RAKAN2:

Tuesday, March 30, 2010

Korban

Pengorbanan ini atas dasar sayang dan kesetiaan. Aku telah berkorban demi sebuah persahabatan. Biarlah diri ini dikorbankan demi sebuah perhubungan. Usah ditanya kenapa aku berkorban dan untuk apa pengorbanan ini.
Demi setitis air mata wanita...aku rela menjadi korbannya!

Sunday, March 28, 2010

SALINA...akhirnya!

Mungkin ada benarnya kata Dr Johari Hamid, anda bertuah!
Novel SALINA, tulisan Dato' A Samad Said amat berharga sekali bagi ayahanda. Saya masih ingat lagi kulit buku itu keras dan kebiru2an. Ketika novel SALINA pergi seketika dari ayahanda, ayahanda sudah resah dan gelisah. Dia sanggup ke kedai buku S.M Osman di Jitra dan membeli novel itu yang baru. Saya lihat novel itu berwarna pink kemerah2an kulitnya. Muka ayahanda sedih dan muram. Dia masih teringatkan novel SALINAnya yang hilang entah ke mana. Nasib menyebelahi ayahanda, apabila novel itu bertemu jodoh dengannya kembali.
Masih saya ingat lagi katanya, selepas ini tiada siapa yang akan mengambil kedua-dua buku itu lagi darinya. Telahan ayahanda benar!
Buku itu masih tidak terusik walaupun dia sudah tiada di dunia ini lagi.
Sehinggalah, kedatangan banjir besar membawa keduanya pergi buat selama-lamanya.
Saya sedih! Saya teramat Sedih!
Saya mencari2 novel SALINA.
Di kedai-kedai buku...tiada!
Di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur...juga tiada!
Sehinggalah...
"Eh, tak kan di sini pun tiada novel SALINA...?" secara tiba-tiba, mulut saya terkumat-kamit dan mata liar mencari sesuatu di celah rak-rak buku di Wisma Sejarah.
Saya terkejut! Saya tergamam! Novel SALINA terdampar dihadapan saya. Dari mana datangnya ia? Di sini bukan tempat novel ini!
Novel SALINA bagaikan dibawa entah dari arah mana. Ia bagaikan sabar menanti dan menunggu kedatangan saya mengambilnya. Ia terbaring keseorangan sahaja. Berkelip-kelip mata saya bagaikan tidak percaya. Saya sudah bertemu novel SALINA!
Saya genggam novel itu rapat ke dada saya. Ketika melangkah keluar dari perpustakaan negara di Wisma Sejarah, saya seakan berkata pada ayahanda "Saya dah jumpa SALINA!"
Tuah sekali lagi menyebelahi saya...
Ya Allah...mudah2an saya senantiasa bertuah dan panjangkanlah tuah ini sehingga berakhirnya hayat saya.amin.

Saturday, March 27, 2010

Dia

Dia menantikan CINTA.
Dia sabar menanti kekasihnya.
Dimanakah kekasihnya?
Siapa tahu? Kita tahu? Mereka tahu? Dia tahu?
Atas sebab cinta, dia masih berdiri teguh.
Atas sebab sayang, cinta masih hadir dihatinya.
Saya lihat hatinya tidak merah lagi.
Ada luka!
Ada nanah!
Ada sepi!
Ada sisa-sisa hampa!
Ada lagu hiba!
Ada serpihan-serpihan luka!
Penuh hiba...
Jika badai semalam...meluluhkan hatinya.
Meragut sepi hatinya.
Membusung bernanah jiwanya dan...
bermandi parut lukanya.
Hari ini, dia masih terluka dan...
seakan terus terluka.
Mengapa mesti diluka, melukai dan terluka...jika ada sayang?

