RAKAN2:

Sunday, February 28, 2010

Sekadar Pandangan

Pagi ini, saya masih tercari2 idea untuk diletakkan di dalam blog ini. Kali ini saya terpanggil untuk menulis rentetan peristiwa yang menyayat dan mencarik hati rakyat Malaysia.
Kisah tentang Syafiah Humairah Sahari, 3 tahun yang telah pulang ke rahmatullah kerana di dera berterusan. Ketika menulis titipan ini, gambar Syafiah dikafankan di Mingguan Malaysia menjadi inspirasi hamba. Syafiah adalah salah seorang dari ribuan kanak2 yang di dera. Kisahnya telah mendapat tempat di dada2 akhbar Malaysia. Saya yakin masih ada lagi kes penderaan yang tidak diketengahkan melibatkan kanak-kanak khasnya.
Saya masih ingat sewaktu ketika dulu, kesusahan saya melalui proses mengandung dan melahirkan anak2 saya. Saya kerap di masukkan ke hospital. Semua proses ini saya lalui dengan sabar dan sentiasa mendoakan anak yang dikandung cukup sifat dan menjadi orang yang berguna di mata masyarakat. Itu cerita saya.
Kadang2 saya kasihan melihat kawan2 saya berusaha untuk mempunyai seorang zuriat. Mereka tidak jemu berusaha. Namun Allah jua empunya cerita. Mereka pasrah dan berdoa. Saya pasti mereka akan sedih membaca cerita tentang kanak-kanak ini.
Buat ibu,mak,mama,mami,amma,ma...marilah kembalikan naluri keibuan di hati2 anda. Jadikan cerita ini sebagai suatu sempadan. Bagi saya, apalah HEBATNYA MANUSIA ITU JIKA CERITA KEBURUKKANNYA TERPAPAR DI DADA2 AKHBAR!

Sekadar Renungan

Mata saya sudah semakin layu dan seakan memanggil saya untuk menjalankan tanggungjawab saya terhadapnya. Sebelum saya beradu, marilah kita merenung sejenak kejadian2 yang biasa kita dengar tetapi jarang kita peduli.
Kisah2 menyayat hati yang melibatkan kanak2 amnya telah berleluasa di Malaysia khasnya. Peningkatan kes buang bayi dan penderaan telah menjadi2. Apakah yang telah kita lakukan sehingga kita dihukum sebegini rupa? Siapa yang harus disalahkan? Kejadian sebegini, membuat saya terfikir...kepanasan yang melampau dewasa ini memberi petunjuk bahawa lapisan ozon semakin tipis di langit dan juga bahang azab lemparan api neraka dari Allah...

Saturday, February 27, 2010

Penghulu Dan Ayahanda

Dahulu, penghulu amat berpengaruh di kampung2. Jika orang kampung mahu mengadakan kenduri kendara, penghululah yang dijemput dahulu. Apabila ada korban, daging dari bahagian gred A akan diberikan kepada penghulu. Begitu juga ketika hendak memindahkan rumah. Penghulu juga dijadikan tukang rujuk. Hari mana dan bulan mana yang paling baik mengikut kata penghulu.
Ayahanda pernah bercerita tentang penghulu dikampungnya. Sewaktu itu, ayahanda hendak memberitahu penghulu akan kelahiran kakak saya. Dia berbasikal ke rumah penghulu. Kata isteri penghulu, penghulu sedang mandi. Ayahanda menunggu penghulu di luar rumahnya. Dia bertenggek di luar pagar. Segan dengan penghulu, katanya pada saya.
Tiba-tiba, ayahanda ternampak penghulu keluar dari pintu belakang. Dia mengibas2 kainnya dan duduk di beranda rumahnya. Selepas itu, isterinya keluar membawa secawan kopi dan beberapa biji kuih. Dia menghirup kopi tersebut. Setelah itu, penghulu meletakkan beberapa keping rokok daun di atas pehanya. Kemudian, satu persatu rokok daun itu dilurutnya menggunakan kacip sehingga lurus. Lama juga kata ayahanda. Setelah penghulu puas hati, diambilnya tembakau pula. Dia menggelesek tembakau itu sehingga menjadi gumpulan tali2 halus. Penghulu kemudiannya mencantumkan rokok daun bersama tembakau dan digulungnya berhati2. Seterusnya, dia membakar rokok daun itu dan menghisapnya. Ayahanda memerhati penghulu menghembuskan asap rokok keluar dari mulutnya. Kata ayahanda, khusyuk benar penghulu menghisap rokok daun itu. Sesudah itu, dia menghirup kopi tadi kembali.
"Baru sampai ka Aji?" Ayahanda terkejut di sapa penghulu...
"Baru ja..." ringkas dari ayahanda.
"Penghulu, tak sedar ka, ayah sudah tunggu lama?" tanya saya inginkan kepastian. Ayahanda menoleh sambil tersenyum.
Ketika menulis bingkisan ini, saya masih teringat senyum simpul ayahanda itu...

