RAKAN2:

Sunday, September 25, 2011

Raya Oh Raya.

Semalam (Sabtu), kami mengambil kesempatan beraya di rumah kenalan yang menjemput sempena Syawal yang kian di penghujung. Penat, letih dan tidak bermaya... semuanya bercampur aduk.
Mana tidaknya, kami bermula di kawasan kediaman yang juga turut membuat rumah terbuka untuk ahli kejiranannya. Selepas itu, kami mengharungi trafik yang sesak di sekitar MRR2 untuk ke Jabatan Pengajian Media di Universiti Malaysia. Sedar-sedar, jam sudah hampir melepasi 2 petang!
Apa lagi, kami bergegaslah pula ke Ulu Yam dengan melalui Lebuhraya Utara Selatan dan membelok masuk tol Bukit Beruntung. Dari situ, kami memintas jalan menuju ke Rasa dan keluar semula ke jalan persekutuan di sekitar Batang Kali. Mujurlah, lauk pengantin masih ada di tempat tujuan!
Selesai solat di Masjid Batang Kali, kami sekali lagi mengharungi Lebuhraya Utara Selatan dan kali ini, tempat tujuan adalah Puncak Alam. Boleh rakan-rakan bloggers bayangkan, betapa jauhnya tempat itu dari susur keluar tol Rawang? Huh...
Ketika mentari sudah bersedia untuk mengucapkan selamat malam... kami sekali lagi... ya, sekali lagi... melalui Lebuhraya Utara Selatan untuk ke rumah ipar yang berada di Country Homes, Rawang. Sudah tidak terkira duit minyak dan tol yang mengalir... semata-mata untuk tidak menghampakan niat orang yang menjemput.
Hari ini, Ahad... saya katakan kepada suami. "Saya nak melawat tempat lain pula..." Apa itu? Biarlah rahsia! :D

No comments:

Post a Comment