RAKAN2:

Thursday, March 29, 2012

Terima Kasih Daun Keladi!

Saya menerima hadiah daripada Puan Stella, KOSMO pada 25/3/2012
**Tajaan jubah, ALLafia Butik, Trengganu.**
Dikesempatan ini, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Puan Faridah, pengasas jenama Fareeda dan seluruh warga kerja Fareeda Scarf di atas hadiah-hadiah yang diberikan. Saya jangkakan satu tetapi... dua kategori dinamakan saya sebagai penerimanya. Alhamdulilah. Syukur.
Saya menerimanya dengan hati yang terbuka untuk kategori Tertinggi Facebook Fareeda 2012 dan kategori Pemenang Model Kreatif Fareeda 2012.
Di dalam sesuatu masa, saya suka usahakan untuk memuaskan hati sendiri sebelum memuaskan hati pihak yang lain. Itulah matlamat saya setiap kali diberi peluang untuk mencuba bakat dalam apa bidang sekalipun. Hadiah adalah pemangkin dan ia bukanlah penyebab utama. Imbuhan sebegini akan mengingatkan saya untuk memberikan sesuatu yang lebih baik pada masa akan datang. InsyaAllah...

*Untuk rekod, saya adalah pemenang bagi Kategori Tertinggi Facebook Fareeda no 2 2011.

Tuesday, March 27, 2012

Juara Fareeda 2012 Milik...?

Dua hari saya berkampung di SACC Mall bagi menghadiri upacara yang dinanti-nantikan oleh peminat Fareeda khasnya. Siapakah juara seterusnya yang akan bersama dengan Azalia dan Suhaili. Nah, sudah terjawab akhirnya... ia milik seorang pelajar dari USM... Adik Noor Aqilah Nadhirah Mohd Yazif.
Tahniah dik dan semua yang berjaya. Mereka sememangnya cantik dengan busana dan lagi terserlah dengan tudung Fareeda!
KOSMO- 27/3/2012
KOSMO yang bertindak sebagai surat khabar yang selalu mengiklankan tudung Fareeda telah juga memberitakan perkara ini di dalam akhbarnya semalam dan juga hari ini.
Wah, hati saya berbunga apabila gambar saya turut juga dimuatkan pada ruangan bawah hari ini! Walaupun gambar ini kecil tetapi ia amat bermakna kepada saya.
Terima kasih Fareeda dan KOSMO!
Jom kita setia bersama Fareeda dan juga... KOSMO! ;)

Monday, March 19, 2012

Kak Ngah Dah 8 Tahunlah!

Kak Ngah bersama kek hari lahirnya pada 18/3/2012
Agak lewat juga kami meraikan majlis hari lahir Asma' atau lebih dikenali sebagai Kak Ngah yang ke 8 tahun pada tahun ini. Ini disebabkan, kami menghadiri majlis perkahwinan anak saudara saya di Cheras.
Kali ini, Kak Ngah secara peribadinya memilih Restoran Bambu sebagai tempat untuk memotong kek berwarna merah jambu.
Saya harap dia cukup berpuas hati dengan kek hari lahirnya tahun ini. Saya perhatikan anak patung yang dilekatkan di atas kek tersebut cukup comel. Sehinggakan... anak lelaki saya cuba menarik ia keluar dari kedudukannnya di situ.
"Adik, patung tu tak boleh makanlah!"
Kak Ngah berteriak setiap kali Ahmad cuba menarik rambut patung tersebut. Mujurlah, saya sempat mengawal keadaan. Jika tidak...
"Kak Ngah jangan lupa simpan patung tu buat kenang-kenangan... comel kan ia." Saya mencelah.
Kak Ngah mengangguk perlahan...
Sehingga catatan ini ditulis, anak patung itu masih tegap berdiri di dalam kek tersebut. Saya menanti bilalah ia akan terbalik... Hehehehe

9 Berbalas 7!

Hai semua!
Alhamdulilah, saya berupaya juga untuk menulis kembali pada ruangan ini. Apabila mengenangkan kegatalan yang menyerang pada kulit di badan, saya tidak boleh fokus untuk meneruskan kerja-kerja saya. Ia sememangnya menguji tahap kesabaran ini.
Pada hujung minggu yang lepas, saya dan keluarga menghadiri majlis akad nikah anak saudara di Cheras. Majlis pertunangannya berlangsung kira-kira sebulan yang lalu dan pada malam sabtu telah dilangsungkan majlis ini. Majlis yang serba sederhana ini dihadiri sanak saudara terdekat dari sebelah Johor dan Cheras.

Kami sabar menanti upacara akad nikah selesai pada 17 Mac 2012. Kira-kira jam 9.30 malam, termaktublah... Ilham sudah menjadi suami kepada Izzatun Najah. :)
Pengantin muda bertentangan mata.
Macam tak percaya, anak saudara saya ini sudah mendirikan rumah tangga. :)
Tahniah kepada kakak saya kerana sudah mempunyai menantu perempuan. Selepas ini, Najah kena belajar masakan jawalah. Terutamanya... tempe! ;)

Wednesday, March 14, 2012

Badanku Berwarna Merah!

Saya kerap juga mengalami allergi tetapi tidak seteruk dua hari yang lepas.
Ketika itu, saya berada di kampung dan kulit-kulit pada badan saya mulai merah-merah. Bab gatal memang termasuklah di dalam cerita ini. Sangat gatal! Lebih kurang kita terkena campak.


(Dalam gambar- Ubat dari klinik ke 3)

Saya sudah merasa pelik apabila bangun dari tidur kerana tidak boleh membuka kedua belah kelopak mata. Tanpa membuang masa, saya melihat wajah di cermin yang nyatanya mengejutkan saya. Wajah saya membengkak dua kali ganda dan badan saya dijelmai dengan tanda-tanda merah.
Serentak dengan itu, saya tidak dapat bernafas dengan sempurna. Saya sesak! Saya cuba bernafas melalui mulut pula.
"Allah! Allah"
Itu sahaja yang terlintas di minda saya. Mulut pula, tidak berhenti-henti memanggil nama suami. Jika saya tidak diberi peluang Allah untuk meneruskan hidup, biar saya mati di pangkuan bonda dan suami.
Bonda bertindak pantas. Beliau meramas daun sirih yang dicampur dengan sedikit air. Beliau tidak henti-henti membasuh kepala saya dengan air tersebut. Mulutnya juga tidak berhenti dari membaca sesuatu. Kurang jelas pada pendengaran saya.
Akhirnya, nafas saya semakin tersusun. Saya cuba untuk bangun dan berjalan. Namun, saya tidak berupaya melangkah. Kaki saya seakan lembik. Ke kiri kata saya, ke kanan perginya. Saya dipimpin suami untuk ke mana-mana sahaja.

Lebih kurang 30 minit, saya berlawan dengan keupayaan diri sendiri... semangat saya semakin pulih.

Ketika catatan ini ditulis, saya sudah menerima 'jap' dua hari berturut-turut. Menurut kata doktor, penyakit ini akan reda dalam masa seminggu. Doakan kesihatan saya pulih. Amin.

Friday, March 9, 2012

KOSMO- 9/3/2012


Terima kasih kepada puan pengasas, tim Fareeda..Nyata Jelita dan semua yang terlibat secara langsung atau tidak. Jemput hadir ke acara hebat ini pada 24/3 dan 25/3 di SACC Mall, Shah Alam. Saksikan secara langsung saya dan rakan-rakan beraksi di atas pentas utama dalam Pencarian Model Fareeda 2012.
Semoga majlis itu nanti berjalan lancar. Aamiin. Doakan kejayaan saya juga. Aamiin.