Friday, February 26, 2010

Cerita Nenda...

Bingkisan ini diceritakan oleh nenda saya(bonda ayahanda) sewaktu saya masih kecil.
Menurut nenda, datuk nenda adalah seorang ulamak. Rumahnya berdekatan dengan jalan utama. Dia juga adalah seorang guru al-quran dikampungnya. Setiap hari, ada seorang inggeris akan berulang alik melintasi rumahnya dengan berkereta. Setiap kali, kereta inggeris ini lalu dan pergi, anak2 muridnya akan menderu lari ke jalan utama. Mereka akan menunggu di bahu jalan untuk memerhati kelibat kereta itu. Namun setiap kali mereka cuba, mereka tidak berjaya. Kereta inggeris itu memecut sungguh laju.
Pada suatu hari, datuk nenda telah membaca beberapa potong ayat al-quran. Sesudah itu, dia memasukkan jari telunjuknya ke lidahnya. Seterusnya, dia menggariskan jari itu di atas tikar mengkuangnya.
Masa yang dinanti telah tiba...dari jauh anak2 murid datuk nenda sudah dapat mendengar deruan enjin kereta inggeris. Mereka tidak sabar untuk melihat kereta itu lagi.
Apabila kereta inggeris itu hendak melintasi rumah datuk nenda, tiba-tiba ia rosak dan berhenti! Berduyun2 anak murid datuk nenda mengelilingi kereta itu. Ada yang menggosok2 tayar, ada yang melihat cermin kereta dan tidak kurang juga yang membunyikan hon. Menurut kata nenda, lama juga mereka membelek-belek kereta tersebut.
"Kat sini ada orang alim ka?" tanya orang inggeris itu kepada budak-budak di situ. Mereka mengangguk sambil menudingkan jari ke arah sebuah rumah di atas bukit. Orang inggeris itu pun berjalan ke situ. Dia meminta maaf dan datuk nenda memberi isyarat menyuruh dia pergi.
Kata nenda, dia melihat kereta itu dengan mudahnya dapat dihidupkan.
"Tok...umur tok berapa, masa tu?" tanya saya.
"7 tahun rasanya..." jawab dia sambil tersenyum. Menampakkan dua lesung pipit dikiri-kanan pipinya.

Sifat Muhammad SAW

Sempena Maulidur Rasul kali ini, saya ingin berkongsi petikan di dalam Sirah Dan Riwayat Hidup Nabi Muhammad SAW(Abu Mazaya Al-Hafiz), mukasurat 157...
"Dia tidak pernah menyakitiku sama ada dengan perkataan ataupun perbuatan. Jika aku sakit maka dialah yang mengubatiku, jika aku letih maka ia akan membenarkan aku berehat, jika aku tidak ada (tercicir) maka dia sentiasa menungguku, jika aku tidur dialah yang menjagaku, dan jika aku bercakap dia mendengar dengan penuh perhatian. Dia sangat kasih sayang kepadaku bagaikan sikapnya terhadap saudaranya" kata2 dari Maisarah.

Thursday, February 25, 2010

Maulidur Rasul

Maulidur Rasul datang lagi...tetapi kali ini ruang litup kehidupan hamba berbeza. Saya sudah dikelilingi oleh hamba2 Allah yang sejiwa dan sebahasa dengan saya. Mereka sudah berlari dan hamba baru merangkak...Terasa kecil dunia saya, jika dibandingkan dengan keupayaan mereka.
Mudah2an, berkat Maulidur Rasul kali ini, saya bisa berlari seperti mereka jua.
Justeru itu, marilah perbanyakkan salawat...mudah2an kita mendapat shafaat darinya...InsyaAllah.

