RAKAN2:

Sunday, April 22, 2012

Teater Upin Ipin

Bunting Upin Ipin
Semalam, kami berpeluang untuk menonton teater Upin Ipin di Istana Budaya. Anak-anaklah yang paling teruja sekali. Sebagai ibu bapa, saya lebih suka anak-anak menghadiri tempat sebegini daripada menghabiskan masa dengan perkara yang tidak berfaedah.

Sekeping tiket RM86!
Kami berterima kasih kepada pihak yang menghulurkan tiket dan juga menaja makanan tengahari kami. Ada satay, nasi ayam, kek coklat, donut dan juga beberapa jenis hirisan buah.

Ada juga buah tangan dari pihak ini berupa barangan dari jenama Upin Ipin. Syukur... di atas rezeki Allah ini. Anak-anak tersenyum lebar menerima satu beg penuh setiap seorang.

Saya pernah berkunjung ke Istana Budaya tidak lama dahulu kerana menghadiri majlis perasmian kebudayaan. Ketika itu, tempat duduk saya agak jauh dari pentas utama. Tidak seperti kali ini, kami ditempatkan beberapa barisan sahaja dari pementasan teater ini. Kami dapat menonton dengan selesa dan setiap gerak lakon sangat jelas pada penglihatan!

Pada permulaannya, pementasan ini agak hambar kerana asyik mempromosikan sebuah hospital swasta yang menjadi penaja besar bagi teater ini. Kata suami, " Sudah semestinya!"

Pementasan ini menceritakan perihal Puteri Cenonet yang tidak pernah gembira dan cuba mencari makna kegembiraan. Beliau bertanya pada cermin sakti dan cermin tersebut melayangkan wajah Upin dan Ipin. Di sinilah bermulanya cerita apabila rerama ditugaskan membawa si kembar ini untuk menemui beliau dan menyelesaikan masalah tersebut.

Saya berkali-kali menguap ketika di dalam dewan yang serba indah ini. Musik yang bingit tidak mampu mengejutkan saya dari khayalan. Mungkin, kesejukan dan nyaman dek penghawa dingin menyebabkan saya sudah berada di dunia lain. ~senyum simpul~

Pujian harus diberikan kepada kumpulan rerama, mentadak mentadu dan labah-labah. Watak mereka cukup 'hidup'! Ditambahkan lagi dengan kostum yang sememangnya menepati watak mereka. Syabas!
Kumpulan Rama-Rama
Barisan pelakon
Apa-apa pun kisahnya... saya sudah cukup berpuas hati kerana anak-anak cukup gembira. Ini masa mereka... dunia mereka. Dunia yang penuh khayalan... :)

2 comments: