RAKAN2:

Sunday, February 17, 2013

Genting Bukan Sekadar 'Casino'

Mencuba madu lebah.
Honey Bee Farm

Ini bukan kali pertama saya dan keluarga menghabiskan cuti di Gohtong Jaya, Genting. Jika ada masa, kami suka ke daerah ini kerana cuacanya yang dingin.

Kali ini, saya berkesempatan singgah di ladang ternakan lebah. Ladang ini baharu sahaja dibuka pada bulan disember tahun lepas. Ia diusahakan oleh seorang warga negara Jepun. Pada permulaannya, saya tidak bersungguh untuk melawat di sekitarnya. Namun, fikiran saya berubah mengenangkan 'ilmu' yang bakal saya kutip dan bawa pulang bersama.
Serangga yang aktif pada waktu malam.

Untuk pengetahuan semua, ada bayaran dikenakan dan bukanlah percuma. Kami diringi oleh seorang petugas yang akan menerangkan dengan lebih terperinci apa yang terdapat di kawasan itu. Informasi yang diterima sangat berguna. Baik saya mahupun anak-anak sangat teruja dengan apa yang dilihat, didengar dan dinikmati.

Saya berpeluang juga melihat beribu spesies rama-rama yang sangat cantik dan berwarna-warni. Maha Suci Allah yang kuasanya melebihi dari segala-galanya.
SubhanaAllah, indahnya.

Proses pembelajaran dan ilmu bukan hanyalah boleh didapati dalam buku, majalah atau laman sesawang sahaja... Jika ada masa, belajarlah untuk merasai dan melihat sendiri. Ia lebih bernilai dan kita lebih menggunakan akal untuk lebih berfikir...

Wednesday, February 13, 2013

FAREEDA - Butik Dalam Taman

ALLAH berfirman, "Masuklah kamu ke dalamnya dengan selamat sejahtera serta beroleh aman." Surah al-Hijr:46
 
Butik Berwajah Baharu
Sudah lama, saya tidak berkunjung ke butik FAREEDA di Permatang Pauh. Kali terakhir saya ke sini pada November 2011. Itupun, lebih dari setahun yang lalu. Seringkali, ada sahaja yang menghalang untuk saya kembali ke butik ini sehinggalah... saya terdengar berita tentang butik yang telah berwajah baharu. Hati... semakin berkobar-kobar untuk melihat sendiri perubahan itu.

Bersempena cuti perayaan Tahun Baru Cina yang lalu, saya dan keluarga mengambil peluang ini untuk singgah sebentar ke butik ini. Tidaklah sesukar mana untuk mencari dan mengenal pasti kedudukan butik berjenama hebat ini. Selepas sahaja, kami melewati tol Juru dari arah utara (Alor Setar), kami mengambil susur keluar Seberang Perai. Dari sini, perjalanan hanyalah memakan masa lebih kurang 15 minit sahaja.

(Rujuk peta di sebelah)



Dahulu
Jika sebelum ini, gambaran sebegini akan 'menyambut' kedatangan pengunjung, pelanggan dan juga penggemar tudung FAREEDA. Kini, tidak lagi. Hampir separuh dari kawasan ini telah bertukar! Pemilik beruntung kerana mempunyai tapak rumah yang sangat luas dan juga 'in house designer' nya sendiri. Apa sahaja boleh dilaksanakan tanpa memerlukan kos tambahan. :)
Untuk pengetahuan semua, inilah rumah asal yang 'melahirkan' seorang usahawan wanita yang cekal, Puan Faridah Zakaria.

Dari kejauhan, saya dapat lihat 'billboard' yang cukup besar lagi gagah seakan... menggamit sesiapa sahaja untuk singgah ke butik ini. Gambar Duta FAREEDA dengan paten tudung eksklusif memukau mereka yang melewati kawasan ini. Saya percaya, baik dari yang mudanya hingga yang berumur akan terpesona memandang gambar yang tertera pada sepasang papan ini. :)

Oh! Ya! 'Billboard' ini didatangkan dengan sistem jadual berautomatik. Maksudnya, anda boleh mengetahui jika butik ini beroperasi ataupun tidak pada hari itu. Disertakan juga, pemberitahuan masa untuk kesenangan pelanggan. Menarik, bukan?