Sekadar Pandangan II


Sikap tergopoh gapah atau tergesa-gesa hanya merugikan masa sahaja. Ia mencerminkan siapa kita. Terutama di dalam melaksanakan tanggungjawab atau amanah yang diberikan. Tidak kisahlah jika saudara adalah buruh kasar, peladang, pendidik atau bekerja sendiri. Apabila kita melaksanakan tanggungjawab, pastikan ia diiringi dengan sabar dan ketekunan. Hasilkan sesuatu kerja itu dari hati dan biarlah Allah sahaja yang menghakimnya. Balasan di dunia hanyalah sementara, akhirat jua yang kekal abadi. Cubitlah diri saudara dan tanyalah hati...di mana saudara berada kerana...
Hanya Allah sahaja yang tahu keikhlasan hati hambanya...

Warisan

Sedari kecil minat saya hanyalah pada lukisan. Saya akan melukis apa sahaja dan di mana jua. Minat ini di sokong oleh ayahanda yang sememangnya guru lukisan. Jika kanak2 lain sibuk membeli alat permainan, saya sibuk mengumpul berus2 lukisan. Dari sekecil-kecilnya hinggalah sebesar-besar yang ada.
Jika tuan bertanya, dari mana datangnya bakat yang tidak seberapa ini? Saya rasa dari ayahanda yang gemar berpuitis. Renungkanlah sahabat...Sejarah telah membuktikan Datuk Shahnoon Ahmad, seorang guru bahasa inggeris telah menjadi seorang yang pakar di dalam bidang penulisan kreatif atau sastera. Adakah saya yang tidak berpengalaman dalam bidang sastera akan mengikut jejak langkahnya? Hanya masa yang akan menentukannya...

Wednesday, February 24, 2010

Naik Basikal

Sewaktu di Jeniang, saya sekeluarga tinggal di rumah sewa Pak Lah. Rumah ini terletak di tepi jalan utama. Rumah ini hanyalah deretan rumah2 papan yang sederhana kecil. Paras jalan utama setinggi bumbung rumah hamba.
Saya teringat pengalaman kali pertama menunggang basikal. Minat ini tiba, apabila melihat kawan2 sekampung berlumba2 menunggang basikal. Pada suatu petang, saya terpandang basikal tua ayahanda yang diam di ceruk rumah.
"Kak...ajar cik naik basikal?" pujuk saya pada kakak. Kakak bersetuju. Dia mengajak saya ke tepi jalan raya. Jalan itu seakan bukit jika dipandang dari rumah saya.
"Ok...bila kak cakap 1...2...3...kayuh tau!" pinta kakak dengan bersungguh. Saya mengangguk.
"Kak pegang la..." ujar saya pada kakak. Kakak bersetuju.
"1...2...3"
Saya pun mengayuh basikal menuruni jalan itu. Laju saya kayuh basikal tua itu.
"Yeahhh...dah boleh naik!" teriak saya sambil menoleh ke belakang. Ingatkan kakak ada di belakang, rupa2nya nun jauh di tepi jalan. Saya terkejut dan...Bamm! Bunyi seakan buah nangka busuk luruh ke tanah.
"Apa tu Ma...!" suara ayahanda berteriak dari dalam rumah.
Tergesa2 kakak berlari ke arah saya. Kami pura-pura berlakon, seakan tiada apa yang berlaku.
"Kak janji nak pegang..." kata saya pada kakak. Kakak hanya tersenyum.

Mampukah...

Redup pagi ini...saya teringatkan zaman persekolahan. Saya tidak pernah ke tadika! Saya menjejakkan kaki ke sekolah seusia 5 tahun. Kemudian, saya terpaksa bertukar-tukar sekolah rendah sebanyak 4 kali kerana mengikut ayahanda. Banyak pengalaman yang saya perolehi. Satu persamaan yang amat ketara diantara sekolah2 ini adalah SEMANGAT. Bagaimana saya lihat semangat anak2 kampung berusaha untuk berjaya walaupun kurang asas kemudahan. Saya juga lihat bagaimana gigihnya ayahanda berusaha demi anak didiknya.
Kini, 30 tahun sudah berlalu, saya rasa semuanya sudah berubah. Anak saya mungkin tidak akan melalui pengalaman seperti saya. Diberi kemudahan yang lengkap, mampukah dia untuk melaksanakan tanggungjawabnya? Mampukah dia memiliki salsiah yang hebat? Mampukah dia berjaya?...Saya hanya mampu berdoa...

