RAKAN2:

Monday, July 8, 2013

TRANSFORMASI FAREEDA

Duta FAREEDA menunjukkan contoh
FAREEDA Khadeeja. Sangat laris!
Disebabkan ada hal yang tidak dapat dielakkan, saya datang lewat ke butik ini. Saya dah maklum akan majlis pembukaan butik baharu. Lama juga, saya tidak hadir ke butik ini. Kali terakhir, sebelum satu transformasi besar-besaran ke atas butik ini dijalankan.

Kenapa saya katakan transformasi?

Semenjak saya mengenali jenama tudung ini, penjualan produk tudung ini dijalankan pada satu lot kedai di bahagian atas. Ketika itu, ruangannya tidaklah besar, cukup separuh bahagian untuk jualan dan separuh lagi pusat membuat tudungnya. 

Kemudian, lot ini diperluaskan dengan menganjur ke kanan kedai. Di sinilah, bermulanya, rentak FAREEDA yang tidak pernah putus sehingga ke hari ini. Ada studio kecil, surau, dapur dan juga 'kilang' yang menempatkan puluhan pekerja. Saya kira, walaupun tempat itu agak sempit, FAREEDA berkembang menjadi satu seni yang indah.

Ketika, saya mendengar desas-desus yang butik ini akan diperluaskan untuk memberi keselesaan buat pembeli, saya mengangguk seakan berkata, "Ya, sudah sampai masanya!"

Salah seorang pembeli, Cik Azura memilih
FAREEDA Reben terbaharu!
Selang beberapa hari sebelum Ramadhan 2013, FAREEDA secara rasminya memperkenalkan butik baharu kepada umum. Butik ini memberi fokus jualan pada lot kedai di bahagian bawah, manakala, bahagian atas untuk pembuatan produknya. Nyata, FAREEDA menitik beratkan keutamaan pencahayaan yang cukup dan ruang yang luas, untuk memberi keselesaan dalam memilih buat peminatnya. Ada juga dipamirkan tudung-tudung contoh pada bahagian-bahagian tertentu. Tindakan ini sangat bijak kerana pembeli sudah pasti tertanya-tanya apakah warna dan pilihan yang sedia ada.

Saya sempat bertemu pemilik butik ini dan beliau sangat berpuas hati dengan apa yang dimilikinya sekarang. Menurut beliau lagi, walaupun tudung 'fake' begitu banyak di pasaran, namun permintaan terhadap tudung FAREEDA semakin meninggi. "Mungkin dah rezeki saya, makin orang tiru... makin ALLAH beri lagi ilham dan rezeki. Alhamdulilah..."

Kepada mereka yang belum kenal, apa itu tudung FAREEDA, boleh berkunjung ke butik ini di Bandar Baru Bangi.

Salam daripada Merpati Putih! :)

Monday, June 24, 2013

Tasek Raban Di Sungai Perak


22/6/2013. 2.30 petang.

Resort Tasek Raban terletak berdekatan jalan besar untuk ke Grik. Ia berada kira-kira 10 minit jauhnya dari MRSM Lenggong. Inilah tempat kami berehat dan menghayati keindahan tasik yang berada di kelilingnya, pada hujung minggu lepas.

Memandangkan kawasan ini terletak agak jauh dari bandar, ia menjanjikan suasana yang agak selesa dan sunyi. Tempat ini sangat sesuai buat mereka yang mahu lari dari kebiasaan.

Aktiviti memancing juga dijalankan di sini. Ada beberapa buah bot yang disediakan buat si kaki pancing. Sesekali, saya terdengar bunyi enjin bot merentas tasik yang luas ini. Harganya tidaklah semahal hotel bertaraf lima bintang, namun ia menjanjikan lebih dari apa yang anda sangkakan.

Friday, June 14, 2013

Hati Seorang Ibu

Hostel
Perasaan bersalah itu memang ada, apabila saya tidak mengemaskini status di sini. Ya, lebih kurang tiga bulan. Banyak perkara yang berlaku ketika itu. Sementelaah, anak sulung memasuki alam persekolahan berasrama, saya terjangkit juga. Separuh jiwa saya telah berada bersama dia. Sebulan dua, saya tidak dapat tidur dan berehat... sepanjang masa berfikir tentang keadaan dia. 

