RAKAN2:

Sunday, March 10, 2013

Konsert Nusantara Di Istana Budaya

9/3/2013 - 8.30 pm.

Ini kali ke tiga, saya menjejakkan kaki ke Istana Budaya. Tempat yang tidak perlu diperkenalkan lagi menjadi impian semua artis seni untuk melakarkan momen bersejarah di pentas yang bertaraf antarabangsa ini.

Si jelita Jedi kerap menghantar pesanan ringkas setiap kali ada dilangsungkan teater atau apa sahaja berkenaan seni di sini. Ada ketikanya, saya menolak jika ada hal penting. Tidak untuk kali ini!

Konsert Nusantara merupakan acara budaya dan seni dari dua negara, Malaysia dan Indonesia. Karya yang dipersembahkan bukan sekadar nyanyian malahan tarian tradisi dari kedua belah negara. Saya cukup terpegun melihat seni tari yang cukup indah digemalaikan oleh si penari mengikut rentak musik tradisi. Mengiringi persembahan tentulah orkestra di bawah pimpinan Tuan Yazid Zakaria dari Istana Budaya. Turut menambah rencah alunan; irama gamelan, gong, rebana dan juga angklong.

Tuan Yazid Zakaria menerima cenderamata.
Persembahan dimulakan dengan musik orkestra yang berlatar belakangkan paparan harimau malaya dan burung garuda. Warna keemas-emasan dijadikan warna utama lakaran ini. Mungkin, emas memberi erti akan kuasa yang tiada tandingannya.

Ramai artis ternama dari kedua belah negara, diberi peluang untuk menyanyi di persada yang gah ini. Nyanyian dan tarian yang dipersembahkan memberi seribu pengalaman untuk saya mengenal negara tercinta dan jiran di seberang. Sesekali, saya dapat rasakan ada persamaan dalam gerak tari yang dipersembahkan.

Saya sedikit kecewa apabila ada beberapa buah nyanyian yang tidak diringi oleh orkestra di sini. Bunyi-bunyian yang terhasil cukup indah dan kita boleh terasyik dengannya... Mungkin, pihak Istana Budaya ada alasan mereka tersendiri.

Apa-apapun, saya dan keluarga cukup terhibur dan berterima kasih kepada Tuan Yazid Zakaria kerana sudi menjemput kami. Untuk Jedi, "Happy to know you, friend! Thank you"

No comments:

Post a Comment