RAKAN2:

Saturday, December 4, 2010

Memori 2010

Kepada semua yang dikasihi...

Tahun 2010 bakal menutup tirainya tidak berapa lama lagi. Tahun ini banyak meninggalkan kenangan pahit dan manis. Apa sahaja yang pahit itu biar saya simpan dalam hati. Pagi ini saya hanya mahu ceritakan yang manis-manis sahaja.

Tahun inilah saya mulai dengan membuat akuan facebook dan blog. Pada permulaannya, saya agak sukar untuk membiasakan diri berada di dalam kelompok ini. Namun, saya gagahi juga dan belajar banyak perkara baru di sini.

Permulaan tahun 2010 memang agak baik bagi saya. Saya dapat ke PBAKL di PWTC dan mengenali dengan orang-orang hebat. Saya dapat bersemuka dengan Dato' A Samad Said secara lebih dekat lagi. Keindahan itu tidak dapat digambarkan di sini.

Saya juga telah diberi peluang untuk menulis di dalam satu penerbitan yang besar. Saya cukup teruja kerana saya sendiri tidak tahu akan keupayaan diri sendiri di dalam bidang ini sehinggalah saya diyakini oleh sahabat-sahabat karib. Mereka banyak membantu dan mengatakan saya boleh melakukannya.

Seterusnya, saya memenangi pesta pantun PBAKL 2010. Siapa yang tidak gembira apabila diisytiharkan sebagai salah seorang pemenang di dalam pesta tersebut. Beratus-ratus pantun dihantar dan pantun saya diangkat sebagai salah satu pantun terbaik. Alhamdulilah.

Paling istimewa, apabila dapat menyerahkan manuskrip MIMPI ADIF tanggal 12.05.2010. Tarikh itu merupakan tarikh lahir arwah ayahanda. Cukup bermakna pada diri ini.

Bulan December 2010 tidak akan luput dari kenangan saya. Bulan ini menyaksikan novel MIMPI ADIF sudah berada di pasaran dan saya juga terpilih sebagai salah seorang pemenang minggu ke 6, Pencarian Model Fareeda Kosmo 2011. Bulan ini juga saya telah mula menjinakkan diri dengan manuskrip untuk genre lain.

Saya berdoa agar segala apa yang saya usahakan akan beroleh kejayaan. Apa sahaja yang saya cuba sampaikan di dalam setiap manuksrip akan diterima baik oleh semua.

Dikesempatan ini saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang telah memiliki novel MIMPI ADIF. Hanya ALLAH sahaja yang dapat membalas budi baik anda itu.

Marilah kita doakan agar tahun 2011 berupaya mengubah diri kita menjadi insan yang lebih cemerlang pada diri sendiri, keluarga dan masyarakat. Kikiskan perasaan iri hati, dengki dan segala sikap-sikap buruk. Ingatlah setiap apa yang kita tulis dipersoal oleh ALLAH di akhirat kelak. Oleh itu, tulislah yang baik-baik sahaja.

Selamat tinggal 2010 dan selamat datang 2011... kepada satu perubahan yang mematangkan fikiran. InsyaALLAH.

Salam sayang.

Wednesday, December 1, 2010

Sakit Mata


Sakit Mata berlaku apabila ruangan yang berwarna putih di dalam mata berwarna kemerah-merahan. Ini boleh berlaku jika mata kita terlalu sensitif pada sesuatu keadaan ataupun dijangkiti beberapa jenis virus.
Di antara virus yang terlibat adalah: Adenovirus, Herpes viruses, Corona viruses dan banyak lagi.
Saya cadangkan agar sesiapa sahaja yang dijangkiti sakit mata agar menjaga kebersihan diri dan orang-orang yang tersayang sebaik yang mungkin. Selepas membasuh tangan pastikan anda menggunakan sanitizer. Amalkan sikap sebegini sebelum dan sesudah menyentuh kelopak mata anda yang telah dijangkiti.
Baru-baru ini, anak ke dua saya telah dijangkiti sakit mata yang agak teruk dan terpaksa mendapat rawatan susulan ke hospital pakar. Jangkitan itu telah menyebabkan kedua kelopak matanya bengkak dan mengeluarkan gumpalan tahi mata yang agak berbau. Keadaan ini akan menjadi lebih teruk jika dia mengambil makanan berprotein tinggi. Selepas dua minggu, barulah kedua matanya kembali pulih.
Namun, halnya tidak berhenti di situ apabila anak lelaki saya turut sama dijangkiti sesudah kakaknya pulih. Paling sukar, ketika hendak menitiskan ubat ke dalam matanya. Sukar... kerana dia takut!
Sekarang... saya dan suami mengalami jangkitan yang sama. Pedih, perit dan agak berat untuk membuka kelopak mata ini.
Mudah-mudahan, ujian ALLAH ini akan ditempuhi dengan penuh kesabaran. Mata pun perlukan rehat...
Jumpa lagi, semua! ^^

Tuesday, November 16, 2010

Aidil Adha datang lagi

Kedatangan Aidil Adha kali ini disambut dengan serba sederhana. Anda tentu sudah maklum dengan berita banjir yang melanda di kawasan Utara baru-baru ini. Kawasan perumahan bonda saya juga terlibat. Oleh itu, sambutan Aidil Adha agak muram di kawasan tersebut. Keadaan rumah yang tidak terurus dan masing-masing masih lagi melayan kesedihan kerana peristiwa tersebut. Itulah pengorbanan yang harus ditempoh oleh semua di situ.
Selamat Hari Raya Adil Adha dan maaf zahir batin daripada saya dan keluarga.

Wednesday, November 10, 2010

Sekadar Peringatan...

Apa yang kita tulis hari ini mencerminkan kita di masa hadapan. Oleh itu, tulislah sesuatu yang bermanafaat dan mudah-mudahan mendapat keredhaan ALLAH taala. Jika baik, baiklah jadinya. Begitu juga sebaliknya.
Penulisan yang baik mencorakkan keperibadian seseorang itu.

Monday, November 8, 2010

PUTRAJAYA SYURGAKU (BAB 4 - AKHIR)