Kini, saya boleh menarik nafas... sedikit sahaja. Saya belajar untuk mempercayai dan lepaskan. Hah. Memang berat. Namun, saya gagahkan juga... saya iringi dengan doa, moga kejayaan senantiasa mendampingi anakanda yang seorang ini. Aamiin.

Tuesday, March 19, 2013

DoubleTree By Hilton "Syurga Makanan"


Winners Of Colours Of Sri Lanka Promotion Through Mingguan Wanita. 

Saya merupakan salah seorang pemenang dalam aktiviti Mingguan Wanita di facebook. Hadiah berupa voucher bufet dari DoubleTree By Hilton ini, adalah sangat tepat dan mengena kerana kami boleh meraikan ulang tahun kelahiran anak ke dua di sini.

Ia adalah hotel ternama yang terletak berdekatan dengan KLCC. Saya sama sekali tidak akan melepaskan peluang ini untuk mengenali dengan lebih dekat lagi, hotel yang bertaraf antarabangsa ini. Apa kata, jika saya mulai di Makan Kitchen. Sebuah restoran yang terletak di aras 11 dan menyajikan "Syurga Makanan" bagi semua.

Saat mencuba menu Sri Lanka. Sedap!
Semenjak awal lagi, saya sudah terpesona dengan susun atur dan hiasan di Makan Kitchen. Dekorasi yang tidak melampaui dan dihiasi dengan perabut kayu yang minima, cukup selesa buat pengunjung. Semua sajian pula diletakkan dalam tembikar yang berwarna hijau lumut. Cukup unik!

Bercerita tentang menu... saya boleh sesak nafas! Mana tidaknya, tidak terbilang banyaknya! Ada masakan cina, india, steamboat dan lain-lain. Itu belum termasuk, puding, kuih, kek dan buah-buahan. Jangan lupa, ais kacang dan ais krim pula "Eh, saya belum makan itu lagi!" Bila saya sedar, saya sudah kekenyangan... terlalu! Manakala, mulut pula tidak berupaya untuk dibuka lagi.
Saya kongsikan pencuci mulut yang diletakkan dalam bekas-bekas comel. Dari kiri, moose yang masam-masam sedikit, ceri kuning bersama puding susu yang sangat sedap dan sagu.

Kata anak sulung, "Ibu, juara makan!"

Saya pula beranggapan lain! Kita belum tentu mendapat pengalaman sebegini di masa akan datang. Oleh itu, pergunakan sebaik mungkin saat itu. :D

Dikesempatan ini saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua staf di Makan Kitchen. Mereka sangat ramah dan membuat kami rasa sangat dihargai! Terima kasih juga kepada DoubleTree By Hilton kerana sudi menaja bufet dan bergandingan dengan majalah hebat Mingguan Wanita. 
Chinese Buffet

Saya pernah menunggu berjam lamanya untuk satu hidangan. Apabila saya bandingkan DoubleTree By Hilton dan hotel tersebut... ia seumpama, langit dan bumi!

Seindah namanya, DoubleTree By Hilton nyata "Heavens place on earth!"

Saturday, March 16, 2013

Kelas Masakan Jepun

Chef sedang mengajar.
Kelas Masakan Jepun Bersama Ajinomoto
16/3/2013, 10.30am - 1.00 tengahari
Kari Jepun... lainnya dari kebiasaan.

Hari ini, saya mengutip pengalaman yang baharu.

Cubalah untuk memasak secara berkumpulan dan diawasi oleh chef selebriti terkenal. Sudah pasti ada garam, lada dan cili yang tertinggal. ;)

Saya tidak berfikir lama, untuk mendaftarkan diri ke program yang dianjurkan oleh Ajinomoto ini. Sementelaah ada chef merangkap novelis hebat Kak Ina Nordin, saya harus tidak lepaskan peluang ini. Sebelum ini, saya tidak pernah dapat turut serta dalam kelas masakan Kak Ina di Pesta Karangkraf dek tugas dan jadual yang bertembung pada waktu yang sama. Alhamdulilah... saya berjaya juga untuk melihat chef ini beraksi di depan mata sendiri.
Ini hasilnya!