Thursday, March 25, 2010

Seorang Insan Di Banggul Derdap

Mata saya terpaku apabila melihat nama Dato' Shahnon Ahmad tertera pada buku KEMBARA SEORANG HAMBA. (Gambar)
Emosi menyelubungi setiap ruang hati saya ketika bingkisan ini di tulis. Imbasan kembali merewang ke novel2 lama beliau yang menjadi kesayangan ayahanda. Pada ayahanda beliau bukan sekadar novelis, cikgu tetapi juga sahabat!
Saya terkenangkan keadaan beliau di dalam SETITIS EMBUN SEMARAK API. Dengan usia yang mengjangkau hampir 90 tahun, beliau masih gagah menulis dan melakarkan sesuatu. Layaklah kiranya gambar beliau sebaris dengan novelis lain di pamerkan di muzium negara!
Saya soroti semangat beliau! Saya iakan kebenaran beliau! Saya hayati setiap perjuangan beliau! Saya hormati cara beliau!
Sayang...kita jelik akan kata-kata beliau! Kita maki hamun cara beliau! Kita sumpah seranah beliau!
Tahukah kita?
Beliau telah amat berjaya membawa watak sebagai seorang penulis yang berwibawa. Tahukah kita?
Beliau adalah suatu anugerah dari Allah. Selepas ini tiada Dato' Shahnon Ahmad yang kedua atau ketiga. Di waktu itulah kita menyanjung beliau...dimanakah kita sewaktu beliau menyoroti sisa-sisa usianya?
Hari ini, saya sedih...saya sudah terlalu lambat berlari! Saya sepatutnya sudah terbang dahulu lagi!
Gambar lama ayahanda dan beliau menjadi semangat saya. Saya masih dapat melihat senyuman kedua insan yang amat saya sanjungi, seakan berkata...
Teruskan perjuangan dan kebenaran jua yang hakiki!

Wednesday, March 24, 2010

Allah Jua Empunya Cerita

Hari ini, saya dan keluarga bergegas ke Damansara. Kami bertolak seawal jam 7 pagi dan alhamdulilah sampai tepat jam 8.30 pagi di sana.
Dari luar, pejabat imigresen sudah penuh dengan kelibat manusia. Entah jam berapa agaknya mereka berada di sini? Bisik hati saya sambil melangkah masuk dan memilih tempat yang berdekatan dengan televisyen. Bunyi suara dari kotak itu antara dengar atau tidak. Mahu sahaja saya memanjat kerusi hijau dihadapan saya dan membuka siaran yang lebih memberangsangkan jiwa. Saya biarkan hasrat itu terpadam dengan membelek majalah Solusi keluaran terbaru.
"Ibu, sudah jam 9!" kata kak long sambil menunjukkan berita semasa yang terpampar di kaca televisyen.
Saya tercari-cari wajah orang yang ditunggu-tunggu. Kata dia jam 8.30 pagi akan berada di situ.
"Mana dia? Tidak datang lagi...!" rungut saya.
"Baru nak 'breakfast'...kat bawah..." sahut suami saya.
"Lain kali, jangan janji jam 8.30 pagi...orang dari Kajang sudah sampai! Kita yang kat Bukit Antarabangsa pun dah sampai! Dia kan dekat ja? Sungai Buloh..!" Entah kenapa dengan saya hari ini. Merungut tidak habis lagi.
Saya tidak tahu akan ujian yang lebih besar menanti di hadapan.
Saya merenung kembali majalah Solusi dan diam seketika. Hampir ke pukul 9.30 pagi, yang ditunggu pun menjelma. Segala proses di imigresen berjalan lancar sehinggalah...
"Ibu...abah minta kad pengenalan!"
"Kejap."
Saya tercari-cari 'purse' berwarna putih di dalam beg tangan hitam. Saya intai ia di sebelah komputer riba, tiada! Saya cari lagi, tiada juga! MasyaAllah, tertinggal! Bentak hati saya.
Saya mendapatkan suami yang masih lagi berdiri di hadapan kaunter bernombor 6.
"Tertinggal..." kata saya perlahan.
Air mukanya berubah. Dia seakan berkata-kata di dalam hatinya.
Saya hanya merenung wajah dia dengan penuh makna. "Sesuatu yang berlaku itu...adalah atas kehendak DIA jua..." nada saya dalam dan penuh bermakna.
Saya tinggalkan pejabat imigresen dengan perasaan bersalah kerana membiarkan proses 'passport' tergendala kerana saya!
Dikesempatan ini, saya ingin meminta maaf kepada keluarga dan rakan suami yang terbabit. Maaf saya pohon dan kepada Allah, syukur kerana mengingatkan saya...
Saya hambanya yang selalu tercicir dan terlupa...tunjukkan hambaMU ini ke jalan yang benar, Ya Allah!

Monday, March 22, 2010

Grafiti Alice In Wonderland

Apa itu grafiti? Grafiti adalah lukisan yang dicontengkan di tempat-tempat awam atau tembok bangunan. Grafiti yang digambarkan di atas, terukir di tembok berdekatan dengan Carefour Wangsa Maju.
Saya amat bersetuju jika remaja di beri peluang untuk meluahkan karya-karya seni mereka sebegini. Ini membina satu budaya sihat dan memperkembangkan idea serta kreativiti mereka.
Saya cadangkan, grafiti ini diadakan di tembok2 bangunan terpilih di Kuala Lumpur khasnya. Kita beri tema 1Malaysia dan biarkan remaja bebas untuk melakarnya.
Tahniah buat mereka yang terlibat di dalam grafiti Alice In Wonderland ini.
Bukankah telah saya katakan dulu...tidak salah untuk bermimpi!

