RAKAN2:

Wednesday, March 24, 2010

Allah Jua Empunya Cerita

Hari ini, saya dan keluarga bergegas ke Damansara. Kami bertolak seawal jam 7 pagi dan alhamdulilah sampai tepat jam 8.30 pagi di sana.
Dari luar, pejabat imigresen sudah penuh dengan kelibat manusia. Entah jam berapa agaknya mereka berada di sini? Bisik hati saya sambil melangkah masuk dan memilih tempat yang berdekatan dengan televisyen. Bunyi suara dari kotak itu antara dengar atau tidak. Mahu sahaja saya memanjat kerusi hijau dihadapan saya dan membuka siaran yang lebih memberangsangkan jiwa. Saya biarkan hasrat itu terpadam dengan membelek majalah Solusi keluaran terbaru.
"Ibu, sudah jam 9!" kata kak long sambil menunjukkan berita semasa yang terpampar di kaca televisyen.
Saya tercari-cari wajah orang yang ditunggu-tunggu. Kata dia jam 8.30 pagi akan berada di situ.
"Mana dia? Tidak datang lagi...!" rungut saya.
"Baru nak 'breakfast'...kat bawah..." sahut suami saya.
"Lain kali, jangan janji jam 8.30 pagi...orang dari Kajang sudah sampai! Kita yang kat Bukit Antarabangsa pun dah sampai! Dia kan dekat ja? Sungai Buloh..!" Entah kenapa dengan saya hari ini. Merungut tidak habis lagi.
Saya tidak tahu akan ujian yang lebih besar menanti di hadapan.
Saya merenung kembali majalah Solusi dan diam seketika. Hampir ke pukul 9.30 pagi, yang ditunggu pun menjelma. Segala proses di imigresen berjalan lancar sehinggalah...
"Ibu...abah minta kad pengenalan!"
"Kejap."
Saya tercari-cari 'purse' berwarna putih di dalam beg tangan hitam. Saya intai ia di sebelah komputer riba, tiada! Saya cari lagi, tiada juga! MasyaAllah, tertinggal! Bentak hati saya.
Saya mendapatkan suami yang masih lagi berdiri di hadapan kaunter bernombor 6.
"Tertinggal..." kata saya perlahan.
Air mukanya berubah. Dia seakan berkata-kata di dalam hatinya.
Saya hanya merenung wajah dia dengan penuh makna. "Sesuatu yang berlaku itu...adalah atas kehendak DIA jua..." nada saya dalam dan penuh bermakna.
Saya tinggalkan pejabat imigresen dengan perasaan bersalah kerana membiarkan proses 'passport' tergendala kerana saya!
Dikesempatan ini, saya ingin meminta maaf kepada keluarga dan rakan suami yang terbabit. Maaf saya pohon dan kepada Allah, syukur kerana mengingatkan saya...
Saya hambanya yang selalu tercicir dan terlupa...tunjukkan hambaMU ini ke jalan yang benar, Ya Allah!

No comments:

Post a Comment