TULISAN: ASNIDAR DAN AZRINA NUR RUSLY CERITA ASAL: DR JOHARI HAMID
“IBU tidak akan serahkan tanah ini! Apa jadi sekalipun, ibu tidak akan serahkan! Tamat!” Keras suara Ibu pada malam itu. Terkejut semua anak-anak dengan tindakan Ibu yang di luar jangkaan mereka. Tidak pernah sekalipun anak-anak melihat Ibu meninggikan suara sebegitu.
Isteri Along hanya mencebik dari belakang tubuh suaminya sahaja. Mukanya masam mencuka. Dimuncungkan bibirnya yang terlebih mungil akibat suntikan botox itu. Mungkin dia menyangka Ibu lebih sayangkan tanah ini daripada anak-anak sendiri. Mana mungkin dia tahu apakah sebab sebenarnya yang cuba Ibu pertahankan.
Angah mengangkat punggung dan berlalu ke serambi. Panas di luar rumah itu tidak sepanas api yang membakar hatinya. Dia mengeluarkan sepuntung rokok lalu diselitkan di celah bibirnya. Sesekali, dia mengerling ke arah ibunya itu.
Dingin malam tidak mampu menyejukkan hati Ibu. Begitu juga dengan kehadiran ketiga-tiga anak Ibu. Ibu tidak mahu memanjangkan bicara. Bantal yang sudah kusam sarungnya Ibu letakkan di bawah kepala. Tubuh cengkung Ibu dipalingkan menghadap ke dinding. Rapat! Ibu pura-pura tidur sambil mengesat airmata yang mengalir lesu dari tubir mata.
“Biarlah Ibu tidur dahulu malam ini. Siapa tahu, mungkin esok Ibu akan setuju dengan pujukan kita. Jika Ibu tidak bersetuju juga, Angahkan sudah ada rancangan…” Perlahan Angah cuba menyakinkan kedua saudaranya itu.
Selepas menunaikan solat Subuh berjemaah, anak-anak mencuba lagi. Solat pagi itu hanyalah sebagai satu taktik untuk melembutkan hati Ibu sahaja. Bertambah sayulah hati Ibu dengan tingkah laku mereka. Anak-anak cuba mengelabui mata Ibu dengan sikap berpura-pura itu. Walau bagaimana sekalipun cara mereka, Ibu tetap dengan pendirian Ibu!
Angah sudah mulai mengatur rancangan keduanya!
Pihak broker yang bersengkokol dengannya, telah datang ke rumah Ibu pada pagi itu. Ibu diberi tekanan lagi. Pelbagai ugutan yang telah diberikan oleh broker itu. Kononnya, walaupun Ibu tidak bersetuju, jika kerajaan berkehendakkan juga, tanah Ibu tetap akan menjadi milik mereka akhirnya. Ibu harus akur dengan keputusan itu nanti. Tanah itu akan dirampas dan Ibu tidak akan mendapat sesenpun darinya.
“Mak cik, kawasan ini akan dibangunkan. Hanya tinggal mak cik seorang sahaja lagi. Yang lain sudah tanda tangan. Macam mana kami hendak buat kerja kalau mak cik tidak setuju? Tambahan pula, tanah ini di tengah-tengah tapak projek.” Suara broker itu menyiat hati Ibu. Hancur luluh hati Ibu mengenangkan tanah sekangkang kera itu. Di dalam keterpaksaaan, Ibu membuat keputusan!
“Ibu akan serahkan tanah ini tetapi… bersyarat!”
Along, Angah dan Ucu sudah tersenyum senang. Walau apapun syaratnya mereka akan bersetuju kerana rancangan telah mereka atur dengan kemas. “Ibu tidak akan tahu apa-apa lagi mengenai tanah ini, selepas ini!” Bisik hati kecil Angah.
***
PETANG itu, Along, Angah dan Ucu pulang ke rumah itu dengan wajah yang berseri-seri. Urusan tanah sudah diselesaikan. Tidak lama lagi poket mereka akan penuh dengan wang pampasan yang diberi oleh pihak kerajaan itu. Mereka hanya menunggu beberapa hari sahaja lagi tempoh cek yang diberi oleh pihak broker itu matang.
Rahsia tentang tanah yang dijual kepada pihak kerajaan itu disimpan kemas dan rapi. Ibu seharusnya menganggap bahawa tanah miliknya itu telah diwakafkan. Padahal, mereka berpura-pura dan bertindak dari luar permintaannya. Malam ini, mereka harus bergerak pantas dan keluar dari rumah itu. Segala pergerakan mereka harus dilakukan dalam keadaan senyap. Ibu seharusnya tidak sedar akan kepergian mereka untuk selama-lamanya!
Pagi keesokannya, broker datang ke rumah ketika Ibu leka menyiapkan sarapan pagi. Terkejut besar Ibu apabila diarahkan untuk segera mengosongkan rumah tersebut. Menurut broker itu, pembinaan akan segera dimulakan. Sebarang penangguhan akan menyebabkan kerja mereka terlewat dari tarikh jangkaan.
“Mak cik tengah tunggu anak-anak mak cik... Kejap lagi, mereka datanglah untuk mengambil mak cik!” Ibu merayu dan cuba menyakinkan hatinya bahawa anak-anak akan kembali. Namun, sia-sia sahaja!
‘Along, Angah, Ucu, kamu semua di mana nak? Baliklah ambil Ibu. Bukankah kamu sudah berjanji? Janganlah tinggalkan Ibu lagi…’ Hati Ibu merayu hiba di malam bulan yang separuh kelam itu. Airmata sayunya mengalir lesu di pipi tua yang sudah berkedut seribu itu.
Dua tahun kemudian...
Masjid berkubah merah jambu sudah tersergam indah di atas tapak tanah itu. Sebentar lagi majlis perasmiannya akan diadakan. Walaupun, Ibu tidak mendapat sebarang jemputan untuk menghadiri majlis yang sungguh bermakna itu, Ibu akan pergi juga!
Pagi-pagi lagi Ibu sudah bersiap rapi. Biarpun pakaian Ibu lusuh dan pastinya mengundang malu bila berada di kalangan orang ramai nanti, Ibu tetap mahu ke sana! Tanah yang sudah Ibu anggap sebagai syurga itu, menjadi tempat untuk orang ramai beribadah. Rumah ALLAH!
Ibu berjalan terhencut-hencut menuju ke ruang solat yang dikhaskan untuk wanita. Seorang pengawal keselamatan wanita menahan dan melarang Ibu daripada memasuki ruang solat di situ. ‘Tolonglah mak cik nak. Benarkan mak cik menghadap ALLAH seketika. Bersujud menyembah DIA…’ Ibu cuba berkata tetapi suara Ibu tersekat. Jauh ke dalam matanya ada simpati untuk Ibu. Tangan Ibu dilepaskannya.
Sudah setengah jam, Ibu bersujud namun masih belum ada tanda-tanda dia mahu bangun. Beberapa orang wanita yang sudah selesai menunaikan solat tertanya-tanya. Lantas, mereka bergerak dan menyentuh tubuh Ibu. Serentak dengan itu, Ibu rebah dan jatuh ke lantai yang berkarpet di situ. Kaku!
“BEGITULAH ceritanya.... nak.”
“Apa jadi dengan anak-anak Ibu yang tiga orang itu pakcik? Di mana mereka sekarang? Kubur Ibu mereka di mana? Boleh...” Laungan azan Zohor dari Masjid Putrajaya mematikan perbualan di antara aku dan pakcik tua itu. Kami berdua mendiamkan diri sebagai tanda menghormati azan yang sedang berkumandang. Usai doa selepas azan dibacakan, pakcik tua itu bingkas bangun dari silanya.
“Marilah nak. Kita segerakan solat kita dahulu. Selepas solat nanti, kita sambung semula perbualan kita tadi.” Lembut sahaja nada suara pakcik tua itu. Mahu atau tidak, terpaksalah aku menurut sahaja. Hendak dibangkang, terasa malu pula. Jika diikutkan rasa hatiku, mahu sahaja aku melelapkan mataku yang sudah separuh terpejam ini.
Dari jauh aku dapat melihat pakcik tua itu sibuk menyediakan tempat untuk orang ramai menunaikan solat. Begitu murni niatnya untuk memberi keselesaan kepada orang ramai yang hadir di Masjid Putrajaya hari itu.
Suara imam sudah beberapa kali kedengaran memanggil makmumnya untuk membetulkan saf mereka. Aku cepat-cepat memenuhkan ruangan yang agak kosong di saf yang pertama. Selesai sahaja solat nanti, aku harus segera berjumpa dengan pakcik tua itu tadi dan mendengar cerita selanjutnya daripada dia. Kemudian, aku harus segera menuju ke tempat perjumpaan yang telah dijanjikan oleh jurupandu beberapa jam yang lalu.
Usai memberi salam yang kedua, aku bingkas bangun. Aku mahu segera mencari pakcik tua itu kembali. Namun puas aku ke sana dan ke mari di dalam ruangan solat itu, kelibatnya tidak juga kelihatan. Aku mengerling jam di pergelangan tanganku pula.
Serta-merta aku menyedari bahawa aku sudah terlewat untuk kembali ke tempat perjumpaan yang telah dijanjikan tadi. Aku berlari keluar ke pintu utama dan bersegera memakai capalku. Bimbang mula bersarang di dalam hatiku jika benar-benar aku sudah ditinggalkan.
Kelam kabut aku tercari-cari bas persiaran yang berwarna hijau kuning itu. Tiada! ‘Sudah! Aku benar-benar sudah ditinggalkankah? Tiada pula deretan bas yang tadinya menghuni di sepanjang bulatan di hadapanku ini. Masakan lenyap secara tiba-tiba.’ Hati kecilku bersuara dan berbalas-balas kata.
Suara riuh rendah mulai menerjah pendengaranku. Aku berpaling. Tercari-cari di mana suara itu. Nun di bawah pokok-pokok itu, aku dapat melihat ada satu pertengkaran hebat sedang berlaku di antara pengawal dan pakcik tua itu tadi. Pada hematku, pengawal itu bertindak agak kasar dan tidak menghormati seorang tua yang tidak berdaya. Aku menapak perlahan-lahan ke arah mereka.
Di dalam kepala, aku mengatur rencanaku apabila tiba di sana nanti. Aku akan menegur pengawal itu akan perbuatannya yang agak kasar kepada pakcik tua itu. Dia seharusnya meminta maaf kepada pakcik tua itu nanti. Jika pengawal itu tidak bersetuju dengan pandanganku, aku akan mengambil segala butiran peribadinya dan perkhidmatannya seharusnya ditamatkan dengan segera.
“Kenapa bang?” Tegur aku tatkala menghampiri pengawal yang agak berusia itu. Aku cuba mencari kelibat pakcik tua itu tadi. Namun tidak pula dia kelihatan di sekitar tempat ini. Pandai pula dia meresap dan tiba-tiba menghilangkan dirinya.
“Rimas... Suka kacau orang...” Aku membuat mimik muka tidak mengerti dengan kata-kata pengawal keselamatan itu. Semakin aku tidak faham jadinya. Siapa yang kacau siapa sebenarnya ini? Hatiku mula memberontak.
“Kalau adik nak tahu... Dia itu gila!” Jiwa aku semakin kacau. Pandai pula pengawal ini membuat cerita. Senang-senang sahaja mengata orang gila. Aku lihat pakaian pakcik tua itu seperti orang ada-ada sahaja. Solatnya pula tidak berkurangan. Di mana yang dikatakan, gila? Nafas aku sudah mulai turun dan naik. Geram jadinya!
“Mana tidaknya... Tiap-tiap hari, abang asyik mendengar cerita yang sama sahaja. Berulang-ulang kali. Orang kata, dahulunya dia sihat. Kemudian, dia membuang ibunya kerana harta. Macam-macam yang dilakukannya kepada ibunya itu. Bila dia sudah insaf, dia cuba mencari ibunya di sini tetapi tidak berjumpa. Kata orang, ibunya sudah meninggal dunia.” Jelas pengawal yang berbaju putih itu.
Aku melongo dan terduduk. Bagaikan tidak percaya namun aku cuba juga untuk mempercayai apa yang baharu sahaja kudengari sebentar tadi.
BAAAAMMMMMM!!
“Ya Allah!” Aku tersentak lalu terjerit tatkala telingaku terdengar bunyi bagai sesuatu dilanggar. Aku terkinja-kinja cuba melihat kawasan yang telah dikerumuni oleh orang ramai itu. Masing-masing terkejut dan menggeleng tidak percaya.
Percikan darah memang terbias pada cermin kereta di sekitar kawasan itu. Begitu juga dengan jalan yang berbatu kemas ini. Aku menapak merapati dan cuba menyelit di celahan orang ramai yang berada di situ.
Nah! Terdampar di atas jalan raya itu, pakcik tua tadi. Matanya sudah terbeliak memandang ke langit biru. Lelehan darah pekat masih keluar dari liang luka di kepalanya itu. Tangannya sudah berlumuran penuh dengan darah. Manakala, kakinya sudah mulai pucat. Mulutnya sudah kaku dan tidak berdaya untuk berkata-kata lagi.
“Innalillahiwainnaillahirajiun...” Bisik aku perlahan mengiringi tubuhnya yang segera dibawa pergi oleh van kecemasan itu.

***TAMAT***

Sunday, October 31, 2010

PUTRAJAYA SYURGAKU (BAB1 - BAB3)

TULISAN: ASNIDAR DAN AZRINA CERITA ASAL: DR JOHARI HAMID
SELEPAS menunaikan solat Subuh, Ibu sudah mulai turun ke dapur. Daun kelapa yang dianyam menjadi sarung ketupat sudah diisikan dengan beras lalu dimasukkan ke dalam air yang sudah mendidih. Sementelah menunggu ketupat itu masak, Ibu menyediakan kuah kacangnya pula. Di wajah Ibu sudah terbayang anaknya yang ke dua, Angah yang pasti tersenyum dengan ini semua.
Usai kuah kacang yang sudah siap dimasak dimasukkan ke dalam bekas, Ibu mula memasak rendang daging kegemaran Along. Mujurlah Ibu sudah menempah terlebih dahulu daging itu daripada kedai Tok Su Ali. Bekalan daging memang susah hendak didapati di Prang Besar ini. Jika tidak ditempah, alamatnya kempunanlah Along hendak memakan rendang daging kesukaannya.
Setelah juadah kegemaran Along dan Angah siap, Ibu mula menyediakan pula makanan kegemaran anak bongsunya. Ucu sangat suka dengan mee rebus. Setiap kali mengadap makanan ini, Ucu pasti akan berkata, “Mee rebus siapa yang paling sedap? Ibuuuu!”
Jam di dinding Ibu renung sekilas. Sudah tengahari. Ibu tersenyum gembira sendirian. Juadah kegemaran anak-anak kesemuanya sudah siap terhidang di atas meja. Sebentar lagi, anak-anak Ibu akan sampai. Sungguhpun tubuh Ibu sudah terasa penat, Ibu tiada masa hendak berehat lagi! Segera Ibu ke bilik air membersihkan diri untuk menyambut kepulangan anak-anak Ibu.
Janji anak-anak Ibu untuk berbakti kepada tanah air sendiri, terus sahaja mereka lupakan. Mereka lebih senang menetap di negara orang daripada berbakti di bumi ini. Jangankan bertanya khabar, berpucuk-pucuk surat Ibu kirimkan juga tidak dibalas. Akhirnya, Ibu terpisah dari dunia mereka berpuluh tahun lamanya.
Kini, mereka akan kembali. Ibu ketepikan semua perasaan itu. Ibu tidak kisah jika selama ini, Ibu mereka pinggirkan. Hari ini, kepulangan mereka akan disambut dengan tangan terbuka. Biarlah peristiwa lama itu di atas sebab-sebab perilaku mereka yang tidak matang.
Sebuah kereta mewah memasuki halaman rumah Ibu. Tergesa-gesa Ibu yang sedang duduk di muka pintu bangun dan cuba memerhati siapakah yang datang. Adakah penumpang itu sekadar untuk bertanyakan jalan atau tersesat? Namun, langkah Ibu terhenti di kaki anak tangga apabila melihat tiga orang lelaki keluar dari pintu kereta itu.
‘Sahihlah, kesemua itu anak-anak Ibu. Dan itu siapa pula?’ Ibu terkedu melihat aksi seorang wanita merangkul lelaki yang duduk di bahagian pemanduan tadi. Aksinya yang manja dan menggoda itu sememangnya membuatkan Ibu tertanya-tanya.
***
RUMAH usang yang tiada berbilik itu kelihatan tiada berseri buat Angah. Jika bukan kerana keterpaksaan, tidak mungkin dia ingin menjejakkan kakinya ke situ. Bau hapak yang menghuni setiap penjuru dinding rumah itu terpaksa juga Angah hidu.
Perbincangannya dengan Along di sebuah restoran makanan segera berhampiran tempat tinggal Along seminggu yang lalu masih terasa seperti baru semalam. Begitu bersungguh-sungguh dia menyusun rancangannya. Segala kemungkinan yang bakal berlaku juga telah Angah fikirkan jalan penyelesaiannya.
Cadangan yang diberikan oleh Angah tidak langsung dibantah oleh Along. Walaupun Along pada permulaannya agak ragu-ragu untuk bersetuju dengan rancangan yang dibuatnya, namun akhirnya Along akur. Perbincangan yang diadakan itu membuka ruang untuk Along melangsaikan segala masalah kewangan yang dihadapinya nanti.
Kehidupan Along banyak berubah semenjak mempunyai isteri dari kalangan orang berada. Segala kemahuan isteri diturutinya dan akibatnya dia tersepit dengan hutang yang berganda-ganda. Along berharap dengan rancangan itu, dia dapat mengembalikan maruahnya di hadapan keluarga mertuanya nanti.
Mereka juga bersetuju untuk turut menarik Ucu ke dalam kancah permainan ini. Ucu akan diberi peranan untuk memujuk Ibu memandangkan dialah yang paling rapat dengan Ibu. Angah begitu yakin Ucu akan menurut sahaja kata mereka nanti. Permainan itu akan mendatangkan hasil kepada dia juga yang belum mempunyai sumber pendapatan.
Angah cukup berbangga dengan apa yang diperolehinya sekarang ini. Jauh lebih baik dari rumah Ibu yang boleh disamakan keluasannya dengan bilik air di rumahnya kini. Namun, kehidupan sosialnya yang melampaui batas telah menjerumuskan Angah ke lembah kesusahan. Semakin hari semakin bertambah beban hutang yang ditanggung Angah sehinggakan dia sanggup mengambil jalan mudah dengan meminjam kepada lintah darat untuk melangsaikan hutangnya. Akibatnya, dia dikejar dan diugut oleh mereka kerana tidak dapat menyelesaikan hutang tersebut pada waktunya.
Angah nekad untuk pulang ke kampung setelah mendengar khabar angin daripada Ucu yang tapak tanah ini akan dimajukan oleh kerajaan! Kerajaan akan membayar wang pampasan yang banyak kepada pemilik tanah di Prang Besar itu. Tanah itu merangkumi keluasan berpuluh-puluh ekar dan termasuklah juga tapak tanah yang diduduki oleh ibu mereka itu.
Jika Ucu tidak dapat memujuk Ibu, Angah sudah mempunyai pelan yang lain. Dia sudah menyiapkan rancangan untuk menculik dan menyeksa Ibu. Dia telah pun berhubungan dengan sebuah kumpulan samseng. Kumpulan yang tidak berperikemanusiaan itu akan ditugaskan untuk membuat Ibu menyerahkan geran itu secara rela ataupun tidak. Apa pun tindakan mereka nanti, Angah tidak kisah! Baginya yang pentingnya, geran tapak rumah itu harus dimilikinya! Sekarang!
Angah juga telah berpakat dengan broker untuk sama-sama menekan Ibu dari pelbagai sudut. Segala wang pampasan nanti akan dikongsikan bersama. Angah tidak kisah, janji wang pampasan itu tidak akan berpindah ke tangan orang lain!
Angah sudah tersenyum puas apabila Along dan Ucu bersetuju dengan segala rencananya. Bagi Angah, dia harus pandai bermain dan melayangkan kata-kata manis di hadapan mereka. Along dan Ucu harus jatuh ke dalam genggamannya walaupun mereka tidak tahu yang janjinya pada mereka hanyalah dusta semata-mata.
Sudah terbayang di ruang mata Angah, kesemua kepingan berwarna biru merah itu hanyalah untuk dirinya sahaja! Lengkingan gelak besar Angah pagi itu memenuhi setiap ruang serambi rumah yang masih beratapkan nipah itu.
***
PETANG itu, Ibu duduk termenung seorang diri di atas pangkin yang dibina oleh arwah Ayah. Sewaktu arwah masih hidup, di atas pangkin itulah Ibu dan arwah Ayah berbual-bual sambil memerhatikan anak-anak bermain-main. Keadaan di situ agak redup kerana dipayungi pohon rambutan rendang di tepi halaman.
Setiap petang, Ibu dan arwah Ayah akan memerhatikan tingkah laku Along, Angah dan Ucu. Setiap kali itu jugalah Ibu dan arwah Ayah senantiasa melihat Along beralah kepada Angah. Kadang-kadang, Angah merampas barang permainan milik Along dan Along hanya akan membiarkan sahaja. Kadang-kadang Angah sengaja mengacau Along. Itu juga Along biarkan sahaja tanpa ada niat Along hendak melawan.
Ucu pula memang akan menjadi mangsa Angah. Selalu sahaja Ucu menangis dikerjakan oleh Angah. Sama ada Angah merampas barang permainan Ucu, memukul Ucu mahupun merebut makanan yang sedang dimakan Ucu, semuanya boleh membuatkan Ucu menangis. Along pula tidak akan memukul Angah, sekadar meleraikan sahaja perbuatan Angah terhadap Ucu itu.
Sikap bijak merancang sudah lahir dari dalam diri Angah semenjak kecil lagi. Bukan sekali arwah Ayah terserempak dengan Angah yang sedang menyusun rancangan hendak ke sungai bersama Along dan mengheret Ucu sekali. Malahan arwah Ayah juga pernah terdengar Angah berbincang dengan rakan-rakannya hendak mencuri ayam jiran dan memanggangnya di dalam ladang. Mujur juga arwah Ayah terdengar rancangannya itu terlebih dahulu, jika tidak sudah tentu Angah akan ditangkap oleh jiran tetangga.
Namun kini apabila sudah dewasa, Ucu juga sudah mulai pandai menjadi perantara Along dan Angah untuk memujuk Ibu. Terasa sebak hati Ibu apabila Ucu menyampaikan hasrat Along dan Angah meminta Ibu menyerahkan sahaja geran tanah kepada kerajaan dan menerima pampasan yang bakal diberikan itu. Ibu tidak sangka, anak-anak Ibu pulang hanya kerana tanah sekangkang kera ini!
"Ibu, tanah di baruh sudah dijual Pak Cik Leman. Begitu juga tanah di lembah. Pak Tih, Lebai Talib, Mak Busu dan Pak Ndak Pian semua sudah membilang duit mereka." Pujukan Ucu itu terasa sungguh menyakitkan bagi Ibu. Seperti belati yang menghiris hati Ibu ini.
‘Ibu, bukan seperti mereka! Sayang, sungguh sayang sama sekali, bila Ucu tidak faham perasaan Ibu! Ibu sayang tanah ini. Biarpun apa ditanam tidak menjadi. Apa ditaji tidak berhasil. Walaupun Ibu tahu sememangnya tanah ini keras dan berpasir. Ibu tidak kisah.’ Hati Ibu memberontak.
Bagaimanalah Ibu sanggup menyerahkan tanah ini sedangkan di sinilah kasih Ibu bertunas, bercambah dan subur mengharum. Di atas tanah inilah, Ibu dan arwah Ayah melahirkan serta membesarkan anak-anak. Di dalam tanah inilah juga Ibu semadikan uri anak-anak Ibu. Dengan harapan anak-anak Ibu akan turut mencintai tanah tumpah darah mereka ini dan juga tidak melupakan jasa tanah sekangkang kera itu.
'Tolong Along, Angah dan Ucu. Jangan ditanya kenapa Ibu tidak mahu serahkan tanah ini. Kenapa Ibu tidak mahu berpisah dengan tanah ini walau apapun yang terjadi. Biar Ibu mati kerananya. Ini milik Ibu! Inilah syurga Ibu!'
Rintihan hanya bersarang di hati Ibu. Jauh di sudut hati, Ibu mengharapkan ketiga-tiga anak itu akan mengerti hati nurani Ibu. ‘Bukankah mereka yang dikandung Ibu berpuluh-puluh tahun dahulu? Kenapa harus mereka berubah, jika mereka dari titis darah ini?’ Renung Ibu dalam tika melihat senja menghilang di kaki langit itu.
(BERSAMBUNG... CERPEN INI DIHANTAR UNTUK PERTANDINGAN BARU-BARU INI)

Thursday, October 28, 2010

Karya Pertama MIMPI ADIF

Dengan nama ALLAH yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang...