Ajinomoto selaku penaja utama menyediakan ruang litup yang sangat selesa. Program secara percuma ini dihadiri oleh Umami Members dan juga orang luar. Peserta yang hadir diberi peluang untuk mencuba setiap resipi yang diajar oleh guru masakan. Sebagai orang baharu, saya lebih suka memerhati... :D Saya juga suka suasana positif sebegini dan berharap aktiviti sihat ini tidak berhenti di sini saja. 

Pengalaman ini pasti ada gunanya di kemudian hari!

Sunday, March 10, 2013

Konsert Nusantara Di Istana Budaya

9/3/2013 - 8.30 pm.

Ini kali ke tiga, saya menjejakkan kaki ke Istana Budaya. Tempat yang tidak perlu diperkenalkan lagi menjadi impian semua artis seni untuk melakarkan momen bersejarah di pentas yang bertaraf antarabangsa ini.

Si jelita Jedi kerap menghantar pesanan ringkas setiap kali ada dilangsungkan teater atau apa sahaja berkenaan seni di sini. Ada ketikanya, saya menolak jika ada hal penting. Tidak untuk kali ini!

Konsert Nusantara merupakan acara budaya dan seni dari dua negara, Malaysia dan Indonesia. Karya yang dipersembahkan bukan sekadar nyanyian malahan tarian tradisi dari kedua belah negara. Saya cukup terpegun melihat seni tari yang cukup indah digemalaikan oleh si penari mengikut rentak musik tradisi. Mengiringi persembahan tentulah orkestra di bawah pimpinan Tuan Yazid Zakaria dari Istana Budaya. Turut menambah rencah alunan; irama gamelan, gong, rebana dan juga angklong.

Tuan Yazid Zakaria menerima cenderamata.
Persembahan dimulakan dengan musik orkestra yang berlatar belakangkan paparan harimau malaya dan burung garuda. Warna keemas-emasan dijadikan warna utama lakaran ini. Mungkin, emas memberi erti akan kuasa yang tiada tandingannya.

Ramai artis ternama dari kedua belah negara, diberi peluang untuk menyanyi di persada yang gah ini. Nyanyian dan tarian yang dipersembahkan memberi seribu pengalaman untuk saya mengenal negara tercinta dan jiran di seberang. Sesekali, saya dapat rasakan ada persamaan dalam gerak tari yang dipersembahkan.

Saya sedikit kecewa apabila ada beberapa buah nyanyian yang tidak diringi oleh orkestra di sini. Bunyi-bunyian yang terhasil cukup indah dan kita boleh terasyik dengannya... Mungkin, pihak Istana Budaya ada alasan mereka tersendiri.

Apa-apapun, saya dan keluarga cukup terhibur dan berterima kasih kepada Tuan Yazid Zakaria kerana sudi menjemput kami. Untuk Jedi, "Happy to know you, friend! Thank you"

Tuesday, March 5, 2013

Tanah Ini Pernah Merah!

Saya tidak pernah melalui zaman penjajah. Kebanyakan kisah sejarah ini, diceritakan kembali oleh ayahanda atau bonda. Kerapkali, bonda akan mengingatkan kami, kesusahan pada ketika itu. Ubi kayu sebagai sumber makanan dan gelungan tikar dijadikan alas pakaian.

Apabila pencerobohan berlaku di Lahad Datu, kita seakan terpukul. Tersedar dari lena yang panjang. Saya mengambil peluang ini untuk menceritakan kepada anak-anak apa yang pernah terjadi pada negara tercinta. Saya mahu generasi seterusnya berkorban dan mempertahankan negara dari unsur-unsur sebegini.  

Peringatan datang dalam pelbagai perkara dan usahlah bermimpi lagi!

*Al- fatihah untuk mereka yang gugur kerana mempertahankan negaraku.

Sunday, February 17, 2013

Genting Bukan Sekadar 'Casino'

Mencuba madu lebah.
Honey Bee Farm

Ini bukan kali pertama saya dan keluarga menghabiskan cuti di Gohtong Jaya, Genting. Jika ada masa, kami suka ke daerah ini kerana cuacanya yang dingin.

Kali ini, saya berkesempatan singgah di ladang ternakan lebah. Ladang ini baharu sahaja dibuka pada bulan disember tahun lepas. Ia diusahakan oleh seorang warga negara Jepun. Pada permulaannya, saya tidak bersungguh untuk melawat di sekitarnya. Namun, fikiran saya berubah mengenangkan 'ilmu' yang bakal saya kutip dan bawa pulang bersama.
Serangga yang aktif pada waktu malam.