Sunday, March 21, 2010

A Gift From GOD!

Saya membesar dengan puisinya! Saya membaca buku2 karya beliau ketika berumur 7 tahun lagi! Saya disogok dengan kehebatan beliau oleh ayahanda!

Inilah dia, penulis novel SALINA yang terkenal, Dato' A Samad Said!

Saya sungguh sedih apabila kehilangan buku2 karya beliau. Banjir besar di kampung telah meragut kesemuanya! Saya sedih kerana ayahanda amat menyayangi buku2 itu.

Itulah nyawa ayahanda!

Hari ini, saya telah perolehi nyawa itu kembali!

Saya sungguh bertuah!

Allah telah mengembalikannya kembali...menerusi seorang kawan yang saya gelar dia...

"A Gift From GOD"

Saturday, March 20, 2010

Alice In Wonderland

"Difficult...but not impossible" kata2 Hatter, seorang pembuat topi, kepada Alice.
Hari ini saya berpeluang meluangkan masa bersama keluarga tercinta menonton filem 'Alice In Wonderland' arahan Tim Burton.
Mia memang cemerlang dalam menghidupkan watak Alice manakala watak Hatter yang dipegang oleh Jonny Deep seakan tidak cukup lemak dan manisnya. Saya merasakan jika dikembangkan watak beliau, mungkin jalan cerita ini akan lebih menarik. Seperti biasa, lakonan Helena tidak pernah mengecewakan. Dia diberi peranan melakonkan watak sebagai Red Queen, seorang pemaisuri yang mempunyai kepala besar berbentuk bawang dan berambut kerinting.
Jika anda pernah membaca buku cerita ini, anda mungkin mendapati filem ini seakan mengambil suku atau sebahagian cerita dari karya asal. Walaubagaimanapun, filem ini mempunyai tarikannya yang tersendiri terutama dari segi pengolahan ceritanya. Jika anda suka berimiginasi, inilah filem yang patut anda tonton!
Benarkanlah diri anda sejenak berada di dalam dunia fantasi dan khalayan. Bagi saya, tidak salah bermimpi...mimpilah sesuatu yang indah.
Selamat kembali ke dunia kanak-kanak!

Friday, March 19, 2010

Inilah Keluargaku!

(Dari kiri - Penulis, Ahmad, Asma'(K.Ngah), Humaira'(K.Long) dan Azhan(suami))

Sambutan majlis hari lahir anak saya yang kedua pada 18hb Mac 2010, diadakan di Kelab Tasik Putrajaya. Majlis yang sederhana tetapi cukup indah dan meriah. Mana tidaknya? Ia berlatarbelakangkan Putrajaya yang cukup megah dengan bangunan2nya dan disinari neon2 yang pelbagai warna.
Inilah keluarga saya!

Sebuah keluarga yang dibina dari bibit2 cinta, maka lahirlah generasi yang penuh dengan kasih sayang.

Thursday, March 18, 2010

Selamat Hari Lahir Anakku...Asma'!

Hari ini, 18hb Mac 2010, genaplah dia 6 tahun. Namanya ialah Afrina Asma' Alhannah.
Saya namakan dia, Asma' sempena nama anak Saidina Abu Bakar. Seorang wanita yang berani meredah gurun pasir untuk menghantar makanan buat ayahandanya dan nabi Muhammad S.A.W.
Semoga dia berani seperti wanita itu dan tidak gentar akan segala bahaya demi agama!
Untuk anakanda,
Semoga anakanda senantiasa di bawah rahmatNya. Ibu doakan yang baik-baik untuk anakanda sahaja. Ingat! Jalan anakanda masih panjang...tempuhilah dia dengan sabar dan tenang.
Semoga dipanjangkan umurmu dan dimurahkan rezeki dariNYA...amin
Ketahuilah...IBU SAYANG KAMU!!!

Tuesday, March 16, 2010

PBAKL 2010...Saya Datang!!!

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2010 semakin menghampiri masa dan ketikanya. Peminat2 buku sudah tidak sabar menanti buku apakah yang terbaru di pasaran dan juga melihat dari dekat idola2 mereka.
Bagi saya, pesta buku kali ini telah menandakan detik bermulanya suatu perjalanan. Perjalanan mengubah kelaziman! Kali ini, saya sudah mulai menyibukkan diri dengan menyelami erti pesta buku itu.
Jika dulu, saya tidak gemar ke pesta buku. Mana tidaknya, tangan saya akan ditarik ke sana dan ke mari oleh penjual2 buku.
Kali ini, saya tidak gentar! Saya tidak takut! Suatu semangat yang baru menjelma di dalam diri saya. Semangat yang menggunung! Saya akan merealisasikan sesuatu yang dianggap pelik!
Jika sahabat melihat kelibat saya dicelah2 lautan manusia dan orang2 tertentu, jangan lupa tegur saya,ya! Saya masih Asnidar Shafie yang gemar makan cendol pulut dan cucur udang rangup di Napo, Changloon!