Nantikan kemunculan novel MIMPI ADIF di kedai-kedai buku ternama berhampiran anda tidak lama lagi. Anda juga boleh membeli secara 'online' di lawan web Karangkraf.
Sedikit kenangan manis semasa menulis novel ini. Saya menghadapi 'migrain' yang sangat teruk sebanyak empat kali dan terpaksa dimasukkan 'oksigen' sebanyak tiga kali. Namun, perjuangan diteruskan juga. Begitulah hebatnya ketika hendak menulis novel sulung ini.
Bacalah sesuatu dari hati...

Wednesday, October 27, 2010

Segalanya Bagaikan Bermimpi...

Alhamdulilah, proses untuk mengeluarkan novel pertama saya semakin menghampiri nyata. Beberapa minggu dari sekarang, dunia penulisan akan diwarnai oleh seseorang yang bernama Asnidar Shafie. Saya pasti berdebar-debar menanti reaksi pertama daripada semua orang. Mudah-mudahan, ALLAH memberi rahmat di setiap perjalanan itu nanti.
Dikesempatan ini, saya ingin ucapkan jutaan terima kasih kepada adik-adik di penulisan2U yang selalu menyokong dan menanti karya ini. Sahabat-sahabat terutamanya Azrin, Rosne, Hazel, Ana, Laili... yang percaya akan bakat saya. Saya juga tidak mampu untuk menyenaraikan nama semua sahabat-sahabat yang lain... terima kasih juga untuk anda.
Khas dan terutama untuk Dr Johari Hamid dan Puan Sri Diah. Anda berdua sememangnya, hebat!
Syukur, syukur dan syukur di atas bakat yang diberikan ALLAH ini.

Segalanya bagaikan bermimpi...

Wednesday, October 20, 2010

Sesuatu Dari Jiwa

Salam sayang buat semua dan terima kasih kerana sudi melapangkan masa membaca di ruangan ini.
Kebelakangan ini, masa saya agak terisi dengan meneliti atau membuat semakan pada setiap tulisan dan karya saya. Sekarang, saya akan cuba mencari idea-idea untuk dimasukkan ke dalam karya yang seterusnya. Mudah-mudahan, karya ini juga akan diterima oleh pihak penerbitan. Saya tiada apa untuk dikongsi untuk anda semua kecuali karya-karya saya.
Teruskanlah menyokong, sesuatu dari jiwa...

Tuesday, October 12, 2010

Anak-Anak Yatim Baitul Mahabbah

Kami sekeluarga berkesempatan merayakan Syawal bersama-sama dengan anak-anak yatim dari Baitul Mahabbah, Seremban. Kebanyakkan keluarga yang mengikuti rombongan ini adalah dari kalangan ahli-ahli aktif SEHELAI BAJU BUAT MENYAPU SI AIRMATA.
Betul. Perkara sebegini memerlukan pengorbanan masa dan semangat yang tinggi. Jika anda berniat untuk turut serta menggembirakan hati mereka, anda seharusnya mengenepikan tuntutan-tuntutan yang lain.
Kegembiraan jelas terbayang di wajah kami. Begitu juga dengan anak-anak yatim ini. Moga apa yang diperjuangkan oleh program ini akan tercapai. Amin.

Tuesday, September 14, 2010

Salam Lebaran

Salam lebaran buat semua pembaca blog Merpati Putih khasnya dan kepada semua umat islam amnya.
Setelah sebulan kita menunaikan ibadah puasa, maka lebaran merupakan hari kemenangan setelah sebulan menahan diri dari lapar dan dahaga.
Hari raya merupakan hari di mana kita sesama kita saling bermaaf-maafan. Salam dihulur dan tangan disambut. Masing-masing mengharapkan kemaafan. Namun, sejauh mana kemaafan ini meninggalkan kesan di hati kita. Masih adakah lagi kesan-kesan terluka, tercalar atau terguris oleh sikap-sikap lama. Sejauh mana kita membuka hati kita untuk menerima kelemahan orang lain dan mengakui akan kekurangan dirinya.
Apapun al-kisahnya, pastikan kita benar-benar ikhlas ketika menghulurkan sepuluh jari memohon kemaafan di hari lebaran ini. SALAM LEBARAN DAN MAAF, ZAHIR BATIN DARIPADA SAYA.

Sunday, August 29, 2010

Sekitar Di Rumah Anak-Anak Yatim Rawang Dan Kuang

Alhamdulilah, akhirnya selesailah misi menghantar baju-baju kurung yang baru ke rumah anak-anak yatim di Bandar Country Homes, Rawang dan rumah Anak-Anak Yatim Damai di Kuang.
Majlis ini di bawah anjuran SEHELAI BAJU BUAT MENYAPU SI AIR MATA. Laman 'Fan Page' telah ditubuhkan di atas nama tersebut bagi melaksanakan impian, sepasang baju kurung baru buat seorang anak yatim.
Perjalanan yang bermula sekitar jam sepuluh pagi berakhir kira-kira jam tiga petang. Alhamdulilah syukur ke hadirat ALLAH kerana mengizinkan saya untuk turut serta setelah berkali-kali tergendala.
Turut serta, Kak Sophia (Penyelia), Neli dan ibunya.
Sekitar jam sebelas pagi, kami berada di rumah anak-anak yatim Baitul Fitrah. Memang jelas tergambar di ruang mata anak-anak yatim ini mengharapkan sepasang baju kurung buat mereka. Masing-masing bersabar menunggu giliran untuk mencuba baju baru itu.

Jika ada baju kurung yang tidak sepadan, mereka sanggup bertukar-tukar sesama sendiri. Tidak banyak masalah yang timbul di sini. Jika ada pun, berkenaan saiz baju-baju yang diterima tidak sepadan dengan bentuk badan. Al-maklumlah anak-anak yang kian membesar.


Lain pula halnya di rumah Anak-Anak Yatim Damai. Kami tiba tepat pada waktu zuhur dan tanpa melengahkan masa terus mengagihkan baju-baju baru ini kepada anak-anak yatim di situ.
Pengagihan ini di jalankan dengan pertolongan dan kerjasama daripada pelajar-pelajar dari UITM Puncak Alam. Mereka berada di situ untuk membuat kerja-kerja amal. Terima kasih diucapkan kepada pelajar-pelajar UITM yang membantu kami di ketika itu.

Lega rasanya apabila hampir kesemua baju-baju dapat diagihkan kepada sebahagian anak-anak yatim di Kuang ini.
Letih dan penat yang bercampur dengan pengisian yang amat bermakna buat saya sebagai seorang anak, ibu dan isteri. Siapa yang meminta untuk hidup sebagai yatim piatu. Tidak punyai ibu atau bapa di dunia ini. Meneruskan hidup dengan berbekalkan kasih sayang dan rahmat ALLAH.

Ramadhan yang penuh bermakna buat Si Merpati Putih. Illalliqaq!

Friday, August 20, 2010

"Aduhai ayahanda, Ramadhan datang lagi!"


Sudah lama saya tidak bercerita di ruangan ini. Semenjak kebelakangan ini, saya asyik sibuk menulis manuskrip, membaca dan juga menulis cerpen AIR MATA RAMADHAN. Alhamdulilah, saya bersyukur ALLAH masih lagi mengurniakan 'sesuatu' untuk dikongsikan di dalam bulan yang berkat ini.
Kata guru penulisan saya, Dr Johari Hamid, beliau mahu hasilkan sebuah buku bersemperna bulan Ramadhan ini. Mudah-mudahan berkat, katanya lagi.
Apa ya bingkisan kali ini? Tentulah sesuatu tentang Ramadhan...

Sudah enam tahun ayahanda meninggalkan kami. Enam tahun jugalah kami tidak merasai berbuka puasa bersama dengannya. Kenangan berbuka puasa kembali menerjah di kotak pemikiran saya.
Lauk kegemaran ayahanda adalah sayur keladi, ayam percik, daging bakar dan ulam-ulaman. Jangan lupa sambal belacan dan air asam cicah (campuran bawang, cili padi, belacan, air asam, tomato, isi ikan kembong yang telah direbus, garam dan sedikit gula). Manakala, nasi putih atau nasi ulam sudah cukup bagi ayahanda. Pencuci mulut pula ayahanda lebih menggemari akan isi tembikai yang telah dihancurkan dan dicampur dengan sedikit gula. Tidakpun Seri Muka atau Tepung Talam.
Tapi... dalam banyak-banyak menu ayahanda, dia pasti tidak akan lupa satu menu ini. Setiap petang, dia tidak akan kata tidak untuk membelinya.
Air Laicikang dan Buah Kabung, untuk saya!

Tuesday, August 10, 2010

Ahlan Ramadhan 2010!


Alhamdulilah, sekali lagi kita diberi kesempatan untuk menunai ibadah puasa bagi tahun 2010. InsyaALLAH, senja nanti akan bermulalah 1Ramadhan dan kemudiannya selepas solat isyak, kita akan menunaikan solat sunat yang dituntut iaitu sembahyang sunat terawih.
Marilah kita sama-sama mengejar erti ibadah ini yang menuntut satu kesabaran di dalam diri setiap umat islam. Banyak-banyakkanlah bersedekah dan berdoa.
Semoga kita beroleh keberkatan di penghujungnya.
Salam Ramadhan dan sayang daripada Merpati Putih...

Saturday, August 7, 2010

JANJI ALLAH - Rosne & Norman

Saya baru mengenali dia. Hampir satu tahun rasanya. Ketika itu, kami sama-sama menyibukkan diri dengan reunion sekolah.