Tuesday, February 23, 2010

Kubur Cina Bersuara...?

Cerita ini benar2 berlaku ketika saya tinggal di sekitar kawasan Jeniang. Pekan kecil yang berdekatan dengan Sik. Sekarang Pekan Jeniang sudah banyak berubah jika dibandingkan dengan dahulu. Saya kembalikan nostalgia 30 tahun yang lalu...
Ceritanya berkisar tentang sebuah kubur Cina yang letaknya bersebelahan dengan jalan utama ke Pekan Jeniang. Menurut kata orang2 kampung, kubur ini akan mengeluarkan bunyi dan suara yang pelik ketika malam. Ramailah penduduk kampung yang berbasikal, bermotor atau berkereta akan memecut laju apabila lalu dikawasan ini. Berita ini menjadi-jadi sehinggakan ada yang menokok nambah untuk membuatkan ia lebih menarik. Sehinggalah, beberapa pemuda telah bernekad untuk menyiasat sendiri apa yang tersembunyi di perkuburan itu. Mereka telah bergilir2 bersengkang mata untuk menunggu sesuatu. Ada yang tertidur dan bermimpi. Bermimpi akan penghuni kubur! Ada yang demam kerana terlalu takut. Akhirnya, pada suatu hari...yang dinanti pun tiba. Mereka menyaksikan gelagat sebuah lori yang penuh berisi lembu2 curi. Lembu2 itu ditambat di sepohon pokok di belakang perkuburan itu. Lembu2 itu menunggu giliran untuk disembelihkan...Saya rasa sahabat pun boleh meneka kenapa perkuburan itu berbunyi pelik?
Dari mana saya dapat cerita ini? Pemuda2 ini menceritakan sendiri kepada ayahanda!

...laparkah bonda?

Kala ini, saya teringatkan BONDA. Semenjak ketiadaan ayahanda, dia selalu makan awal...
Sewaktu saya masih kecil, bonda pasti menunggu ayahanda untuk makan tengahari. Kadang-kadang, ayahanda selalu pulang lewat. Bonda tidak makan, bonda tunggu ayahanda juga. Pernah sekali, ayahanda pulang jam 5 petang, perut bonda sudah lapar. Dia asyik terpandang-pandang jam di dinding.
"Lewat hari ini. Mak makan dulu la," kata bonda kepada saya.
Sejurus kemudian, ayahanda pulang. Banyak kerja kata dia. Saya lihat wajah bonda berubah.
"Abang, saya dah makan. Tadi saya tunggu...sampai jam 5" nada bonda seakan bersalah. Ayahanda tidak menyahut tetapi tersenyum.
Bila saya terkenangkan tingkah laku bonda, betapa setianya seorang isteri menunggu suami untuk makan tengahari. Saya...sanggupkah begitu?

Kalau Sudah Jodoh

Bonda saya suka bercerita. Hamba pula suka mendengar. Kali ini saya hendak bercerita tentang BONDA...
Bonda saya seorang anak kacukan. Datuk saya seorang Pakistani, manakala nenda saya seorang Patani dari Siam(Thailand). Bagaimanalah agaknya mereka bertemu? Kalau difikirkan seorang di Barat dan seorang lagi di Timur.
Datuk saya datang dari Pakistan ke Malaysia sehelai sepinggang dan hanya berbekalkan ilmu sebagai peguam di sana. Duduklah dia di Tanah Merah, Jitra dan menolong menjual roti setiap hari. Beliau berulang alik dari Tanah Merah ke Simpang Empat, Perlis dengan hanya berjalan kaki. Meredah danau dan menapak dari kampung ke kampung. Bertolak sebelum matahari terbit dan pulang ketika matahari sudah terbenam. Begitulah saban hari. Sehinggalah pada suatu hari, ketika beliau sedang berehat di bawah sepohon pokok di Simpang Empat, beliau di sapa oleh orang Bugis.
"Pak Bai, kami mau balik ke Bugis. Kami nak jual tanah ni!"
"Ya ka? Berapa?" sahut datuk dengan pelat Pakistan yang pekat.
"200 ringgit sahaja"
"Ok. Saya ambil, esok saya datang bagi duit!" bersungguh-sungguh kata datuk.
Keesokkannya, termetrailah perjanjian di antara orang Bugis dengan datuk saya. Tanah seluas 18 relung sudah menjadi miliknya. Dan disitulah dia bertemu jodoh dengan nenda.
...Seperti kata bonda, KALAU JODOH SUDAH DITENTUKAN ALLAH, SIAPALAH KITA UNTUK MENGHALANGNYA.