Monday, March 15, 2010

Tahniah! Tahniah! Tahniah!

Tahniah! Tahniah! Tahniah!
Sekalung tahniah buat Dato' Chong Wei dan Dato' Misbun Sidek.
Semalam, menerusi kaca televisyen, saya lihat wajah Dato' Misbun tersenyum puas. Dia boleh mendabik dadanya sekarang. Walaupun dia tidak pernah menjuarai All England tetapi berjaya membawa 2 orang anak didiknya memegang tropi All England.
Saya ingin bertanya padanya, "Adakah dato' terkenangkan arwah Dato Sidek? Saya pasti dia amat berbangga dengan dato'. Saya bangga! Rakyat Malaysia pasti bangga juga!"
Soalan saya buat Dato' Chong Wei, "Seterusnya apa impian dato'?"
Dia pasti menunjukkan pada saya senarai panjang yang sudah menantinya.
Syabas buat mereka! Saya doakan Dato' Chong Wei berjaya mengharungi latihan ala-ala tentera dari sifunya itu.
Peluh lekit yang meleleh di muka Chong Wei semalam, sudah terbayar!

Sunday, March 14, 2010

Semangat Chong Wei

Malam ini tepat jam 9 malam, semua mata rakyat Malaysia akan tertumpu di hadapan televisyen untuk menyaksikan siaran langsung pertandingan akhir All England diantara Chong Wei(Malaysia) dan Kenichi Tago(Jepun).
Layaklah kiranya saya katakan disini, Chong Wei memang patut berada di takhtanya sekarang. Pengorbanan yang dia telah curahkan, tidak mampu kita bayangkan. Dia sanggup ketepikan cinta, keluarga dan masa hanya untuk menjulang nama Malaysia dipersada dunia.
Sahabat bayangkanlah...sewaktu kita nyenyak dibuai mimpi, dia sudah dibahu jalanan berlari atau berjogging. Ketika kita sedang bergelak ketawa bersama keluarga, dia berhempas pulas mengejar bola tangkis di kiri kanan penjuru gelanggang. Adakah kita bersamanya, ketika dia 'jatuh' atau 'terluka' meratapi kekalahannya?
Saya mungkin tidak segagahnya untuk berlari. Saya juga tidak mampu menghayunkan badan ke udara dan membalas pukulan lawan setangkasnya.
Saya cuma berharap semangat Chong Wei akan berada di dalam diri saya!
Apa pun keputusannya malam ini Dato' Chong Wei, saya terima. Semoga Dato' senantiasa maju ke hadapan dan tidak dibayangi dengan kemewahan semata2...Chong Wei Boleh!

Saturday, March 13, 2010

Sepetang Bersama Sahabat Lama

Subang Parade telah menyaksikan pertemuan 3 insan yang pernah menjelajah dunia buku di UIA pada 13/3/2010 tepat jam 4:50 petang.
Penulis terpaksa mengharungi kesesakan disebabkan berlangsungnya pameran MATTA di PWTC dan juga kemalangan kecil berdekatan dengan Bukit Aman. Seakan rasa bersalah kerana membiarkan 2 sahabat menunggu lebih 30 minit dari masa yang telah dijanjikan.
Tetapi Allah jua yang menetapkan jodoh kami! Setelah berjumpa kembali di 'facebook' dan bercerita di alam maya, akhirnya pertemuan 3 serangkai termaktup dalam sejarah persahabatan. Laili dari Kluang, Johor, Ana dari Klang manakala penulis dari Ulu Kelang.
Pertemuan 3 pasang mata ini membuktikan 'facebook' bukan hanya sekadar hiburan atau sekadar mengisi masa lapang tetapi boleh dijadikan sumber yang bermanafaat jika kita pandai mengolahkannya!
Penulis ingin mengucapkan terimakasih tidak terhingga pada Ana dan Laili kerana sabar menunggu dan meluangkan masa lapang anda berdua.
Terimakasih kepada Laili juga kerana membelanja kami makan di McD!
(Gambar ihsan dari si manis Ana-Penulis diapit oleh Ana Asyidah (kiri) dan Laili Osman(kanan))

Friday, March 12, 2010

Tahniah Dik Da...