Rosne, begitu cepat masa berlalu. Sekarang, engkau sudah menjadi milik orang.
Hari ini, saya dan keluarga berkesempatan menghadiri majlis perkahwinan Rosne Hanapiah. Perkahwinan kedua buat kedua-dua pasangan ini, insyaALLAH senantiasa di bawah lembayung ALLAH.
Hampir tersesat seketika kami. Saya berkali-kali mengingatkan diri agar jangan bersedih jika tidak dapat melihat Rosne diijabkabulkan. Itulah JANJI ALLAH.
Alhamdulilah, kami tiba tepat pada masanya. Nah, Rosne sudah bersedia di dalam Masjid Kinrara dengan berpakaian indah. Sejurus mendapatkan Rosne, saya duduk tetap di sebelahnya. Berkali-kali cuba menenangkan dia. Ternyata dia agak gugup dan tidak mampu mengukirkan senyuman.
Agak lewat juga, pernikahan ini berlangsung kerana imam mahu menunggu sepasang mempelai lagi. Namun, begitu, segala kesabaran akhirnya berlangsung juga.
Sebelum acara ijab kabul bermula, imam menerangkan tentang peranan isteri dan suami. Juga tentang talak dan cerai.
Sejurus selesai, acara pun bermula. Ternyata Norman sedaya upaya melawan gugupnya. Setelah dua kali tersasar, akhirnya lafaz ke tiga, dengan rasminya Rosne sudah sah menjadi milik Norman.




Indah sungguh hari itu Rosne. Siapa sangka, ALLAH lebih tahu apa yang hak dan perlu buatmu. Engkau sememangnya bertuah, Rosne. Aku tumpang bahagia.


Buat sekian kalinya, saya ucapkan tahniah buat pengantin baru ini. Hilang sudah lelah saya kerana anda sudah ada tempat berpaut. Berikan yang terbaik dan ikutlah suami anda selagi dia tidak melanggar perintah ALLAH.


Rosne, siapalah kita untuk menidakkan JANJI ALLAH. Semoga ALLAH merahmati engkau dan suamimu.




Sayalah orang yang paling bahagia mempunyai seorang sahabat yang amat mempercayai bakat saya. Dialah juga yang menyokong saya tatkala yang lainnya mengeji dan melempar sumpah seranah buat saya. Moga kita bertemu di akhirat jua, Rosne Hanapiah!

Saturday, July 31, 2010

Bengkel Penulisan Alaf21

Alhamdulilah, berkat kesungguhan dan doa dapat juga saya menghadirkan diri ke bengkel penulisan pada kali yang ke 2 di Karangkraf, Shah Alam.
Sebagai seorang surirumah sepenuh masa, masa-masa saya kebanyakkan dihabiskan dengan anak-anak dan suami sahaja. Sehinggalah, 'seseorang' yang begitu gagah di dalam bidang penulisan telah menggoncangkan dan menyedarkan saya tentang satu impian.
Akhirnya, bengkel penulisan merupakan teras permulaan saya untuk memahirkan bidang ini.
Kali ini, saya ditemani oleh Kak Laila Hanni seorang pensyarah dari Politeknik, Kelantan. Kami baru sahaja berkenalan selama 3 hari dan kemudiannya telah membuat satu temujanji.
Kesanggupan Kak Laila Hanni meninggalkan orang-orang yang disayang, telah membuka mata saya tentang semangat dan pengorbanan yang jarang-jarang ada pada setiap dari kita.
Menurut kata Kak Laila, dia bermalam di rumah adiknya di Kajang dan kemudiannya, menaiki komuter untuk ke Subang Jaya. Dari situ, saya telah menjemputnya untuk ke bengkel bersama-sama. Di sepanjang perjalanan ke Karangkraf, kami banyak berbual-bual dan akhirnya kami duduk sebelah menyebelah di dalam bengkel tersebut. (Rujuk gambar)
Bengkel dimulai oleh penceramah Puan Sri Diah. Beliau banyak berkongsi pengalaman dan pahit maung bergelar wartaman, editor dan penulis. Sesekali, beliau menyelit lawak jenakanya. 'Pandai juga ya, rupa-rupanya... buat lawak' Kata hati saya sambil mata merenung skrin layar putih yang besar itu.
Sepatutnya, Puan Sharifah Abu Salem merupakan penceramah yang ke 2. Di atas sebab-sebab tertentu, beliau tidak dapat hadir. Mujurlah Puan Sri Diah sanggup 'melayan' kami sehingga ke petang.
Alhamdulilah... sekali lagi sinopsis saya diangkat sebagai sinopsis terbaik pada hari itu. Senyum lebar dan puas saya. Di dalam hati, banyak lagi yang kena saya buktikan kepada semua. Ini satu permulaan dan pengiktirafan daripada ketua editor Alaf 21. Terima kasih Puan Rubiah dan Puan Lis.
Tentu anda semua tidak sabar-sabar untuk mendengar apakah yang dikongsi oleh Puan Sri Diah pada hari itu. Maaf, semuanya tiada di sini! Jika anda mahu, sila pergi ke bengkel! Keras, bukan? Itulah realitinya... usahalah dan carilah ilmu itu.

Friday, July 9, 2010

World Cup 2010

Inilah bola Jabulani yang digunapakai di dalam perlawanan bola sepak dunia pada tahun 2010. Bola yang diperbuat daripada mesin ini menggantikan bola jahitan tangan.
Esok, perlawanan akhir bola sepak dunia ini akan berlangsung. Setiap mata penduduk dunia akan ternanti-nanti siapakah yang akan menjulang piala World Cup 2010. Adakah Belanda atau Sepanyol?
Kehebatan pemain-pemain yang memakai jersi 9 atau 10 daripada setiap pasukan ternama tidak begitu menyerlah kali ini. Baik Cristiano Ronaldo, Rooney, Missie atau Torres, mereka dahagakan gol!
Apapun keputusannya esok, dunia telah menyaksikan negara yang tidak ternama di dalam arena ini, bangkit dan menyerlah! Saya cuma berharap agar sotong gergasi yang bernama Paul itu akan membuat keputusan silap di dalam ramalannya esok hari!

Wednesday, June 30, 2010

Mari Membaca Beramai-ramai

Bertempat di Taman Tasik Shah Alam, Selangor, satu acara mambaca buku beramai-ramai telah selamat dilangsungkan pada 26 Jun 2010. Saya bersama anak perempuan yang kedua telah meluangkan masa untuk menghadirkan diri ke acara tersebut.
Kami bertolak dari rumah sekitar jam 8.oo pagi dengan berkenderaan ke Subang Jaya. Dari situ, kami telah mengambil komuter untuk ke Shah Alam. Setelah membayar RM3.00 untuk laluan pergi-balik, gerabak yang di khaskan untuk wanita sahaja menjadi pilihan kami pagi itu. Ada juga kelibat tubuh 'asing' di dalam gerabak itu. Tebal sungguh muka mereka, ya! Fikir saya berkali-kali sambil melayan soalan-soalan daripada anak ke dua saya. Dari komuter Shah Alam, kami mengambil teksi untuk ke taman tasik itu.
Keadaan di sekitar taman tasik memang sesak. Banyak laluan telah ditutup. Nasib baiklah, saya tidak membawa kenderaan ke situ. Jika tidak, saya terpaksa meletakkan kenderaan tersebut agak jauh dari tempat acara berlangsung.
Setibanya kami di kaunter yang berwarna ungu, kami diberi beberapa botol air mineral, nasi goreng dan juga majalah Asuh. Saya yang telah mengjangkakan perkara sebegini, telah membawa satu beg khas untuk diisikan dengan 'buah tangan' dari pesta tersebut. Senyum lebar anak saya ketika menerima majalah Asuh!
Terdapat juga sebuah lori Vico yang sedia menunggu ribuan pengunjung untuk merasai kelazatan secawan minuman bercoklat. Memang sedap sungguh! Berkali-kali saya beratur walaupun saya sedar kebanyakkan dari peminatnya jauh lebih muda dari saya.
Di sinilah, saya berkenalan dengan sahabat Baca@Lrt, Baca@Komuter dan sebagainya. Saya bersyukur kerana diterima di dalam kelompok yang sudah berpengaruh dan terkenal. Prinsip saya hanya satu. Saya bersama dan bukan mencari musuh!
Siren dibunyikan dan mulalah, kami membaca. Saya rasakan kanak-kanak lebih akur tentang masa. Selepas 20 minit, kami yang lebih dewasa mulalah seperti cacing kepanasan! Apapun, acara hari itu sungguh istimewa.
Angin dari tasik yang bertiup lembut membuaikan sesiapa yang hadir. Acara yang positif sebegini sepatutnya disokong dan dimantapkan lagi.
Tahniah diucapkan kepada pihak penganjur kerana telah berjaya mengumpulkan lebih dari 14,000 orang untuk dimasukkan ke dalam 'Malaysian Books Of Record'. Tahniah juga, pada yang hadir.
Marilah kita membudayakan membaca dan untuk itu... tahun hadapan, jangan lupa saya, ya!

Thursday, June 24, 2010

Sambutan Hari Lahirku

Tiada yang cukup indah dan bahagia, jika dikelilingi oleh orang-orang yang bermakna di dalam hati kita. Begitulah juga saya!
Baru-baru ini, satu sambutan yang cukup sederhana telah diadakan pada 16 Jun 2010 di Kuala Perlis. Sambutan itu diadakan sempena hari lahir saya yang mengjangkau lebih dari 30 tahun!
Kami bertolak dari kampung halaman sekitar jam 5 petang sesudah bersolat Asar. Melalui Lebuhraya Utara Selatan dan kemudiannya membelok masuk ke Lebuhraya Sintok-UUM dengan niat menuju ke Kuala Perlis.
Di sepanjang perjalanan, hujan yang sangat lebat turun disertai dengan kabus yang sangat tebal. Pemandangan yang tertutup dek hujan itu, menyekat penglihatan dari menikmati panorama sawah padi di sekitar Arau, Bukit Papan dan Titi Serong.
Restoran yang berada di tepian pantai dan berdekatan dengan Hotel Barasmana, menjadi pelengkap sambutan ini. Sambutan ini turut juga disertai dengan bonda tersayang dan juga kekanda saya. Tidak tergambar perasaan di ketika itu kerana setelah sekian kalinya, barulah dapat menyambutnya dengan orang yang pernah melahirkan saya suatu ketika dahulu!
Lewat petang itu dengan berlaukan Ikan Gerok Bakar, Kerang Bakar, Sotong Celup Tepung, Tomyam Campur, Sup Sayur, Ketam Goreng Bercili berserta ulam-ulaman melengkapkan hari saya! Penuh dua meja dibuatnya!
Cukup puas hati melihat bonda menjamah ikan bakar kerana beliau tidak sihat baru-baru ini.
Jika anda berkeinginan untuk ke sini, anda boleh mengambil jalan menghala ke Kuala Perlis. Jalan yang bersebelahan dengan laut ini memang cukup indah panoramanya. Deretan kedai-kedai makan yang banyak pasti tidak terpilih buat anda yang hadir ke daerah itu.
Kami senantiasa menjadikan kawasan ini 'lawatan wajib' jika pulang ke kampung halaman. Hayatilah keindahannya sebelum tempat ini dimusnahkan dek pembangunan.