Untuk pengetahuan semua, ada bayaran dikenakan dan bukanlah percuma. Kami diringi oleh seorang petugas yang akan menerangkan dengan lebih terperinci apa yang terdapat di kawasan itu. Informasi yang diterima sangat berguna. Baik saya mahupun anak-anak sangat teruja dengan apa yang dilihat, didengar dan dinikmati.

Saya berpeluang juga melihat beribu spesies rama-rama yang sangat cantik dan berwarna-warni. Maha Suci Allah yang kuasanya melebihi dari segala-galanya.
SubhanaAllah, indahnya.

Proses pembelajaran dan ilmu bukan hanyalah boleh didapati dalam buku, majalah atau laman sesawang sahaja... Jika ada masa, belajarlah untuk merasai dan melihat sendiri. Ia lebih bernilai dan kita lebih menggunakan akal untuk lebih berfikir...

Wednesday, February 13, 2013

FAREEDA - Butik Dalam Taman

ALLAH berfirman, "Masuklah kamu ke dalamnya dengan selamat sejahtera serta beroleh aman." Surah al-Hijr:46
 
Butik Berwajah Baharu
Sudah lama, saya tidak berkunjung ke butik FAREEDA di Permatang Pauh. Kali terakhir saya ke sini pada November 2011. Itupun, lebih dari setahun yang lalu. Seringkali, ada sahaja yang menghalang untuk saya kembali ke butik ini sehinggalah... saya terdengar berita tentang butik yang telah berwajah baharu. Hati... semakin berkobar-kobar untuk melihat sendiri perubahan itu.

Bersempena cuti perayaan Tahun Baru Cina yang lalu, saya dan keluarga mengambil peluang ini untuk singgah sebentar ke butik ini. Tidaklah sesukar mana untuk mencari dan mengenal pasti kedudukan butik berjenama hebat ini. Selepas sahaja, kami melewati tol Juru dari arah utara (Alor Setar), kami mengambil susur keluar Seberang Perai. Dari sini, perjalanan hanyalah memakan masa lebih kurang 15 minit sahaja.

(Rujuk peta di sebelah)



Dahulu
Jika sebelum ini, gambaran sebegini akan 'menyambut' kedatangan pengunjung, pelanggan dan juga penggemar tudung FAREEDA. Kini, tidak lagi. Hampir separuh dari kawasan ini telah bertukar! Pemilik beruntung kerana mempunyai tapak rumah yang sangat luas dan juga 'in house designer' nya sendiri. Apa sahaja boleh dilaksanakan tanpa memerlukan kos tambahan. :)
Untuk pengetahuan semua, inilah rumah asal yang 'melahirkan' seorang usahawan wanita yang cekal, Puan Faridah Zakaria.

Dari kejauhan, saya dapat lihat 'billboard' yang cukup besar lagi gagah seakan... menggamit sesiapa sahaja untuk singgah ke butik ini. Gambar Duta FAREEDA dengan paten tudung eksklusif memukau mereka yang melewati kawasan ini. Saya percaya, baik dari yang mudanya hingga yang berumur akan terpesona memandang gambar yang tertera pada sepasang papan ini. :)

Oh! Ya! 'Billboard' ini didatangkan dengan sistem jadual berautomatik. Maksudnya, anda boleh mengetahui jika butik ini beroperasi ataupun tidak pada hari itu. Disertakan juga, pemberitahuan masa untuk kesenangan pelanggan. Menarik, bukan?

Konsep 'Butik Dalam Taman' yang cuba diketengahkan oleh pemilik ini dapat dilihat dari rimbunan-rimbunan hijau yang menghiasi kawasan luar butik. Pokok-pokok palma dan tumbuhan mudah dijaga, menjadi hiasan hampir keseluruhan ruang di sini.

Walaupun kawasan ini belum siap sepenuhnya, ia sudah menarik permerhatian saya semenjak awal lagi. Saya begitu terpukau dengan sekeping potret yang terpapar pada dinding butik. Gambar pemenang model pertama FAREEDA menghiasi sudut ini. Padanan rona biru dan dinding berkotak coklat menjadikan ia tempat yang harus anda 'abadikan' ketika berkunjung ke sini.