Semalam telah pun di umumkan Sijil Pelajaran Malaysia(SPM). Seramai 7,987 calon SPM mendapat gred cemerlang (A+, A dan/atau A-){Sumber Utusan Malaysia 12/3/2010}
Dikesempatan ini saya ingin mengucapkan setinggi2 tahniah buat Suhada Mohd Sihhab anak kepada kakak saya (Dia ada di dalam cerita naik basikal!) yang mendapat 6A.
Hanya satu peringatan saya buat dia.
Di mana anda bermula tidak penting kerana di mana akhirnya anda lebih penting. Adakah anda akan menjadi sesuatu yang dibanggakan keluarga dan negara atau sebaliknya!

Thursday, March 11, 2010

Cornetto Dan Saya

Semua orang suka aiskrim. Dari budak-budak sampailah ke dewasa. Agak pelik jika seseorang itu berkata," Saya tak suka aiskrim!"
Hari ini, saya menunaikan janji saya untuk membeli aiskrim, Cornetto buat anak-anak saya. Yang sulung dan bongsu tidak memilih sangat, janji aiskrim. Lain pula halnya dengan yang tengah, Kak Ngah. Dia memang pemilih orangnya. Dia hanya akan ambil yang dia suka sahaja.
Teringat saya peristiwa dengan ayahanda berkenaan aiskrim. Setiap petang ayahanda akan membawa saya dan abang membeli aiskrim. Abang akan menerima apa sahaja yang di beli ayahanda. Dia tidak kisah. Janji ada! Saya? Saya akan memilih yang paling besar dan paling mahal. Ayahanda menurut sahaja. Kadang-kadang, ayahanda tidak cukup duit dan terpaksa berhutang dengan tauke kedai aiskrim.
Setibanya kami di rumah, ayahanda memberitahu bonda hal tersebut. Bonda tidak cakap banyak, cuma...
"Dah tahu tak cukup duit, kenapa beli?" tegur bonda.
Ayahanda hanya diam membisu dan saya terus menjilat aiskrim tanpa rasa bersalah.

Wednesday, March 10, 2010

Terimakasih Produksi OASIS

Tepat Dan Berterus-terang!
Itulah beberapa patah perkataan yang membuatkan mata saya terpaku. Tulisan dari muka hadapan buku Tunggu Apa Lagi?, Tuan Nobisha. Idealnya, perkataan itulah yang membentuk saya dari dahulu hingga sekarang.
Dikesempatan ini, saya ingin mengucapkan berbanyak2 terimakasih kepada pihak penerbitan OASIS kerana bakal memberi 2 hadiah buat saya. Apapun bentuk hadiahnya akan saya jadikan pemangkin untuk berjaya.
Saya amat teruja untuk berjumpa dengan pemilik buku ini, Tuan Nobisha di PBKL pada minggu hadapan.
Sekali lagi, terimakasih OASIS! Moga anda berupaya menghilangkan dahaga buat penggemar buku di tanahair tercinta Malaysia khasnya.

Tuesday, March 9, 2010

Perjuangan

Hidup saya untuk berjuang!
Saya akan berjuang untuk sesuatu yang bernilai. Saya tidak akan akur pada suatu permasaalahan. Saya berjuang untuk kehidupan. Perjuangan ini PASTI tidak sia-sia kerana saya telah serahkan segalanya pada Ya Rabbi. Segala kententuanNya saya terima. Saya doakan semoga Dia memberi rahmat dan kejayaan pada saya di setiap perjuangan itu.
Saya mungkin tidak seperti askar, yang menggalas senjata dan beban untuk mempertahankan negara. Tetapi, matlamat kami sama. Kami hidup untuk berjuang! Menegakkan kebenaran! Mempertahankan negara dari dijajah dalam apa cara sekalipun.
Perjuangan ini tidak akan berakhir walaupun berakhirnya saya di dunia ini!

Monday, March 8, 2010

Perjalanan IV

Saya sudah terlambat. Antares telah lama menanti. Saya harus pergi kepadanya. Saya mempunyai impian dan saya harus berusaha ke arah itu...
Selamat tinggal sebuah memori...tinggallah ia menjadi sebahagian lipatan sejarah saya...menuju Antares!