Wednesday, June 23, 2010

Pesta Buku Selangor 2010

Pesta Buku Selangor bakal diadakan pada 25 Jun 2010 sehingga 4 Julai 2010. Pesta kali ini diserikan lagi dengan acara membaca beramai-ramai di taman tasik berdekatan dengan bangunan PKNS. Acara ini akan termaktub di dalam Malaysian Book Of Records. Dijangkakan kehadiran lebih dari 10,000 orang pada hari Sabtu, 26 Jun 2010.
Pada sesiapa yang ingin turut serta pada 26 Jun 2010, anda dikehendaki berada di taman itu seawal jam 8 pagi. Pesta ini akan dirasmikan oleh Sultan Selangor dan kehadiran baginda akan memeriahkan lagi acara tersebut.
Saya akan turut serta pada hari tersebut. Saya ingin menyaksikan kemeriahan yang julung-julung kali pernah diadakan. Pastikan anda membawa bersama sebuah buku dan bacalah.
Carilah ilmu ketika hayat masih dikandung badan dan salah satu darinya dengan... membaca!

Sunday, June 13, 2010

Prince Of Persia

Hari ini berkesempatan membawa kedua anak perempuan saya menonton filem aksi iaitu Prince Of Persia di Wangsa Walk. Filem ini adalah di dalam agenda saya setelah menyaksikan iklannya ketika menonton Alice In Wonderland beberapa bulan lepas.
Saya terpukau dengan daya imiginasinya yang tinggi dan juga pemandangannya yang luar biasa indah. Seakan kembali ke dunia lampau, saya telah tenggelam bersamanya. Ini dikuatkan lagi dengan kehadiran lelaki gagah dan cukup sempurna, Putera Dastan. Seketika, bagaikan saya yang melakonkan watak Puteri Tamina!
Jika perpisahan benar-benar berlaku di antara Putera Dastan dan Puteri Tamina, kemungkinan besar penonton akan pulang dengan perasaan hampa. Namun, cerita ini melahirkan saat 'happy ending' di pengakhirannya.
Pasti, semua penonton tersenyum lebar akan itu!
Saya katakan di sini, saya cukup berpuas hati kerana dihidangkan dengan suatu cerita luar dari kotak imiginasi manusia.
Saya pasti tidak akan menolak untuk menontonnya buat kali ke dua!
Sememangnya saya mengimpikan seseorang yang berwatakan seperti Putera Dastan di dalam hidup ini. Baru dunia kita aman, bukan?!

Thursday, June 10, 2010

Bengkel Penulisan Alaf 21 Pada 22hb Mei 2010

Bertempat di Maktab Kerjasama Malaysia pada 22hb Mei 2010, satu bengkel penulisan yang dianjurkan oleh Alaf 21 telah berjaya dilunaskan. Dengan kehadiran lebih dari 20 orang peminat di dalam bidang penulisan, bengkel ini telah membuka mata tentang karya dan penerbitan amnya.
Bengkel tersebut telah diserikan lagi dengan dua orang penulis ternama Puan Norzailina Nordin dan Puan Anis Ayuni. Siapa tidak kenal mereka berdua? Mereka gagah di dalam bidang penulisan ini!
Saya tidak akan lupa hari Sabtu itu. Hari yang penuh dengan dugaan dan ranjau perjalanan. Hari yang diharapkan berjalan lancar, tiba-tiba ALLAH mengubah haluan mengikut caraNYA. Saya akur!
Pagi itu, suami terpaksa ke Jakarta kerana tugas manakala anak sulung saya mengikuti lawatan sambil belajar ke Melaka. Terpaksalah saya menumpang belas kasihan, dua orang anak saya di rumah sepupu mereka di Rawang.
Dari Ulu Kelang, saya mengambil Jalan Duke untuk ke Jalan Duta seterusnya ke Rawang. Kemudian, saya terpaksa berpatah balik untuk ke Maktab Kerjasama Petaling Jaya dengan melalui lebuhraya Sprint. Saya terpaksa membuat u-turn berdekatan dengan Bangunan Avon kerana terlepas pandang Bangun Wilmax di sebelah kiri jalan. Di dalam hati berkocak gelora kerana lagi 10 minit mencecah jam 9 pagi. Janji, Asnidar! Itulah perkataan bermain di fikiran saya ketika itu.
Alhamdulilah... saya sempat tiba tepat pada masanya.
Saya memilih tempat duduk di barisan belakang dengan harapan tiada orang akan menyedari kehadiran saya. Nyata saya salah!
Bengkel penulisan dimulai dengan Puan Ayuni menceritakan pengalaman beliau sebagai seorang penulis. Manakala, sebelah petang diserikan dengan Puan Norzailina pula.
Mereka berdua telah banyak membuka mata saya tentang penulisan. Sesuatu karya itu perlukan pengorbanan masa. Kerajinanlah yang akan menentukan siapa anda di masa hadapan sebenarnya. Bakat sahaja tidak mencukupi jika anda malas. Itulah, intipati yang saya perolehi dari kedua penulis tersohor ini.
Saya cukup bertuah hari itu kerana turut diumumkan antara 9 sinopsis terbaik. Bukan hadiah yang saya inginkan tetapi penyuntik semangat buat meneruskan perjalanan yang panjang ini.
Akhir kata, ucapan terima kasih buat Alaf 21, Puan Ayuni, Puan Norzailina dan khas buat Zam Ilyana Ahamad sekeluarga.
Dari lubuk jiwa yang paling dalam... dan sesuci air di kali, tidakkan mampu melahirkan kata-kata terima kasih buat anda semua!

Sunday, June 6, 2010

Bercuti Di Bagan Lalang, Sepang

Bagan Lalang, Sepang adalah satu daerah yang terpencil di negeri Selangor. Jika anda berhajat ke sini, anda akan melalui litar Formula 1 Sepang dan barisan ladang-ladang kelapa sawit yang menganjur hampir di sepanjang jalan ke Bagan Lalang.
Penduduk di sini kebanyakkannya dari bangsa cina dan melayu yang mengusahakan ladang kelapa sawit, ladang buah naga dan juga nenas. Jika anda ke sini, anda pasti melihat gerai-gerai menjual buah naga di kiri dan kanan jalan. Jika anda bernasib baik, anda akan menemui longgokkan buah durian di sepanjang jalan ke sini.
Saya dan keluarga memilih destinasi Bagan Lalang sebagai tempat percutian kami pada cuti penggal kali ini. Ini adalah kali pertama kami ke sini.
Tempat yang masih belum terusik oleh pencemaran dan arus kemodenan, memberi kepuasan kepada kami yang selalunya dihidangkan oleh bangunan-bangunan pencakar langit.
Kami tiba di Hotel Seri Malaysia Bagan Lalang lebih kurang jam 2 petang pada hari Sabtu, 5hb Jun 2010. Hotel yang sangat sederhana ini dilengkapi dengan kemudahan WiFi dan sungguh tenang dari sudut pandangan saya.
Sejurus meletakkan beg-beg pakaian di bilik bernombor 110, anak-anak sudah berteriak untuk ke kolam renang. Mereka teruja apabila mendengar sorakan yang datangnya dari kolam yang sangat hampir dengan bilik kami.
Seronok melihat kesemua anak-anak bermain air kolam yang kebiru-biruan itu. Sesekali, sebagai ibu risau juga dengan keselamatan anak-anak saya. Di mana-mana sahaja ada bahayanya, bukan?
Selepas itu, kami menapak untuk ke pantai yang letaknya lebih kurang 200 meter dari tempat persinggahan kami. Di sepanjang perjalanan ke pantai, saya melihat ada beberapa khemah-khemah kecil didirikan oleh orang perseorangan. Terfikir juga, sekali sekala apa salahnya mencuba cara ini pula!
Pantai yang menganjur luas itu, memang ramai dengan pengunjungnya. Keluasannya menyebabkan pergerakan kami tidak terbatas. Pelbagai acara dilakukan di pantai ketika itu. Ada yang bermain layang-layang. Ada yang membina rumah pasir. Ada juga yang mencari kepah dengan menggunakan cangkul kecil. Pendek kata apa sahaja tujuan dan acara petang itu memang cukup membahagiakan kerana cuacanya seakan berpihak kepada kami.
Ketika itu, air laut sedang surut dan kami berkesempatan berjalan jauh dari pantai. Terdapat pengunjung yang berani mati, berada kira-kira 300 meter dari pantai!
Setelah penat dan puas bermain air, kami mencari restoran makanan laut lewat petang itu. Pilihan saya sudah tentulah restoran terapung yang menganjur ke laut. Kami memilih Restoran ART dengan menu Kepah Berlada, Kerang Bakar, Otak-Otak dan sebagainya.
Lihatlah gambar di sebelah ini, bukankah menceritakan segala-galanya?
Memang nyaman petang itu. Kurniaan ALLAH pada saya dan keluarga untuk menghayati keindahan ciptaanNYA di samping menjamu selera. Angin laut yang bertiup lembut masuk ke restoran itu dengan bertemankan deruan ombak yang menghempas ke gigian pantai mengusik hati saya...
Sesekali terdengar bunyi dari bot-bot nelayan yang keluar mencari rezeki lewat petang itu.
Sebelum pulang, kami mengambil beberapa minit untuk menghayati keindahan Matahari terbenam di ufuk Barat. Cahayanya yang indah memberi seribu ketenangan buat jiwa saya.
Tiada seindah di Bagan Lalang dan alamilah sendiri kehebatannya!

Monday, May 24, 2010

Inilah Dunia Saya

Saya boleh dihubungi menerusi laman facebook atas nama : Asnidar Shafie SiMerpati Putih dan 'fan page' : Asnidar-Rosne-Hazel...Inilah Dunia Kami
Selamat menjelajah ke dunia Merpati Putih!

