulah ia ada nyawa!
Kali ini, pameran ini ada kena mengena dengan sukan dan robot. Saya cukup teruja memandangkan ini kali pertama, saya melihat robot dari dekat!

Pameran ini diadakan di Dewan Tun Razak, PWTC. Saya tidak pasti bilakah 'Malaysian Sports Industry Exhibition' ini akan berakhir. Adik-adik boleh rujuk 'internet' untuk ini.

Apabila kami melangkah masuk, robot yang cukup besar dan tinggi sudah bersedia menanti. (Rujuk gambar)

Ahmad sempat membeli sebentuk robot yang sama dan serupa tetapi saiznya tidak! ~Sengeh~ 

Berbalik pada pameran tadi, ia tidaklah begitu meriah berbanding pesta buku. Orang yang hadir di sini, boleh bilang dengan jari. Gerai yang begitu menarik perhatian kami dan kebanyakan yang berkunjung ke sini, adalah gerai yang mempamerkan pistol 'paintball'.
Ada gaya tak?
Pada permulaannya, saya ingatkan pistol betul. Saya cuba-cuba pegang... berat jugalah!
Merahnya lori ini!
Seperti biasa, saya kongsikan gambar-gambar yang menarik untuk tontonan semua. Jangan lupa, jika ada masa berkunjunglah ke sini. Ia lebih baik dari membuang masa yang tidak berfaedah.
 Oh, ya! Tiada bayaran dikenakan. Masuk adalah percuma!

Friday, May 4, 2012

Sesi Bersama SMK Serendah

Saya tidak menyediakan apa-apa teks apabila berhadapan dengan sekumpulan pelajar dari Sek Men Kebangsaan Serendah ini. Saya kira jika saya terlalu mengikut teks, ia akan mengikat saya untuk berkongsi ilmu dan pengalaman dengan adik-adik yang umurnya separuh dari usia saya ini.

Ya. Mereka amat mengingatkan saya tentang zaman persekolahan.

Pagi itu, mereka datang bersama guru pembimbing, Cikgu Ana. Cikgu ini beria mahu saya berjumpa mereka dalam kumpulan yang kecil pada 3hb Mei yang lalu. Seperti selalunya, saya amat sukar menolak permintaan orang. Saya cuba! Itu janji saya kepada cikgu yang putih melepak ini dua hari sebelumnya. 
Saya mulakan dengan penerangan tentang karya-karya saya yang telah diterbitkan dan apa perancangan saya di masa hadapan. Sekali sekala, saya izinkan mereka bertanya apa sahaja. Saya cuba kaitkan aktiviti dan hobi mereka dengan apa yang saya lakukan. Ada di antara adik-adik ini yang sudah pandai berpuisi, menulis di dalam majalah dan aktif di dalam aktiviti yang sihat.

Saya nyatakan kepada mereka, saya adalah bukti hidup... kita boleh lakukan apa sahaja jika kita mahu. Saya sendiri sudah tidak punyai masa. Saya berumur 37 tahun ketika berjaya menghasilkan karya yang pertama. Bayangkan, jika saya menyedari bakat ini seusia mereka. Sudah berpuluh karya dan tulisan terhasil!

Itu sememangnya benar! Saya harus akui dengan perjalanan milik Allah ini. Ini kerja Dia. Saya kena akur dengan pilihan yang ada.

Di sini, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pelajar dan guru dari SMK Serendah ini. Saya harap mereka pulang dengan sesuatu...

Kata salah seorang rakan saya ketika di universiti...

"Kamu memang pandai menaikkan semangat orang!"

Wednesday, May 2, 2012

Asnidar, Kena Terjah Di Pesta Buku?

Keadaan amat sesak dan padat dengan pengunjung pada 1hb Mei hari itu. Pengunjung seawal jam 10 pagi telah memenuhi Dewan Dr Ismail.

Kata guruji, "Hari Buruh... sebab tu ramai. Jangka padat, sekejap lagi." 

Kawasan bertentangan dengan meja penulis amat sesak kerana pengunjung didapati memasuki ruang itu dari sebelah kiri. Ada pintu masuk tidak jauh dari tempat saya bertugas. Oleh kerana itulah, saya mengambil keputusan untuk berdiri sepanjang masa. Itu adalah tip yang saya perolehi daripada guruji.
"Bagi orang nampak kita. Kalau duduk, siapa nampak?"

Tidak semena-mena, saya diterjah. Tak sempat menoleh, sekumpulan adik-adik memperkenalkan diri dan bertanya.

"Boleh kami menemuramah akak?"

Mulut saya terkunci rapat. Kasihan pula hendak dikatakan tidak. Lagipun apa salahnya. Saya tidak mempunyai sebarang masalah dalam bercakap. Saya seakan dilahirkan untuk itu.
~Senyum menampakkan barisan gigi atas.~

Setiap pertanyaan mereka, saya jawab sehingga mereka betul-betul puas dan faham. Saya ada kelebihan kerana perkara yang sama pernah dilakukan guruji ketika beliau menerangkan perihal novelog Mimpi Adif. Saya kutip ilmu dari situ. :D
Projek untuk subjek 'publishing'



Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada adik-adik dari UITM Shah Alam ini kerana sudi menyapa saya. Sekurang-kurangnya, ilmu yang saya jelaskan tempoh hari dapat dikongsikan buat orang lain pula.

Jangan lupa terjah lagi ya! ;)

Siswi UITM, Shah Alam.

FAREEDA Hi Tea

Hadiah Paling Kreatif
Alhamdulilah, rezeki Allah taala. Hadiah berupa sejumlah tunai ini disampaikan pada satu majlis yang serba sederhana. Ia diadakan di Hotel De Palma, Shah Alam pada 28hb April 2012.
Mujurlah, suami yang menghantar saya ke hotel ini. Jika nak diharapkan diri sendiri, entah-entah berakhir di Pelabuhan Utara, Klang! ~Sengeh~

Saya hanya menjamah sedikit sahaja makanan pada petang itu kerana asyik sibuk berborak dengan seorang cikgu. Cikgu yang tidak gemar diambil gambarnya ini menyatakan dia seorang kaunselor. Wah! Saya pun bekas ahli kaunselor juga... ;) Itu cerita lamalah.

Hadiah Like Tertinggi FAREEDA
Dikesempatan ini saya ingin mengucapkan terima kasih pada FAREEDA kerana memilih saya sebagai salah seorang pemenang untuk hadiah paling kreatif. Saya cukup hargainya. Saya tidak menyangka jumlah tunainya meningkat dari yang pernah diwar-warkan sebelum ini. Terima kasih sekali lagi.

Hadiah-hadiah ini disampaikan oleh dua orang jelitawan FAREEDA. (Rujuk gambar)

Alhamdulilah majlis ini berlangsung dengan meriahnya walaupun, beberapa bekas calon semi dan akhir Pencarian Model FAREEDA tidak dapat hadir.

Oh, ya! Saya juga nak ucapkan berbanyak terima kasih kepada adik Nurul kerana sudi menata rias wajah saya untuk hari itu! <3

Saya tinggalkan dengan...
Kecantikan itu adalah hak milik Allah. Kita sebenarnya tak punyai apa-apa.