Suatu sudut yang anda tidak harus lepas pandang adalah pada sisi dinding ini. Saya dan suami memuji tindakan pemilik bijak menggunakan ruang untuk mempromosi paten tudung yang pernah dan masih mendapat tempat di hati pembeli.

Deretan  keladi yang segar tidak berupaya mengalihkan pandangan saya dari menatap gambar-gambar model jelita menggayakan tudung pelbagai warna. 
 
  
 
Sistem bernombor ada juga dijalankan oleh butik ini. Ada suatu kawasan yang dikhaskan untuk pelanggan bagi menanti giliran mereka. Saya yakin, sistem ini dilaksanakan untuk kebaikan semua. Ia untuk mengelakkan asakkan, perebutan dan juga perkara-perkara yang tidak diingini dari berlaku.

Bak kata pepatah, 'cegah lebih baik dari mengubatinya'.

 
Bahagian hadapan butik pun menerima transformasi yang sama. Hampir keseluruhan dindingnya berkaca dan dihiasi dengan gambar-gambar dari paten terbaharu. Secara tidak langsung, pelanggan akan lebih maklum akan apa yang ditawarkan pada musim itu.

Sudah tentulah, FAREEDA Sara tersenarai sebagai paparan terkini dan menjadi pilihan koleksi penggemar tegar.

Saya juga begitu teruja apabila melihat hampir keseluruhan kekemasan dalaman butik bertemakan kayu. Ia menjadikan butik ini 'ada kelas' dan sangat istimewa di mata pengunjung. Bahan binaan ini diterapkan dari sisi dinding sehinggalah ke bahagian siling. Ditambahkan lagi dengan simbahan cahaya dari sepasang chandelier, nyata ia menjadi penyeri dan impak dalaman yang luas.
Gambar ini saya ambil sebagai kenang-kenangan dan juga buat tatapan pembaca di blog. FAREEDA Zaynab adalah koleksi tudung labuh yang boleh anda beli dan dapati di mana-mana butik FAREEDA. Ia sebagai bukti, jenama ini ada mengeluarkan saiz tudung labuh. Jika anda perhatikan di belakang saya, ada pelbagai warna dari koleksi ini.
 
Anda boleh datang dan cuba sendiri di sini. Kata orang, tak kenal maka tak cinta... Bila dah cinta, tidur malam... mengigau-ngigau. :)
 
Saya amat berterima kasih kepada pemilik FAREEDA, Puan Faridah dan keluarga kerana mengalu-alukan kedatangan kami tempoh hari. Jenama ini semakin dekat di hati kami...
 
Pembaharuan sebegini amatlah cocok dengan keadaan semasa FAREEDA yang semakin berkembang dan mendapat tempat di hati peminatnya. Kepada mereka yang masih belum singgah di butik ini, silalah berbuat demikian.

Anda tidak akan tahu, apa yang bakal menanti di sana!


 

Tuesday, February 12, 2013

My Piza, O La La!


Bercuti memang seronok! Parahnya... nafsu kita akan terbuka seluas-luasnya apabila tiba bab makanan. Entah kenapa, perkara ini sering terjadi kepada saya... Anda?
Sebenarnya, saya telah senaraikan makanan yang saya akan jamah apabila tiba di kampung. Namun, perancangan ALLAH lain pula...

Ya. Cerita ini berkisar tentang gambar di sebelah. Piza, bukan makanan ruji Malaysia. :)

Sebetulnya, piza ini saya perolehi di suatu kawasan yang bernama Bertam, Kepala Batas, Pulau Pinang. Kedai piza ini diusahakan oleh seorang rakan suami yang bernama Abang Zul. Saya pun tidak mengjangkakan akan berjumpa dengan beliau dan pizanya... Hehehehe...
 
Keunikan piza ini terletak pada sos, roti dan juga harganya. Memandangkan ia diusahakan di kawasan luar bandar, harga yang ditawarkan amat berpatutan. Hinggakan... saya dan suami berkali-kali bertanya akan hal ini.
~Rujuk gambar di sebelah.
Menurut cerita Abang Zul, sos yang dipalitkan pada piza ini adalah resipi keluarga. Oh! Patutlah... saya 'mengadap' piza ini tanpa henti. :D Sangat sedap!