Syukur III

Saya telah mendapat 'feedback' dari seseorang yang amat berpengalaman di dalam dunia seni. Kata beliau, tulisan saya baik dan ada jati diri. Sekarang, saya sedang menyiapkan '2nd draft' dan insya-ALLAH akan siap pada 1 jun 2010.
Dalam pada itu, saya sedang sibuk menyiapkan 'perjalanan' yang seterusnya untuk dikongsikan kepada anda semua. Saya akan persembahkan yang terbaik...dan terpulanglah pada ALLAH untuk menilainya.
Mudah-mudahan ia memberi impak yang besar pada yang sudi ' singgah'!

Thursday, May 20, 2010

Syukur II...

Sudah hampir seminggu saya tidak menulis di blog ini. Mungkin disebabkan hati yang tidak tenang memikirkan bonda yang tidak sihat dan dimasukkan ke hospital Jitra baru-baru ini. Alhamdulilah, khabarnya beliau sudah keluar dari sana semalam.
Bonda senantiasa di dalam doa saya...dan mudah-mudahan beliau di bawah lindungan dariNYA. Amin.
Terima kasih pada rakan-rakan Facebook yang senantiasa memberi sokongan dan doa buat bonda. Hanya DIA sahaja yang mampu membalas budi anda itu.

Wednesday, May 12, 2010

Hari lahir ayahandaku...

Hari ini adalah hari lahir ayahanda. Jika dia panjang umur, tentu umurnya sudah mencecah 75 tahun sekarang. Al-Fatihah buat rohnya...

Tuesday, May 11, 2010

Inilah permulaaan saya. Arwah ayahanda Hj Shafie bin Jaafar dan bonda Siti Minah binti Nayan.
Selamat hari ibu buat bonda saya yang sudah mengjangkau lebih dari 60 tahun. Saya doakan bonda sihat dan senantiasa dirahmatinya. Saya perlukan semangat dia di sepanjang perjalanan ini.
Selamat hari ibu dan pengorbanan seorang ibu tiada galang gantinya!

Friday, May 7, 2010

Syukur...

Alhamdulilah, syukur...semalam telah diumumkan pemenang pesta pantun anjuran PBAKL 2010 di mana saya salah seorang dari 5 orang pemenangnya. Terima kasih kepada pihak penganjur kerana memberi peluang pada saya untuk mengasah bakat ini. Juga pada teman-teman facebook yang mengucapkan tahniah...andalah semangat saya!.
Alhamdulilah, syukur...saya telah selesai menyiapkan tugasan saya lebih awal dari jangkaan. Semoga semua lapisan masyarakat akan menyambut baik kedatangannya.amin.

Monday, May 3, 2010

Bacalah...

Alangkah bertuahnya jika kita dilahirkan berseni. Berseni bagi saya bermaksud, kita berupaya mengolahkan sesuatu itu dari jiwa yang paling dalam. Dari tempat yang tidak terfikir dek akal.
Bagaimana, jika anda tidak mempunyai seni. Bagaimana untuk menjiwai dan menjadi seperti orang-orang yang berseni.
Bacalah sebanyak mana yang anda mampu! Bacalah bila ada masa terluang! Bacalah apa sahaja! Kerana dengan membaca kita telah berada di dunia yang berbeza, merentasi masa dan sempadan dunia. Tiada terbatas pemikiran kita.
Sekarang, pegang satu buku dan mulalah membaca!

Thursday, April 29, 2010

Sandarkan Pada DIA!

Tepat jam 12:46 pagi, pada 29/4/2010 dengan rasminya sempurnalah tugasan saya yang pertama. Pengalaman berharga ini akan saya jadikan pemangkin untuk terus berjuang dan berjuang.
Segalanya masih baru dan banyak lagi yang belum sempurna. Tidak seperti puisi atau menulis di blog, 'perjalanan' ini penuh misteri dan amat payah untuk didaki! Namun begitu, sesuatu itu tidak mustahil jika kita sandarkan semuanya pada Allah. Pada DIA!
Untuk dua minggu seterusnya, saya akan jadikan 'perjalanan' ini sempurna dan saya harus akur yang SEMPURNA hanyalah ALLAH!

Saturday, April 24, 2010

Hijau

Hijau merumpun bumi bertuah tiada tandus tiada bernanah...
Hijau bumi merdeka lahir dari sarat keringat yang membakar tulang-tulang rapuh...
Hijau bumi kita pusaka bertuah megah membaja bunga dan buahnya...
Akukah hijau yang dikau cari dari lorong2 sepi, tatkala mimpi menjengok dan bertukar ngeri...?
Akukah yang dikau kata hijau membukit yang menggunung langitnya...?
Akulah merdeka pusara dari tanah asing yang tandus...
Jika aku kau kata HIJAU...kenapa mereka kau agungkan?

Inilah Saya Hakikatnya...

Setiap kali kita digertak, adakah kita akan lari dari etika dan prinsip hidup? Setiap kali kita dikatakan salah atas sesuatu yang tidak kita lakukan, adakah kita akan mengiakan? Adakah kita akan membelakangkan prinsip dan jati diri hanya kerana hendak memuaskan hati sesetengah pihak?
Saya katakan: Setiap dari kita ada prinsip. Berbekalkan prinsip itulah, kita melangkah jauh dan matang bersamanya. Saya sama sekali tidak akan mengikut telunjuk orang ke jalan yang salah. Lebih baik diam dan tidak campur...sikap berpura-pura bukanlah saya!

Thursday, April 22, 2010

Aku, Laut Dan Ombak

Laut mengingatkan aku tentang DIA.
Laut juga mengingatkan aku tentang kedamaian dan ketenangan. Warna-warna hidup lahir dari laut.
Ombak mengingatkan aku yang hidup ada pasang dan surutnya. Ombak akan datang dan pergi tanpa di pinta. Sesekali dia menghempas dan melanda di persisiran pantai. Ombak jua akan mengganas dan melanda bagaikan tiada sempadan.
Bagaimana datangnya dia...kita pasti rindukan laut dan ombak.

Monday, April 19, 2010

Sejenak Di Bandaraya Singapura

Pada awal pagi 17hb April 2010, saya dan keluarga telah bersiap sedia untuk ke Singapura. Kami bersarapan nasi lemak, beberapa keping kuih dan secawan dua kopi panas pada sekitar jam 6.30 pagi di Hotel M-Suites. Sejurus kemudian, kami bertolak ke sana dengan menaiki bas persiaran berwarna hijau.
Anak-anaklah yang paling seronok dan teruja kerana mereka akan menaiki bas ketika berada di Singapura.
Ketika di sana, kami telah diberi penerangan oleh Encik Hari Rosli. Beliau amat bersemangat menceritakan perihal Singapura dan secara tidak langsung memperkenalkan Singapura kepada saya, khasnya. Saya memang dahagakan informasi tentang Singapura.Seakan cawan kosong yang disikan air...begitulah saya pada ketika itu.
Bas yang dinaiki kami melalui Woodland, kawasan Raffles, Jalan Orchard dan sehinggalah ke kem tentera Singapura sebelum tiba di Pulau Sentosa.
Keadaan di Pulau Sentosa panas dan kering. Sebahagian dari pulaunya masih belum siap sepenuhnya. Dari jauh kami dapat melihat kota Disneyland, Roller Coster dan beberapa buah bangunan yang masih di dalam pembinaan lagi. Dengan menaiki bas Sentosa, kami ke '3D cinema', 'Sentosa Cable Car', 'Sky fly', 'Faces Of Singapore' dan lain-lain lagi.
Selepas itu, kami bergerak ke Geylang untuk makan tengahari dan membeli belah. Oleh kerana masa yang amat terhad, kami hanya dapat mencuci mata di Geylang sebelum meneruskan perjalanan ke Masjid Sultan. Di sepanjang perjalanan ke Masjid Sultan, kami melalui pelabuhan Singapura, makam Temenggong Johor dan pelbagai bentuk bangunan-bangunan mewah.Kami juga di bawa merentasi sungai Singapura yang di bina khas sebagai bekalan air bersih bagi bandaraya itu.
Setibanya di Masjid Sultan, kami membeli sedikit cederamata sebagai tanda kenangan untuk diri sendiri. Kira-kira jam 6.00 petang kami bertolak keluar dari bandaraya ini. Penat dan letih jelas terbayang dari setiap wajah-wajah rakan taulan yang turut serta ke situ.
Saya nyatakan di sini, tidak tergambar oleh saya betapa dalamnya pengalaman ini dan tidak termampu saya luahkan satu persatu. Segala memori akan terpahat di lubuk jiwa yang paling dalam.
Kami tinggalkan Singapura dengan satu impian...
(Dalam gambar di sebelah kanan-Encik Hari Rosli bersama keluarga penulis)

Friday, April 16, 2010

Bercuti Di Johor Bahru

Kami bertolak seawal jam 7.30 pagi untuk ke Johor Bahru. Berbekalkan tea tarik dan beberapa keping karipap panas, suami bertolak menyusuri jalan raya yang agak sesak dengan kenderaan bermotor.
Lebih kurang jam 10.00 pagi, kami berhenti di Restoran Jejantas Air Keroh untuk bersarapan. Kami telah memilih Restoran A&W sebagai pilihan kami pagi tadi. Cuaca amat baik di sepanjang perjalanan kami. Permandangan di kiri kanan lebuh raya menghala ke Johor Bahru seperti biasa dipenuhi dengan pokok-pokok kelapa sawit. Ada pokok kelapa sawit yang sudah mati dan ada juga yang masih di dalam proses tanaman semula.
Saya lebih tertarik dengan nama sebuah tempat di Johor iaitu Sedenak. Bagaimana Sedenak mendapat namanya? Saya harap orang Johor boleh bantu saya!
Tepat jam 1 tengahari kami tiba di bandar Johor Bahru. Berpusing-pusing juga kami mencari jalan ke hotel M-Suites, tempat penginapan kami di sepanjang percutian ini. Nasib baiklah ada bantuan penunjuk arah dari telefon bimbit suami.
Sebelum tiba di hotel tersebut, suami menunaikan sembahyang jumaat di Masjid Sultan Abu Bakar. Masjid ini terletak di puncak bukit berhadapan dengan Selat Tebrau. Sesudah itu, kami singgah makan tengahari di Mc Donald yang terletak di Jalan Kuning. Saya sempat membeli beberapa ketul roti dari kedai roti Lavender dan Auntie Anne's di situ.
Selepas mendaftar di kaunter khas di lobi M-Suites, kami di beri kunci bernombor 330. Saya sungguh terpegun kerana bilik ini cukup luas dan selesa. Jika dilihat dari jalan raya, hotel ini seakan tidak bermaya dan agak kusam tetapi tidak biliknya!Keseluruhan perabutnya diperbuat dari kayu jati. Baik dari kabinetnya sehinggalah ke bilik tidurnya. Sebagai peminat kayu
jati, saya sungguh teruja!(Gambar)



Permandangan dari bilik amat menyenangkan saya. Dikanannya terletak sebuah kolam yang berwarna kebiru-biruan. Manakala di hadapan bilik ini, Selat Tebrau terbentang luas. Lihatlah sendiri gambar-gambar yang di ambil suami sebelum hujan lebat meratah dan menutup pandangan kami(Gambar).
Sebelum makan malam, kami sempat ke Danga Bay untuk melepas rindu setelah 5 tahun tidak ke sana.
Anak2 semua sudah dibuai mimpi...dan saya doakan semoga ini merupakan kenangan terindah buat mereka.