Gigihnya Ayahanda

Tapak tangan ayahanda besar dan kasar. Jika saya pegang tapak tangannya, saya dapat rasakan ada garisan2 halus di kiri kanan tapak tangan itu...
Lihatlah di kiri anda. Inilah penyebab tapak tangan ayahanda kasar dan bergarisan!
Ayahanda terlalu berjasa kepada tanah ini. Anda bayangkanlah, sebanyak 100 lori tanah lebih dipogahnya sendiri. Dia hanya menggunakan kudrat dan cangkul sahaja. Saya lihat sendiri berlonggok2 tanah merah dan juga batu2 kecil disetiap ruang dan ceruk tanah ini. Kata ayahanda, tanah ini asalnya tanah bendang, terpaksalah dasarnya kita letak batu. Kenapalah ayahanda tidak guna alat2 yang lebih canggih? Bisik saya.
Pada suatu malam, saya tersengguk2 diatas anak tangga, saya lihat ayahanda masih dengan kerjanya. Dia akan mengangkut tanah menggunakan kereta sorong. Kemudian, dia membawanya ke suatu sudut dan dirata2kannya menggunakan cangkul. Selepas itu, dia akan menghentak tanah tadi menggunakan kedua kakinya. Jika tanah itu berketul dan besar, ayahanda akan mengetuknya menggunakan belakang cangkul atau penukul besar untuk memecahkannya. Begitulah gigih ayahanda setiap hari, tanpa penat atau jemu.
Kepuasan jelas terpancar diwajahnya, setiap kali dia merenung ke arah jalan ini dari pintu dapur rumah.
Renungan ayahanda penuh bermakna...saya rindu renungan itu!


Akulah Si Tilikum, Ikan Paus Pembunuh-Dengarlah Rintihanku

Akulah Si Tilikum, ikan paus pembunuh. Aku telah membunuh dua jurulatih peribadiku.Mereka menggelar aku pembunuh.Kejamkah aku? Salah aku? Mengapa aku?
Duniaku sudah berubah semenjak mereka meragut aku dari ibubapaku. Ditempat yang segalanya indah buat mereka, tidak pada aku! Aku 'disiksa' disini!
Pernahkah mereka cuba untuk mengerti perasaanku? Dipenjarakan di dalam mahligai buatan manusia! Saban hari aku merintih. Adakah mereka mendengarnya? Jiwaku menangis, adakah mereka cuba damaikannya? Hatiku sebak dan pilu, adakah mereka cuba merawatnya?
Memang benar aku telah menjadi pembunuh. Aku menjadi pembunuh kerana menuntut hak aku.
Aku ingin bebas. Ya bebaskan aku ke laut atau bunuh sahaja diriku!

Sunday, March 7, 2010

Nilai atau Harga

Jika saya katakan, sahabat harus membayar nilai persahabatan yang saya hulurkan?
Tentu sebahagian dari sahabat2 saya akan memandang saya dengan perasaan mencurigakan dan tidak kurang yang mencemuh diri ini. Persahabatan bukan untuk dijual beli! Persahabatan lahir dari hati!
Segalanya benar, saya tidak menyangkalnya!
Untuk itu, saya menurut kata guru seadanya...
Kita terima dengan hati yang ikhlas. Ikutlah perkara yang baik dan doakan dijauhkan dari segala yang buruk. Mintalah pada Tuhan kerana Dia tidak pernah lokek dan mempersoalkan kenapa kita meminta dariNya.

Saturday, March 6, 2010

Wahai ayahanda...

Suatu ketika dahulu, saya pernah membuat ayahanda risau. Ketika itu, saya masih remaja. Kesalahan saya hanyalah tidak memberitahu ayahanda kenapa saya terlewat...
Imbasan itu datang kembali. Ketika rakan2 sibuk makan bertih jagung goreng dan menonton filem Riang Tirana, hati saya gundah. Saya seakan menantikan bilakah wayang ini akan tamat.
Saya lihat ayahanda tunggu diperhentian bas. Setiba saya di rumah, ayahanda mempersoalkan kewibawaan saya. Bagi ayahanda saya pulang cukup lambat, jam 8 malam! Saya mempertahankan kebenaran saya. Saya benar ayahanda, kata saya berkali-kali. Ayahanda tidak percaya.
Ketahuilah ayahanda...anakmu ini adalah insan yang paling setia. Jika benar kata ayahanda, maka benarlah bagi anakanda. Jika ayahanda kata hitam, maka hitamlah bagi anakanda. Nah, bukankah sekarang sudah terbukti!