Abang Zul dan isterinya  telah mengusahakan kedai mereka setahun yang lalu. Kebanyakkan permintaan piza ini datangnya daripada pelajar kolej yang tinggal berdekatan dan juga mereka yang pernah mencuba piza ini. Tambah Abang Zul lagi, sekali cuba... pasti terpikat.

Mereka yang berdekatan dengan kawasan ini, bolehlah menelefon Abang Zul dan mendapatkan pizanya. Beliau akan menghantarnya terus ke rumah anda tanpa apa-apa cas.
Eh! Biar benar?

Namun begitu, Abang Zul akan juga melayan permintaan mereka yang berada di luar kawasan Bertam sekiranya, oder mereka melebihi 10 keping piza. Jika tidak, mereka haruslah mengambilnya sendiri di kedainya.

Abang Zul pernah  juga menerima tempahan 30 keping piza dari sebuah sekolah di sekitar Sungai Petani. Beliau bercadang untuk mengembangkan pizanya dengan lebih meluas lagi.
 
Terima kasih kepada Abang Zul kerana melayan kami dengan pizanya yang... O la la! Telefon sekarang untuk sekeping piza yang panas, lembut dan... sangat sedap!
 

Monday, February 4, 2013

Saya Dapat ILHAM!

Pesta Buku Karangkraf 2013
1hb Feb Hingga 3 Feb, 2013.
Bertempat Di Gedung Buku, Karangkraf.

Tiga hari saya berkampung di booth ILHAM. Sebuah portal 'online' yang ditubuhkan buat mereka yang suka berkarya. Tiada batas dalam corak dan cara anda melempiaskan bakat dalam bidang penulisan. Ini tempatnya!

Jika tahun lepas, saya memeriahkan booth Merah Cinta Kita, kali ini saya menggunakan pengalaman untuk menarik penggemar novel ke sini. Memandangkan tiada novel atau novelist sebagai tarikan utama, kami berpeluang juga menyampaikan kelebihan portal ini kepada sebilangan pengunjung. 

Portal yang baharu sahaja dua bulan ditubuhkan ini, pasti akan diwar-warkan secara meluas oleh Karangkraf, sedikit masa lagi. Saya percaya!
 
Saya kongsikan beberapa gambar yang saya kira anda boleh agak siapa mereka. Wajah mereka kerap terpampang di dada akhbar. :) 

Ada satu persamaan di antara mereka; Sikap merendah diri!

Saya amat berterima kasih kepada mereka yang sudi singgah dan mendengar celoteh saya. Saya tinggalkan anda semua dengan, sesuatu dari jiwa...

Di dalam apa tugas sekalipun, sikap berkerjasama itu penting dan akan meletakkan siapa kita di kemudian hari. Jika kita bergerak secara berkumpulan, janganlah mementingkan diri sendiri dan cuba meletakkan kita diketengah daripada orang lain. Saya yakin, masa itu akan datang dengan sendirinya jika kita lakukan kerana ALLAH Taala. Bukankah itu kerja DIA?

Jom kita cari ILHAM! :D

Tuesday, January 29, 2013

Teaser RAHSIA


Karya RAHSIA
Genre seram/misteri. Remaja.

Kita WAJIB percaya sesuatu yang berlaku itu di atas keizinan ALLAH S.W.T. Ada hikmah yang terkandung dalam setiap perjalanan itu. Ketahuilah apakah misteri yang cuba diungkapkan dalam... RAHSIA.

Klik link di bawah, untuk membacanya.

http://ilham.karangkraf.com/karya-detail.aspx?idk=127&idc=441#.UQdqxPLk9zV

Thursday, January 24, 2013

Rambutan Hitam


Eh! Apa ini? Kasut? Ada apa dengan kasut ini?

Beach Wear
Landak Laut
Sebenarnya, kasut ini dibeli disebabkan Landak Laut. Seekor makhluk Allah yang tinggal di dalam laut atau di tepi-tepi pantai. Tersilap langkah ia akan mencucuk tapak kaki dan berdarah. Sebelum ia mencederakan kaki anak-anak saya, saya telah bersiap dengan 'perisai' ini. Hehehe...