Perjalanan III

Pagi ini banyak perkara yang berlegar di fikiran saya. Bukan senang hendak ke Antares. Saya akan cuba dan ingat pesan bonda kena banyak berSABAR...saya pasti BOLEH!

Monday, February 22, 2010

Sebuah Rumah Dan 3 Tempayan Pekasam


Sambil meratah PEKASAM, saya teringat cerita bonda tentang Sebuah Rumah dan 3 Tempayan PEKASAM...
Saya terkenangkan arwah bapa saudara saya, Ngah Sin (panggilan kami adik beradik). Dia macam saya. Fanatik pada PEKASAM! Menurut kata bonda, semasa dia membina rumah ini, pekasamlah makanannya siang dan malam. Sebelum bekerja pada awal pagi, dia mesti makan nasi dengan pekasam. Kopi panas pasti mengiring sarapannya. Setelah itu, dia akan menggulung-gulungkan rokok daunnya dan mulalah dia mengetam kayu di atas papan. Ayahanda pula akan sibuk pergi ke sungai atau bendang, mencari ikan darat untuk di buat pekasam. Bonda di rumah akan siapkan beras goreng yang ditumbuk sementara menanti ayahanda pulang dengan ikan darat.
Menurut kata bonda, 3 tempayan penuh PEKASAM habis dan siaplah rumah ini. Bonda pernah menunjukkan tempayan itu. Bila saya peluk, muat-muat pelukan saya dan ia setinggi anak lelaki saya...Mungkin saya tidak tahu mengetam papan atau membuat rumah. Tapi saya tahu bagaimana rasanya...cintakan PEKASAM...

Diari Ayahanda

Sebentar tadi saya terpandang diari 2010. Pelbagai bentuk dan warna. Ditambahkan lagi dengan gambar-gambar yang menarik didalamnya. Menarik! Bisik hati saya.
Saya terkenangkan ayahanda...Sifat ayahanda yang amat saya kagum ialah keupayaan dan ketekunannya menulis di dalam diari. Ada sahaja benda yang hendak ditulisnya. Baik dari segi isu-isu semasa, kesihatan, soal duit, hutang piutang dan anak-anaknya. Setiap kali tiba awal tahun, dia akan ke kedai S.M. Osman membeli diari. Dia pasti akan belikan saya satu. Saya belek-belek dan penuhkan dengan lukisan saya. Ada suatu ketika saya hadiahkan diari Celcom dan Maybank padanya. Dia tidak tulis sepatah perkataan pun didalamnya. Sayang katanya. Kini diari-diari tersebut sudah di makan masa dan ada yang reput. Banjir besar hari itu telah meragut segalanya...Alangkah indahnya, jika dahulu saya tahu tentang NILAI DIARI AYAHANDA...

Panas II

Cuaca amat terik pagi ini...ketika ini matahari berada paling hampir dengan bumi di dalam sejarah manusia. Saya harap sahabat-sahabat banyak-banyakkanlah minum air putih dan memakai perlindungan ketika berada di luar. Jika perlu pakailah perlindungan seperti suncreen dan payung...Saya berdoa kita berjaya menghadapi cuaca yang tidak menentu ini dengan penuh sabar.
Minggu ini, Kak Long akan menghadapi ujian bulanan. Walaupun kesihatan dia tidak mengizinkan, saya doakan dia mampu lakukan sesuatu kejutan. "Ya Allah, Kau permudahkanlah urusannya"Amin.

Sunday, February 21, 2010

Perjalanan II

Berdebar juga rasa di dada, menjelajah dunia yang tidak pernah terfikir dek akal fikiran. Mudah2an Allah merestui perjalanan saya...Kita tidak akan tahu keupayaan atau kebolehan diri sendiri, sehinggalah kita mencabar diri sendiri...cabaran buat saya. Saya sahut!

