
Ayahanda pernah bercerita tentang penghulu dikampungnya. Sewaktu itu, ayahanda hendak memberitahu penghulu akan kelahiran kakak saya. Dia berbasikal ke rumah penghulu. Kata isteri penghulu, penghulu sedang mandi. Ayahanda menunggu penghulu di luar rumahnya. Dia bertenggek di luar pagar. Segan dengan penghulu, katanya pada saya.
Tiba-tiba, ayahanda ternampak penghulu keluar dari pintu belakang. Dia mengibas2 kainnya dan duduk di beranda rumahnya. Selepas itu, isterinya keluar membawa secawan kopi dan beberapa biji kuih. Dia menghirup kopi tersebut. Setelah itu, penghulu meletakkan beberapa keping rokok daun di atas pehanya. Kemudian, satu persatu rokok daun itu dilurutnya menggunakan kacip sehingga lurus. Lama juga kata ayahanda. Setelah penghulu puas hati, diambilnya tembakau pula. Dia menggelesek tembakau itu sehingga menjadi gumpulan tali2 halus. Penghulu kemudiannya mencantumkan rokok daun bersama tembakau dan digulungnya berhati2. Seterusnya, dia membakar rokok daun itu dan menghisapnya. Ayahanda memerhati penghulu menghembuskan asap rokok keluar dari mulutnya. Kata ayahanda, khusyuk benar penghulu menghisap rokok daun itu. Sesudah itu, dia menghirup kopi tadi kembali.
"Baru sampai ka Aji?" Ayahanda terkejut di sapa penghulu...
"Baru ja..." ringkas dari ayahanda.
"Penghulu, tak sedar ka, ayah sudah tunggu lama?" tanya saya inginkan kepastian. Ayahanda menoleh sambil tersenyum.
Ketika menulis bingkisan ini, saya masih teringat senyum simpul ayahanda itu...
No comments:
Post a Comment