Konsep 'Butik Dalam Taman' yang cuba diketengahkan oleh pemilik ini dapat dilihat dari rimbunan-rimbunan hijau yang menghiasi kawasan luar butik. Pokok-pokok palma dan tumbuhan mudah dijaga, menjadi hiasan hampir keseluruhan ruang di sini.

Walaupun kawasan ini belum siap sepenuhnya, ia sudah menarik permerhatian saya semenjak awal lagi. Saya begitu terpukau dengan sekeping potret yang terpapar pada dinding butik. Gambar pemenang model pertama FAREEDA menghiasi sudut ini. Padanan rona biru dan dinding berkotak coklat menjadikan ia tempat yang harus anda 'abadikan' ketika berkunjung ke sini.


Suatu sudut yang anda tidak harus lepas pandang adalah pada sisi dinding ini. Saya dan suami memuji tindakan pemilik bijak menggunakan ruang untuk mempromosi paten tudung yang pernah dan masih mendapat tempat di hati pembeli.

Deretan  keladi yang segar tidak berupaya mengalihkan pandangan saya dari menatap gambar-gambar model jelita menggayakan tudung pelbagai warna. 
 
  
 
Sistem bernombor ada juga dijalankan oleh butik ini. Ada suatu kawasan yang dikhaskan untuk pelanggan bagi menanti giliran mereka. Saya yakin, sistem ini dilaksanakan untuk kebaikan semua. Ia untuk mengelakkan asakkan, perebutan dan juga perkara-perkara yang tidak diingini dari berlaku.

Bak kata pepatah, 'cegah lebih baik dari mengubatinya'.

 
Bahagian hadapan butik pun menerima transformasi yang sama. Hampir keseluruhan dindingnya berkaca dan dihiasi dengan gambar-gambar dari paten terbaharu. Secara tidak langsung, pelanggan akan lebih maklum akan apa yang ditawarkan pada musim itu.

Sudah tentulah, FAREEDA Sara tersenarai sebagai paparan terkini dan menjadi pilihan koleksi penggemar tegar.

Saya juga begitu teruja apabila melihat hampir keseluruhan kekemasan dalaman butik bertemakan kayu. Ia menjadikan butik ini 'ada kelas' dan sangat istimewa di mata pengunjung. Bahan binaan ini diterapkan dari sisi dinding sehinggalah ke bahagian siling. Ditambahkan lagi dengan simbahan cahaya dari sepasang chandelier, nyata ia menjadi penyeri dan impak dalaman yang luas.
Gambar ini saya ambil sebagai kenang-kenangan dan juga buat tatapan pembaca di blog. FAREEDA Zaynab adalah koleksi tudung labuh yang boleh anda beli dan dapati di mana-mana butik FAREEDA. Ia sebagai bukti, jenama ini ada mengeluarkan saiz tudung labuh. Jika anda perhatikan di belakang saya, ada pelbagai warna dari koleksi ini.
 
Anda boleh datang dan cuba sendiri di sini. Kata orang, tak kenal maka tak cinta... Bila dah cinta, tidur malam... mengigau-ngigau. :)
 
Saya amat berterima kasih kepada pemilik FAREEDA, Puan Faridah dan keluarga kerana mengalu-alukan kedatangan kami tempoh hari. Jenama ini semakin dekat di hati kami...
 
Pembaharuan sebegini amatlah cocok dengan keadaan semasa FAREEDA yang semakin berkembang dan mendapat tempat di hati peminatnya. Kepada mereka yang masih belum singgah di butik ini, silalah berbuat demikian.

Anda tidak akan tahu, apa yang bakal menanti di sana!


 

Tuesday, February 12, 2013

My Piza, O La La!


Bercuti memang seronok! Parahnya... nafsu kita akan terbuka seluas-luasnya apabila tiba bab makanan. Entah kenapa, perkara ini sering terjadi kepada saya... Anda?
Sebenarnya, saya telah senaraikan makanan yang saya akan jamah apabila tiba di kampung. Namun, perancangan ALLAH lain pula...