Perjalanan I

Azan sudah berkumandang, sekejap lagi saya akan memulakan perjalanan yang amat jauh.Perjalanan menuju ke Antares.Doakan saya menempuh perjalanan ini dengan jayanya...

Fanatik


Suami saya begitu meminati sukan. Mungkin boleh saya katakan fanatik. Hari sabtu yang lepas, dia bermain badminton di Subang Jaya sampai jam 4 pagi. Keesokkannya, jam 8 pagi ke Putrajaya berdepan dengan pertandingan bowling antara syarikat. Ada habuan, menang juara kumpulan! Selesai di Putrajaya jam 2 petang, bergegas pula ke Subang Jaya untuk futsal sampai jam 8 malam. Sehari suntuk dengan minatnya. Semalam, hamba lihat dia terlalu keletihan dan tertidur di anjung rumah...Saya belajar untuk memahami minatnya itu. Saya biar dia dengan dunianya. Bagi saya, sokongan isteri itulah yang membentuk dimana dia sekarang ini!

Panas I


Cuaca hari ini terik dan PANAS!. Saya berpeluang kembali ke kampung halaman di Kedah bulan lepas. Cuacanya memang amat PANAS. Bahangnya masih terasa walaupun jam mencecah 5 petang. Di Johor dan Melaka pun sama. PANAS. Hujan sudah lama tidak membasahi bumi ini...seperti kata Dr Azmi (mantan Tabung Haji) ketika majlis perkahwinan anak lelakinya..."Ana tengok di langit gelap, mendung. Hati Ana berdebar, panggilan Ana 5000 orang! Kalau hujan Ana terima. Ya Allah...kami terima"...kata dia.

Blog II

Alhamdulilah, sebelum saya melelapkan mata...satu kepuasan kerana dapat menghasilkan blog yang sederhana. Hanya sekadar untuk beHuruf condongrkongsi rasa...
Setelah, di pujuk oleh beberapa rakan yang yakin akan kebolehan diri saya, akhirnya blog ini diketengahkan...
Saya tinggalkan dengan...yakinlah akan keupayaan diri sendiri, anda mampu mengubahnya. Beranilah untuk mengambil risiko!

Saturday, February 20, 2010

Bintang Antares

Apa itu ANTARES...atau lebih tepat BINTANG ANTARES?...
Ia adalah sejenis bintang yang sangat besar dan bercahaya. Jejarinya adalah 800 kali dari jejari MATAHARI. Jika dibandingkan ANTARES dan MATAHARI, MATAHARI hanyalah seumpama satu titik di dalam ANTARES.Renunglah kebesaran ALLAH...

Niat

Blog ini dibuat bukan tujuan dijadikan tempat memBURUK-BURUKkan manusia atau makhluk ALLAH.Tujuan ia dihasilkan hanyalah sebagai diari kehidupan pada suatu sinar yang mendatang.Liku-liku hidup saya untuk mengejar cahaya Antares di perhujung jalan ini...
Saya berharap berfikirlah secara logik dan ikhlas...seperti prinsip hidup saya. Saya berani, benar dan ikhlas...Merpati putih ini lambang suci ahli-ahli sufi...lambang kebebasan saya untuk bersuara...TERBANGLAH WAHAI SI MERPATI PUTIH, TERBANGLAH DIKAU TINGGI, JANGAN KAU LUPA ASALMU...DARI TANAH DAN KEPADA TANAH JUA ENGKAU KEMBALI!

Blog...


Hari ini, saya terkebil-kebil membuat blog. Tidak pasti apa yang saya akan perolehi. Saya doakan moga ia menjadi tempat permulaan pada suatu sinar yang akan mendatang...insyaAllah.
Sebagai permulaan...
"Aku berlindung dengan kalimah-kalimah Allah yang sempurna dari seksaNya, kemurkaanNya dan dari bisikan-bisikan syaitan dan kedatangan mereka yang membawa keburukan kepadaku.Ya Allah, jauhkan aku dari keburukkan sifat riak,sombong,takbur dan ujub. Ya Allah tambahkanlah perbendaharaan kata dan ilmu yang banyak kepadaku.Murahkanlah rezekiku dan angkatkan darjatku.Ya Allah,kau muliakan blog ini dan jadikan ia sebaik-baik blog dan serulah segala hambaMu untuk memuliakannya.Dengan berkat Muhammad s.a.w"Amin...