Sukan Sekolah

Awal pagi ini, Kak Long sudah teruja untuk ke sekolahnya. Mana tidaknya, hari ini bakal diadakan sukantara sekolah.
"Ibu, Kak Long masuk acara lontar peluru!" ceria nada suaranya.
"Lontar peluru?" balas si ibu seakan tidak percaya.
Nostalgia persekolahan kembali berputar di mata saya. Cebisan-cebisan rekod lama kembali bersatu.
Saya masih ingat kenangan 'menawarkan diri' untuk menjadi pembantu ketika acara sukan sekolah. Saya dan rakan2 telah bersetuju apabila mendengar ceramah cikgu bahasa malaysia kami. Bagai dipukau kami ketika itu!
Kami dengan 'rela hati' sanggup berpanas di tengah padang! Kemudian, barulah ada diantara kami sedar betapa 'bijak'nya kami mengiakan sesuatu yang kurang pasti. Memberi senyuman yang paling manis dan muka berkeriut tidak bersetuju ditengah padang!
Sahabat boleh bayangkan, tugas saya? Saya membawa air sirap berpusing2 satu padang. Kenapa?
"Cikgu...nak minum air sirap? Saya tuangkan"

Benar atau Ujian?

Persoalannya membenarkan atau dibenarkan.? Sejauh mana kebenaran? Setiap yang benar, pasti akan terjawab. Ingat apabila kebenaran muncul dan tiba, tiada kuasa yang dapat menghalangnya.
Begitu juga dengan menguji atau diuji. Siapa yang membenarkan? Sejauh mana ujian ini akan berakhir? Ingat jangan menguji persahabatan yang ikhlas. Persahabatan bukan suatu gurauan atau persendaan. Jika tuan sedang menguji...ingat saya adalah ujian dari Allah yang paling besar dan hebat!

Friday, March 5, 2010

Siapa saya?

Saya hanyalah manusia biasa yang ada seribu kelemahan. Tiada apa yang boleh saya berikan kecuali persahabatan yang jujur dan ikhlas. Sebelum menilai diri saya, selami hati dan budi saya. Carilah mutiara yang tertanam didalam diri saya...pasti sahabat akan jumpa nilam yang terbenam didasarnya...
Oleh itu sebelum sahabat membuat ringkasan tentang siapa saya...Sayalah merpati putih yang bermatakan nilam, bersayapkan permata dan berkakikan intan!

Cinta

Saya tidak pernah melakarkan sebarang kisah cinta dan indahnya bercinta di blog ini. Sebagai manusia biasa, saya tidak dapat menidakkan cinta.
Cinta pernah hadir dihati saya. Cinta pernah singgah dan bertakhta walaupun seketika di sanubari ini. Cinta juga pernah membuat saya terluka. Cinta juga pernah melayarkan saya ke alam indah dan penuh bahagia. Cinta menjadikan saya dewasa. Cinta juga menjadikan saya alpa kerana dibuai mimpi2 indah. Cinta juga pernah dahulu membuat saya mengkhianati prinsip hidup. Cinta membuat saya melayang2 di alam nyata. Cinta menjadikan saya lebih bahagia. Cinta semarak dan bertakhta dihati saya. Ketika ini, saya masih dibuai cinta. Saya masih menyintai dan dicintai. Saya cukup bahagia dengan adanya cinta. Saya tahu saya tidak mampu hidup tanpa cinta. Sejauh mana saya dicintai dan menyintai...saya bahagia kerana cinta. Lihatlah mata saya...saya dilamun cinta! Dahulu dan kini, saya telah dicintai dan tidak mungkin saya mengkhianati cinta ini.
Saya Cinta Kamu...suamiku!

Thursday, March 4, 2010

Mari sahabat...

Saya teruja menanti cuti sekolah kali ini...
Mana tidaknya, saya tidak sabar menanti 'Pesta Buku Kuala Lumpur' di PWTC dan juga menghantar anak ke program2 motivasi anjuran NSTP.
Mudah2an anak dapat mempertajamkan ilmu dan senantiasa bersemangat hendaknya.
Saya sudah pasti bersemangat untuk berada di PBKL kerana sesuatu yang menarik menanti saya di sana!...
MARI TERBANG BERSAMA2 SAYA KE PBKL...!


Wednesday, March 3, 2010

Guru

Dari dahulu lagi, saya sayang guru! Saya amat menghormati guru!
Mengikut kata Dr Fadhilah Kamsah, sebelum anak2 sahabat balik dari sekolah suruhlah mereka bersalam-salaman dengan guru, mengucapkan terima kasih dan meminta guru mendoakan kejayaan mereka. Mudah2an dengan berkat Allah, mereka berjaya menjadi seseorang yang berguna di mata masyarakat.
Pada saya pula, dengan mengikut nasihat guru, pasti kita tidak sesat diperjalanan. Jika sahabat menyedari, saya telah menukarkan perkataan 'hamba' kepada 'saya' di dalam blog ini dan juga di 'facebook'.
Kenapa? Saya ikut nasihat guru...!