Wednesday, April 14, 2010

Gempa Bumi Vs Pilihanraya Hulu Selangor

Hari ini saya dikejutkan dengan ramalan gempa bumi yang bermagnitud 6.9 di China. Semenjak kejadian gempa bumi di Chile, kita dikejutkan dengan ratusan gempa bumi yang bertali arus.
Apabila gempa bumi berlaku, kita akan berdepan dengan kehilangan. Suami akan kehilangan isteri. Anak akan terpisah dari ibunya. Kekasih akan meratapi kematian orang yang dicintainya. Malah, mereka akan hilang tempat berteduh!
Bumi seakan memberi kita amaran bahawa dia sudah lama. Dia sudah tua. Kiri dan kanannya sudah lemah. Dia semakin tidak berdaya.
Lain pula halnya di Hulu Selangor. Satu pilihanraya bakal diadakan pada 24hb April 2010. Pasti kemeriahan akan dapat kita rasai apabila poster-poster dan bendera-bendera dari parti-parti yang bertanding, megah berdiri di segenap penjuru Hulu Selangor. Semakin dekat dengan hari penamaan calon pada 16hb April 2010 dan 17hb April 2010, maka semakin riuh semangat dapat kita baca di laman-laman 'facebook', blogger, suratkhabar dan sebagainya.
Sesiapapun wakil yang diangkat dan dipilih oleh rakyat, itu adalah kuasa muktamad. Selamilah hati penduduk di kawasan yang terbabit, berilah apa yang mereka mahu dan bukan apa yang kita mahu!
Baik gempa bumi atau pilihanraya ini, keduanya mampu memberi impak kepada ruang litup dan keadaan di sekeliling mereka...
Dapatkah anda rasai 'gegaran'nya?

Sunday, April 11, 2010

Sakit Kepala...dia datang lagi!

Sakit kepala telah sebati dan sinonim dengan diri saya. Kadang2 pencetus sakit kepala atau migrain ini datangnya dari panas atau permakanan yang tidak seimbang.
Saya pernah terbaring 2 hari di dalam bilik tidur kerana sakit kepala. Siang atau malam, bagi saya sama sahaja. Oleh kerana itu, terlakarlah sebuah puisi yang bertajuk DIA DATANG.
Puisi DIA DATANG menceritakan perihal sakit kepala saya pada ketika itu. Sahabat boleh membaca puisi ini, diruangan puisi.

Saturday, April 10, 2010

Benar Benar Luhur...

Semalam telah berlangsungnya pameran kedua solo Dato' A Samad Said atau lebih dikenali sebagai Pak Samad di Balai Seni Lukis Negara. Sebanyak 105 buah lukisan yang menggunakan lakaran2 pen dan warna telah dipamerkan. Tarikh 9hb April 2010 telah dipilih kerana hari tersebut juga merupakan ulang tahun beliau yang ke 75 tahun.
Saya bersama kedua anak perempuan saya telah meluangkan masa untuk melihat karya2 beliau dari dekat lagi.
KATA LUHUR adalah tema pameran pada malam itu. Ia mengadaptasikan warna merah dan hitam. Pameran ini berlangsung sehingga 10hb Mei 2010. Menurut kata Pak Samad, merah melambangkan matahari dan hitam pula kegelapan.
Sekitar jam 8.15 malam, saya dan anak2 mengambil tempat di hadapan pentas utama yang keseluruhannya berwarna merah. Saya juga ditemani sahabat saya, Rosne yang memakai baju kurung moden berwarna biru.
Majlis ini dirasmikan oleh seniman yang juga sahabat Pak Samad, Dato' Syed Jamal. Celotehnya amat menghiburkan walaupun agak panjang ucapannya. Saya dapat rasakan bagaimana sebak, pilu dan hibanya beliau ketika merasmikan pameran tersebut. Mungkin kerana teringat segala jerit perit beliau dan Pak Samad dari Singapura ke Malaysia.

Pameran KATA LUHUR mempamerkan lukisan kebanyakkannya dilakarkan dalam warna merah dan hitam. Saya tertarik pada karya Pak Samad yang menggunakan pen dan kertas dari setiap hotel yang pernah beliau lawati. Begitu luhurnya lakaran tersebut yang menggambarkan perasaan beliau ketika bermalam di situ. Hati beliau di ketika dan saat itu dapat diselami menerusi lakaran yang tidak sekata dan sekata.
Satu kepuasan bagi saya kerana dapat berada di ruang litup di mana karya-karya seni dipersembahkan. Saya pasti kembali ke situ lagi...saya BENAR BENAR LUHUR!

Monday, April 5, 2010

Bercuti Di Balok

Balok Seaview Resort & Summer Camp adalah tempat percutian saya dan keluarga kali ini.
Setelah selesai hari keluarga PPZ di Bandar Tasik Selatan, kami bergegas ke Balok. Perjalanan kami mengambil masa lebih kurang 4 jam sebelum sampai di Balok jam 6 petang.

Setibanya kami di sini, kami dikejutkan dengan tempat yang cukup sederhana dan menenangkan. Kami menginap di bilik bernombor 17 yang terletak berhadapan dengan sebuah kolam ikan dan kolam renang. Melihat dari air kolamnya, saya kurang pasti apakah ikan mampu hidup di dalam kolam tersebut.
Sebaik sahaja meletakkan beg-beg pakaian, anak-anak sudah menjerit mahu ke kolam. Saya lebih suka duduk di beranda sambil berfb. Memang nyaman di situ kerana angin dari laut bertiup masuk ke kawasan peranginannya.

Selepas solat maghrib, kami makan malam di kafe yang terletak beberapa langkah dari bilik penginapan. Makanan malam itu berunsur BBQ. Memang banyak sungguh hidangan malam itu.

Ada sotong, udang, ayam, kambing dan juga kerang rebus. Saya makan banyak malam itu...makanannya memang sedap!
Saya mengambil kerang rebus dan mencicahnya dengan sambal kicap yang telah dicampurkan dengan bawang dan cili padi. Berselera sungguh saya malam itu!

Keesokkannya, seawal jam 7 pagi suami telah ke pantai Balok. Dia memang suka dengan suasana pagi yang nyaman. Lihatlah hasilnya! Walaupun dari kamera yang biasa-biasa sahaja mampu menceritakan pagi di Balok.
Ketika itu, anak-anak masih dibuai mimpi. Hujan lebat malam sebelumnya telah membuat mereka tidur seakan tongkang pecah di atas katil. Pada permulaannya, mereka tidak dapat melelapkan mata kerana mendengar bunyi2an dari si kodok, sang cengkerik dan unggas rimba. Akhirnya, mereka rebah kerana menyahut panggilan jiwa.

Pagi itu, kami bersarapan nasi lemak dan sambal ikan bilis berserta air kopi. Setelah selesai bersarapan, pertandingan mewarna telah diadakan tepat jam 8.30 pagi.
Ketika anak-anak sibuk mewarna, saya sekali lagi mengambil peluang ini berfb. Saya sempat melihat ibubapa lebih teruja dan bersungguh-sungguh seakan mereka yang bertanding!
Saksikanlah, si jantung hati saya mewarna (gambar)! Saya pun tidak pasti apalah yang dibuatnya. Agaknya dia pun ingin menambah perisa pada pertandingan ini. Yang pastinya, dia hanya mampu bertahan dalam 10 minit sahaja, sebelum merenget-renget minta di dukung.


Sejurus kemudian, pertandingan 'telematch' telah diadakan berhampiran dengan kawasan pantai. Panas terik hari itu tidak menghalang kesemua ahli-ahli keluarga dari mengambil bahagian. Mujurlah, ada sebatang pokok berdekatan dengan pagar biru buat kami, si puteri lilin(gambar).
Pelbagai acara telah diatur oleh suami dan rakan-rakannya. Ada acara lari sambil memegang bola pingpong di dalam sudu, acara belon, bowling pantai dan juga acara merebut gula-gula.
Hah, tengok tu si jantung hati saya! Dia pun sibuk hendak mengambil bahagian.
Saya hanya menjadi pemerhati bebas dari jauh sahaja. Dari pagar biru, saya dapati kesemua ahli keluarga memberi sokongan luar biasa kepada setiap acara yang dipertandingkan.
Tengahari di Balok.
Sekali lagi kami dihidangkan dengan pelbagai jenis lauk pauk. Antaranya adalah ayam masak merah, sup tulang, masak lemak nangka, kepah berlada dan segala jenis ulam ulaman. Saya dapati ada 4 jenis sambal, buah2an dan juga berjenis-jenis air minuman. Sekali lagi saya makan bertambah!
Selesai makan tengahari, acara memberi hadiah diadakan. Sekali lagi, kedua anak2 saya menang pertandingan mewarna! Walaupun, hadiahnya tidak seberapa, semangat muhibbah yang ditunjukkan oleh setiap ahli keluarga dan rakan-rakan suami amat menyentuh perasaan saya.
Saya PASTI rindukan masakan di Balok. Saya juga rindukan angin lautnya tatkala menerjah masuk ke ruang kafe. Saya juga rindukan irama kodok, cengkerik dan unggas rimba, tika mendodoikan malam saya.
Makananlah yang akan menarik saya ke Balok sekali lagi!