Ya. Cerita ini berkisar tentang gambar di sebelah. Piza, bukan makanan ruji Malaysia. :)

Sebetulnya, piza ini saya perolehi di suatu kawasan yang bernama Bertam, Kepala Batas, Pulau Pinang. Kedai piza ini diusahakan oleh seorang rakan suami yang bernama Abang Zul. Saya pun tidak mengjangkakan akan berjumpa dengan beliau dan pizanya... Hehehehe...
 
Keunikan piza ini terletak pada sos, roti dan juga harganya. Memandangkan ia diusahakan di kawasan luar bandar, harga yang ditawarkan amat berpatutan. Hinggakan... saya dan suami berkali-kali bertanya akan hal ini.
~Rujuk gambar di sebelah.
Menurut cerita Abang Zul, sos yang dipalitkan pada piza ini adalah resipi keluarga. Oh! Patutlah... saya 'mengadap' piza ini tanpa henti. :D Sangat sedap!

Abang Zul dan isterinya  telah mengusahakan kedai mereka setahun yang lalu. Kebanyakkan permintaan piza ini datangnya daripada pelajar kolej yang tinggal berdekatan dan juga mereka yang pernah mencuba piza ini. Tambah Abang Zul lagi, sekali cuba... pasti terpikat.

Mereka yang berdekatan dengan kawasan ini, bolehlah menelefon Abang Zul dan mendapatkan pizanya. Beliau akan menghantarnya terus ke rumah anda tanpa apa-apa cas.
Eh! Biar benar?

Namun begitu, Abang Zul akan juga melayan permintaan mereka yang berada di luar kawasan Bertam sekiranya, oder mereka melebihi 10 keping piza. Jika tidak, mereka haruslah mengambilnya sendiri di kedainya.

Abang Zul pernah  juga menerima tempahan 30 keping piza dari sebuah sekolah di sekitar Sungai Petani. Beliau bercadang untuk mengembangkan pizanya dengan lebih meluas lagi.
 
Terima kasih kepada Abang Zul kerana melayan kami dengan pizanya yang... O la la! Telefon sekarang untuk sekeping piza yang panas, lembut dan... sangat sedap!
 

Monday, February 4, 2013

Saya Dapat ILHAM!

Pesta Buku Karangkraf 2013
1hb Feb Hingga 3 Feb, 2013.
Bertempat Di Gedung Buku, Karangkraf.

Tiga hari saya berkampung di booth ILHAM. Sebuah portal 'online' yang ditubuhkan buat mereka yang suka berkarya. Tiada batas dalam corak dan cara anda melempiaskan bakat dalam bidang penulisan. Ini tempatnya!

Jika tahun lepas, saya memeriahkan booth Merah Cinta Kita, kali ini saya menggunakan pengalaman untuk menarik penggemar novel ke sini. Memandangkan tiada novel atau novelist sebagai tarikan utama, kami berpeluang juga menyampaikan kelebihan portal ini kepada sebilangan pengunjung. 

Portal yang baharu sahaja dua bulan ditubuhkan ini, pasti akan diwar-warkan secara meluas oleh Karangkraf, sedikit masa lagi. Saya percaya!
 
Saya kongsikan beberapa gambar yang saya kira anda boleh agak siapa mereka. Wajah mereka kerap terpampang di dada akhbar. :) 

Ada satu persamaan di antara mereka; Sikap merendah diri!

Saya amat berterima kasih kepada mereka yang sudi singgah dan mendengar celoteh saya. Saya tinggalkan anda semua dengan, sesuatu dari jiwa...

Di dalam apa tugas sekalipun, sikap berkerjasama itu penting dan akan meletakkan siapa kita di kemudian hari. Jika kita bergerak secara berkumpulan, janganlah mementingkan diri sendiri dan cuba meletakkan kita diketengah daripada orang lain. Saya yakin, masa itu akan datang dengan sendirinya jika kita lakukan kerana ALLAH Taala. Bukankah itu kerja DIA?

Jom kita cari ILHAM! :D