Lahirnya dari hati

Dunia saya tidak seperti dahulu. Dunia saya semakin sibuk dan berubah. Sesibuk mana sekalipun, blog ini akan cuba saya gilapkan...kesederhanaan itulah tujuan saya. Apa yang penting, pulanglah dengan membawa sesuatu dan tinggalkanlah apa yang tuan rasa...
Terimalah sesuatu yang lahirnya dari hati...

Tuesday, March 2, 2010

Sekadar Renungan

Proses pembelajaran bermula dari bawah. Di dalam proses ini kita akan berjalan, berlari dan belajar mendaki. Untuk berjaya dan sampai ke destinasi, kita haruslah belajar dari orang2 yang telah berjaya. Mereka telah banyak menimba pengalaman dan dugaan disepanjang perjalanan mereka. Alangkah indahnya, jika kita lebihkan mendengar, kurangkan bercakap, banyakkan merenung dan dalamkan pemikiran kita.
Manusia yang bijak ialah bila mana ilmunya dipergunakan bukan untuk suatu masa dan keadaan tetapi untuk selama-lamanya.

Aduhai Anakku

Kecewa? Ya, saya kecewa! Marah? Ya, saya marah!
Saya memang marah dan kecewa dengan keputusan ujian bulanan anak saya. Mana ada manusia yang bisa mendapat keputusan cemerlang dengan mengambil jalan mudah. Esok ujian, hari ini buka buku?
Renunglah anak...
Dr M adalah seorang ulat buku. Beliau membaca banyak buku, bukan satu beratus2 buku sehari! Beliau pernah mentakbir Malaysia dengan berpandukan buku2 rujukan! Jika Dr M membaca, anak bagaimana?
Ketahuilah anakku, cerdik pandai atau cendiakawan semuanya membaca. Hanya dengan membaca sahajalah, dunia dapat di tawan!
Bukalah hati anak dan cintailah buku...kerana buku tidak pernah menipumu!

Sayang Saya Pada Bonda...

Ayahanda seumpama jantung saya, manakala bonda adalah darah saya. Kedua mereka amat penting buat saya. Ketiadaan ayahanda amat dirasai oleh saya. Malah saya merindui ayahanda setiap masa dan ketika. Tiada siapa boleh meragut kenangan pahit atau manis bersama ayahanda dari saya!
Lain pula cerita bonda. Bonda saya pernah dimasukkan ke unit penjagaan rapi di hospital kerajaan. Ketika mendapat berita itu, saya sekeluarga sedang bercuti di Sabah. Sahabat bayangkanlah bagaimana perasaan saya ketika itu!
Luluh jantung saya melihat bonda dibaluti wayar2 kecil. Dikiri kanan bonda pula penuh dengan mesin2 hidup. Pelbagai bentuk, warna dan suara datang dari mesin2 tersebut. Menurut kata doktor, injap ke jantung bonda tersumbat. Pelbagai cadangan saya terima dari sedara mara.
"Sayang saya pada mak...saya tidak suka mak ditebuk, ditampal, dikorek dan uratnya disambung. Biarlah saya terima dia seadanya. Saya terima ujian Allah yang mendatang"
Saya dicemuh kerana itu! Saya tidak sayang bonda! Kata mereka.
Nasib menyebelahi saya, bonda sihat dan mampu kembali seperti biasa...
Mereka boleh berkata apa sahaja pada saya tetapi hanya Allah sahaja yang menilai hambanya, bukan?.

Monday, March 1, 2010

Inilah Ceritaku

Sedar tak sedar, hari ini sudah 1 mac 2010. Seingat saya seakan baru semalam saya dikejutkan dengan fenomena 'facebooking'. Bermula dari ajakan teman2 rapat dan saudara mara sehinggalah terhasilnya blog merpatiputih-asnidar. Walaupun serba kekurangan, saya harap apa yang cuba digarapkan tercapai.
Merenung kembali perjalanan saya sehingga ke saat ini...saya masih ingat lagi berlari ke kedai komputer di kala matahari tegak dikepala bertemankan anak2 saya. Saya tidak tahu penat atau lelah kerana semua yang saya lakukan ikhlas demi persahabatan. Kemudian, saya menanam suatu impian di McD Ampang Park. Suatu impian yang dianggap gila sewaktu itu! Mana tidaknya, masakan surirumah biasa mampu menghasilkan sesuatu yang luar biasa. Saya sahut cabaran itu! Tiba-tiba, jiwa saya diragut, dicarik dan dikoyak-koyakkan. Saya tidak mampu bangun...nasib menyebelahi saya, punyai kekuatan dari kakak2 saya. Merekalah yang mengajar saya akan erti hidup. Serahlah segalanya pada Allah...Allah Maha Kuasa. Ya dengan kekuasaanNya juga...kini saya mampu bangun dan sedang berlari ke ANTARES!!!...